Bab 30

59 7 0
                                        

Malam yang sama, aku menemankan ibu menonton drama kegemarannya di Astro Ria. Ibu begitu kusyuk dengan jalan cerita sedih lakonan Tizz Zakiah dan Farid Kamil. Aku tarik nafas perlahan. Sukar bagiku mahu mulakan bicara tentang permintaan Halique. Jalan terbaik untuk tak mengganggu mood ibu, aku 'layan' juga drama bersiri yang ibu ikuti setiap malam. Lagilah payah jika tak tahu hujung pangkal ceritanya. Mengapa Tizz Zakiah asyik menangis sampai merah-merah hidung? Sudahlah dia berkulit putih melepak!.

Tamat drama yang ditonton, ibu menoleh padaku yang masih terpaku pada kaca televisyen. Menyedari aku seolah hilang dalam diri, pehaku ditepuk lembut.

"Hani.... menungkan apa tu? Ingat kat Ady ke?"

"Hah! dah habis ke cerita tadi?"

"Eh dia ni...., mata tengok macam nak tembus TV, berangan rupanya. Dah lama la habis. Ibu dah mengantuk, Hani tak nak tidur ke?"

"Kejap lagi.... Ijad tak ada ni, bolehlah Hani tidur lambat sikit. Lagipun, Hani tengah tunggu panggilan dari Ady."

"Ibu masuk tidur dululah."

"Er..... Hani ada perkara nak bagitau ibu," terangku dalam perasaan yang masih ragu-ragu dengan penerimaan ibu.

Ibu yang baru angkat punggung tak jadi teruskan niatnya. Dia kembali duduk di sofa.

"Ada apa Hani? Macam penting sangat halnya, ada kena mengena dengan Ady ke?"

"Esok, kawan Hani nak datang rumah kita. Ermmm..... boleh tak, ibu?"

"Kawan Hani yang mana pulak? Kawan sekolah Hani ke?"

"Bukan kawan sekolah Hani, tapi kawan yang lain." Sudah sekerat jalan niatku sampaikan pada ibu, tapi terasa berat untuk aku meneruskannya.

"Lelaki ke perempuan? Kalau perempuan. datang jelah! rumah kita ni senantiasa terbuka untuk tetamu." Ibu semakin keliru dengan aku yang masih teragak-agak mahu bercerita.

"Lelaki yang datang melawat Hani kat hospital hari tu. Ibu ingat lagi tak pada dia?"

"Oh yang namanya apa? Halique? Pelik juga nama dia, jarang ibu dengar."

Aku senyum tipis. Pelik ibu tak aku hairankan kerana aku juga seperti ibu tempohari. Unik kan nama Halique tu?

"Ha ah... Halique. Dia nak datang jumpa ibu."

"Apa hal pulak nak jumpa ibu? Hani jangan nak main-main. Dia ada niat nak pinang Hani? Hani bercinta dengan dia ke sebelum ni, sebelum Hani kenal dengan Ady?" berdas-das pertanyaan ibu lampiaskan.

Aku telan liur. Kering kerongkongku saat ini.

"Bukan dia nak datang pinang Hani. Kami hanya berkawan, tak melibatkan apa-apa perasaan pun."

"Kalau begitu baguslah, lega ibu dengar. Ibu risau kalau-kalau hati Hani bukan sepenuhnya untuk Ady. Kesian Ady, Hani dah pun mintak tempoh setahun dengan mak ngah dan keluarga Tan Sri Rahman. Kalau Hani buat hal, malu ibu nanti."

"InsyaALLAH, Hani tak akan buat macam tu."

"Dah tu, Halique datang nak jumpa ibu buat apa? Berhajat apa? Ibu hanya ada sorang je anak dara. Bukannya ada anak dara lain yang boleh dijodohkan dengan dia. Ke, dia datang nak tanyakan si Hanim, anak mak ngah Hani? Dorang berdua tengah berkawan ke?"

Aduhai! banyak betul andaian yang ibu buat.

"Bu.. bukan soal nak pinang sesiapa." Lah! Yang aku sampai tergagap-gagap ni, kenapa? Segala yang masih terikat kemas dalam dadaku seakan mahu pecah. Jika aku berterus-terang dengan ibu, bolehkah ibu menerimanya dengan hati yang terbuka?

"Apa halnya ni? Ibu tengok Hani resah-gelisah dari tadi. Ada apa yang Hani rahsiakan dari ibu?"

"Hani er.... nak beritahu sesuatu tentang Halique." Aku mula membuka mukadimah. Hendak tak hendak, mahu tak mahu, aku harus ceritakan pada ibu segalanya tentang Halique sebelum dia tiba di sini esok. Aku takut ibu tak bersedia untuk menerima berita ini. Cukuplah ibu menangis dan terkilan dengan arwah Alin yang menyebabkan kami sekelurga menanggung aib bertahun lamanya.

"Sebenarnya Halique..... er..... dia ada kaitan dengan arwah Alin dan Ijad," aku berhenti seketika. Menunggu riaksi ibu.

Dan seperti yang aku jangkakan, ibu tersentak dan merenungku tajam.

"Halique ada kaitan dengan arwah Alin? Hani jangan nak bagitahu ibu yang kawan Hani tu, bapak sebenar Ijad? Lelaki yang rogol arwah Alin?" berubah terus wajah ibu.

"Nama penuh Halique, Tengku Sharmin Halique. Nama Ijad pulak, Haizad Sharmin. Arwah Alin namakan Ijad sempena nama Halique, ibu." Air mataku meluncur laju selari dengan kata-kataku.

"Mana Hani kenal lelaki jahanam tu? Jadi........selama ni, Hani tipu ibu yang rupa-rupanya Hani dah kenal lama dengan lelaki tu? Tak boleh! Ibu tak benarkan dia datang rumah kita. Ibu tak izinkan dia datang dekat dengan Ijad."

"Hani tak menipu. Sumpah ibu! Hani kenal Halique sehari sebelum Hani masuk hospital. Hani nak ibu dengar dulu cerita Hani. Bukan Halique seorang aja yang bersalah. Arwah Alin pun salah jugak," dan aku mula menceritakan segalanya dari mula-mula Halique mengejarku kerana menyangkakan akulah arwah Alin. Aku ulang semula segala cerita Halique kepadaku dari A-Z tempohari. Seperti tayangan filem, seolah aku dapat membayangkan kejadian demi kejadian hingga lahirnya seorang anak kecil yang comel bernama Haizad Sharmin.

Ibu mengesat air mata sebaik saja aku habis bercerita. Lama dia termenung dan kemudian ibu bangkit tergesa-gesa meluru ke biliknya yang hanya bebrapa langkah dari ruang tamu. Aku terpaku dengan tindakbalas ibu. Esok macamana? Kalau Halique muncul juga esok, apa yang aku harus lakukan?

Yang aku paling risaukan, kalau Ijad datang bersama Syamsul esok, boleh ke Syamsul menerima Halique tanpa sebarang sengketa sedangkan dengan Ady Farhan pun, Syamsul layan seperti musuh ketat? Libang-libu hatiku kini.

BIAR BULAN BERBICARACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang