DENGAN tenang dia undurkan kereta dan keluar dari petak parkir. Aku menaip pesanan ringkas pada Aleeya memberitahu aku tak masuk ke pejabat hari ini. Mujurlah bidang kerjaku yang selalu berurusan di luar, membolehkan aku keluar-masuk ke pejabat tanpa batasan.
"Kau hantar text pada siapa?"
Tersentak aku disergah secara tiba-tiba.
"Nak maklumkan pada setiausaha yang saya ambil half day leave."
"Kau kerja apa sampai ada secretary sendiri?"
"Eh bukan! Dia setiausaha pada ketua saya. Er.... Awak nak bawak saya pergi mana?" entah ke mana Halique mahu "menculik" aku sekali lagi. Risau juga aku kalau kali ini benar-benar dia mahu bawa aku ke hujung kampung entah di mana.
"Kau takut ke? Jangan risaulah, aku bukan orang jahat. Tempat yang aku nak bawak kau ni, tempat selamat. Ramai orang."
Lega sedikit mendengar jawapannya walaupun di dalam hati masih ada ragu dengan keselamatanku. Sambil itu juga, aku berdoa mudah-mudahan lelaki ini tak beniat jahat ataupun lakukan perkara sama yang pernah dibuat pada arwah Hazlin dulu.
Tiba-tiba aku teringatkan Naemah. Segera aku menaip pesanan di "whatsApp" memberitahunya aku balik sendiri hari ini, tak perlulah dia menjemputku di pejabat.
Sedar tak sedar, GTR Halique berhenti di satu kawasan berbukit. Sebuah taman permainan kanak-kanak ada di depan kami dan enjin kereta dimatikan. Halique buka pintu dan beralih ke pintu sebelah penumpang. Pintu di sebelah sisiku dibuka lebar.
"Turunlah! Tempat ni favourite aku bila aku rasa sunyi. Aku suka tengok gelagat budak-budak tu bermain, rasa damai sekali. Alangkah bagusnya kalau aku ada anak sendiri." Halique berjalan meninggalkanku. Sebuah pondok rehat tanpa dinding ditujunya.
Aku ikut apa yang dibuatnya dan duduk di lantai kayu. Dari kejauhan, nun di sana, boleh nampak bangunan pencakar langit yang tersergam kukuh di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.
"Aku mintak maaf, Hani. Aku tak tahu yang Putri dah meninggal," dengan nada kesal, Halique meminta maaf. Untuk apa? Arwah Alin bukan boleh hidup kembali dengan ucapan maaf!
"Saya memang ada niat nak cari 'biological father' pada Ijad." Dari hari pertama aku balik dari Perth, aku telah memasang azam untuk mencari lelaki yang telah memalitkan lumpur ke dalam keluarga kami.
"Kau panggil dia, Ijad?"
"Kami sekeluarga panggilnya Ijad. Semua orang sayangkannya. Ijad sangat comel, seiras mamanya." Aku renung wajah Halique. Matanya yang bercahaya dan galak itu meningatkan aku pada Ijad. Kening lebat kepunyaan Ijad juga menyerupai Halique.
Oh Tuhan! Lelaki inilah punca segala kepahitan dalam hidup kami. Juga punca hidupku tak tenteram selama ini? Tapi mengapa aku begitu tenang bila bertemu empat mata dengannya?
"Awak tahu tak, Halique? Kalau membunuh itu bukan satu dosa, saya rasa saya nak cabut nyawa awak sekarang juga." Aku meluahkan rasa hatiku dalam sebak yang tertahan-tahan.
"Teruskan niat kau, kalau itu yang patut aku terima sebagai hukuman. Aku tahu aku dah buat salah dan aku tahu payah bagi kau untuk maafkan aku." Halique membalas dengan penuh penyesalan. Keruh wajahnya dan dia menunduk sambil kakinya menguis-nguis rumput di hujung kasut.
"Arwah Hazlin terlalu muda. Baru sembilan belas tahun. Bagaimana awak begitu kejam rosakkan masa depan dia? Sanggup awak lakukan perkara terkutuk tu pada adik saya?" emosiku meningkat dan air mata mula bergenang di kolam mata. Sedikit masa lagi, empangan mata ini boleh pecah.
"Kau boleh tuduh aku sebanyak mana yang kau nak, tapi...... kau tak tahu kisah sebenar. Apa yang dah terjadi malam tu, tak disengajakan."
"Tak sengaja? Boyfriend apa awak ni? Awak dah tinggalkan benih dalam rahim arwah Hazlin, boleh pulak awak kata awak tak sengaja?" pantas aku memotong ceritanya. Bengang dengan kenyataannya yang tak masuk akal. Terlanjur tak disengajakan? Pelik sungguh bunyinya!
