Selesai agenda pertama. Selanjutnya, aku teruskan dengan pelan kedua. Syamsul aku hubungi semata-mata kerana Ijad.
"Hani.... ada apa? Tak pernah-pernah Hani nak telefon Syam, ada hal penting ke?"
"Er... macam ni. Hani dan Hanim nak ke Tangkak lepas Zohor, ada nak beli barang sikit. Hani ingat Hani nak bawa Ijad keluar sekali, boleh tak?"
"Lama ke sekejap? Sebab Syam hari ni ada kelas tambahan sampai pukul 6.00 petang. Kalau Hani nak ambil Ijad kat taska, lepas tu hantar balik semula kat situ sebelum pukul 6.00 tak apalah,"
"Boleh.. boleh, Hani hantar semula Ijad balik sebelum pukul 6.00."
"Nanti Syam 'whatsapp' alamat dan nombor telefon Taska. Syam akan bagitau guru Taska dia yang Hani nak datang ambil Ijad sekali."
"Terima kasih Syam."
"Kasih Hani dah lama Syam simpan dalam hati, Hani yang tak pernah mengerti hati Syam. Syam tahu Syam tak sehebat Ady Farhan, Syam bukan anak Tan sri."
"Hani bukan terima Ady sebab dia anak Tan Sri atau sesiapa. Mungkin jodoh yang Tuhan aturkan buat Hani bukan Syam orangnya. Hani mintak maaf,"
"Syam akan hantar Ijad ke rumah Hani hari jumaat petang. Hari sabtu Syam nak ke KL pergi rumah kakak Syam. Okeylah, Syam ada kelas lagi lepas ni. Jaga diri dan tolong jaga Ijad baik-baik untuk Syam. Bye!" Syamsul akhiri perbualan kami tanpa aku sempat membalas ucapan selamat tinggalnya.
Aku termenung di tempat dudukku. Suara hampa dan kesal Syamsul jelas ketara di telingaku. Aku tahu dia kecewa dengan penolakanku. Nafas berat aku hela dengan panjang. Aku bukan membenci, tapi hati yang luka ini tak mungkin mampu dirawat begitu mudah. Maafkan aku, Syamsul!
Pelan ketiga! Minta izin dari ibu untuk keluar ke pekan Tangkak.
"Ibu....." Aku hampiri ibu yang sedang menyiang ikan di tepi sinki. Ibu tekun dengan kerjanya dan tak menyahut sapaanku. Sarapan pagi tadi juga, ibu tak bersamaku seperti selalunya. Dia menghilangkan diri ke belakang rumah membelek bunga-bunga di taman orkidnya.
"Ibu marahkan Hani lagi? Hani mintak maaf. Halique tak akan datang rumah kita hari ni. Hani dah bagitau dia jangan datang,"
Tangannya berhenti. Ibu mendengus kecil dan menoleh kepadaku.
"Kenapa Hani nak berkawan dengan orang macam tu? Dia tak layak untuk Hani. Dia tak layak untuk keluarga kita. Kalau boleh ibu nak Hani putuskan sebarang hubungan dengan dia".
"Sharmin Halique bukan nak rampas Ijad dari kita ibu. Dia cuma mintak Hani tolong dekatkan dia dengan anak dia. Dia dah bertaubat, dia menyesal dengan apa yang menimpa keluarga kita."
"Dengan menyesal dan mintak maaf, boleh hidupkan arwah Alin? Boleh hidupkan semula suami ibu? Cuba Hani jawab! Sanggup Hani pertahankan lelaki jahanam tu?"
Demi ALLAH ibu, Hani bukan nak sebelahkan sesiapa. Halique merayu pada Hani nak jumpa ibu. Nak mintak ampun dari ibu,"
"Ibu tak nak jumpa dia!"
Aku kelu dan tak berdaya mahu membantah lagi. Ibu tetap dengan pendiriannya.
"Baiklah ibu, Hani akan ikut cakap ibu."
Ibu diam dan menyambung kerjanya. Dibiarkan aku yang masih lagi berdiri di tempat sama hanya memerhatikannya yang tangkas berkerja.
"Ada apa lagi yang Hani nak cakap dengan ibu?" matanya tak memandangku, tapi sebagai seorang ibu, tentulah sedikit sebanyak ibu dapat membaca bahasa tubuhku.
"Hani nak keluar dengan Hanim lepas zohor nanti. Nak cari barang sikit."
"Nak buat apa?"
Hani nak cari kain ela untuk hari raya. Hujung bulan depan, kita dah mula puasa, kan?"
Ibu berpaling padaku.
"Elok sangatlah tu. Baju kurung Hani, ibu tengok pun semua dah lapuk dalam almari. Hani belilah yang cantik sikit. Hani ada duit tak?"
Aku angguk dan ketawa. Macamlah aku budak remaja yang harus meminta duit dari ibunya sendiri untuk membeli pakaian.
"Ada ibu. Hani kan dah kerja?"
Senyuman terpamir di bibir ibu akhirnya.
"Kadang-kadang ibu lupa yang anak dara ibu dan besar. Dah layak jadi isteri orang. Dah layak untuk jadi mak pun. Pergilah! Jangan balik lambat."
"Terima kasih ibu," Alhamdulillah! Aku lega mendapat keizinan ibu. Apa yang aku rancang, berjalan dengan lancarnya. Sekarang, hanya mununggu hingga waktu tengahari dan bersedia mahu berjumpa dengan lelaki yang sepatutnya aku hindarkan bak kata ibu.
