Bab 21

63 5 2
                                        

PERUT yang terasa menyucuk-nyucuk sejak malam tadi, membatalkan niatku untuk terus naik ke pejabat. Masuk angin agaknya. Sudah agak lama aku tak diserang gastrik. Yang aku ingat, kali terakhir aku mengalaminya, hujung tahun lepas semasa aku masih lagi berada di Perth. Terlalu sibuk mahu menghabiskan Master hingga seringkali buat aku lupa menjaga makan. 3 hari aku ditahan di wad akibat muntah teruk hingga doktor mengesyaki aku diserang kanser usus.

Langkah kaki aku lencongkan ke deretan kedai di sebelah Wisma A.M.R. Sebuah bakeri yang terdapat di salah satu lot kedai, sudah menjadi kebiasaanku berkunjung ke situ setiap minggu. Aku sukakan pastrinya yang enak dan juga kek kejunya yang sangat lazat.

Mujurlah aku bukan jenis yang cepat "naik badan". Untung punya metabolisma yang rendah sepertiku. Makanlah sebanyak mana sekalipun, aku tetap langsing dan hingga kini B.M.I. tak pernah berada di tahap yang membimbangkan. Sesuai dengan ketinggianku yang hampir mencecah 5 kaki  7 inci yang aku warisi dari arwah abah yang sememangnya bertubuh tinggi.

Rugi pula menolak pelawaan Tan Sri Rahman untuk makan tengahari selepas habis mesyuarat di pejabatnya. Aku menolak secara baik dengan alasan masih kenyang lagi padahal aku hanya bersarapan dengan segelas bijirin Nestum pagi tadi. Dengan menaiki teksi dan meredah jalan sesak yang memakan masa lebih dari satu jam, perutku berkeroncong semula dengan hebatnya. Cacing-cacing sudah berdondang kelaparan agaknya.

"Putri!!"

Sayup-sayup aku dengar seseorang menyeru namaku hingga terhenti langkahku serta-merta. Mataku meliar ke sekeliling tetapi tak nampak sesiapa. Petak-petak parkir di sepanjang jalan di depan deretan kedai juga lengang. Ah! mainan perasaan aku saja agaknya. Di pejabat, tiada seorang pun kakitangan Ammar Multi Resources yang menggunakan singkatan nama ketigaku. Aku berhalunisasi kah?

Langkah aku lajukan ke Anis Bakery yang sudah tak berapa jauh. Dalam mencuba menenangkan diri, sebenarnya aku cuak juga kalau-kalau bakal menempuh sesuatu yang buruk. Sudahlah sekarang waktu pejabat dan kawasan koridor lot-lot kedai ini lengang-selengangnya.

"Putri......... tunggu!!!"

Hampir sahaja aku mahu menolak pintu kaca kedai kek, terdengar derapan kasut begitu hampir di belakangku. Aku menoleh dan dengan pantasnya lenganku dicengkam kuat.

Terkejut!

"Ikut aku, sekarang!"

Hah? Siapa lelaki ini yang tiba-tiba datang menyerbu dan tak pasal-pasal pula mengarah agar aku mengikutnya? 

"Apa ni, encik? Saya tak kenal encik!" aku cuba tarik kembali tanganku tetapi lelaki misteri ini semakin kuat pula mencengkam pergelangan tanganku tak memberi peluang untuk aku melepaskan diri.

"Jangan banyak cakap, ikut je aku!"

Langkah laju dan panjang-panjangnya terpaksa aku turuti hingga ada ketikanya tubuhku tertarik ke depan bila dia menyentap lenganku dengan kuat.

"Tapi encik, saya......"

Tak sempat habis ayatku, dia berhenti di Old Town White Coffee di hujung bangunan, menarik aku masuk bersamanya dan tercari-cari tempat duduk yang sesuai.

Pandai pula dia menolak tubuhku ke sebuah meja berkusyen panjang di tepi dinding. Aku terdorong ke bahagian dalam dan dia duduk di sebelahku. Bermakna, aku dikepung oleh tubuhnya dan tak dapat ke mana-mana.

Ikutkan hati, aku mahu menjerit sekuat hatiku biar semua yang berada di restoran ini tahu yang aku diculik. Tapi.... logikkah cerita aku diculik entah siapa-siapa dan dibawa ke sebuah restoran bukannya di sebuah rumah usang di dalam hutan?

Peluh merenik di dahiku. Apa yang lelaki ini mahu lakukan padaku? Siapa dia? Kenapa aku dipaksa begini?

"Putri......." Sekali lagi dia menyeru nama "Putri" tapi dalam nada yang lebih lembut. Tak sekeras sewaktu dia mencengkam lenganku sebentar tadi.

BIAR BULAN BERBICARACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang