Secara tiba-tiba Ijad meronta-ronta mahu turun ke lantai. Rupanya di depan kami ada kedai menjual barang-barang permainan. Sebaik saja Halique turunkan Ijad, dia terus berlari ke sana.
"Mama, nak tu?" Ijad tunjuk sebuah kereta kawalan yang dipamerkan di sebalik dinding kaca.
"Mana boleh? Mama tak bawak duit banyak hari ni. Lain kali kita beli, o.k.?" aku memberi dalih.
"Ijad nak jugak kereta tu. Papa dah janji nak beli," Ijad merengek dan meronta-ronta dalam peganganku. Ditarik-tariknya aku memaksa aku masuk ke dalam kedai.
Aku serba-salah. Syamsul ni pun satu, ada pulak berjanji dengan budak kecil mahu belikan sebuah kereta kawalan dengan harga melebihi 200 ringgit? Banyak sangat ke duit dia?
"Ijad, lain kali kita datang lagi. Mama nak cepat ni, sekejap lagi nak hantar Ijad balik Taska."
"Ijad nak kereta, Ijad tak nak balik!" Ya Rabbi! Pertama kali aku tengok Ijad buat perangai, hanya kerana mahukan sebuah kereta kawalan yang tersangat mahal harganya. Aku cuba meraih Ijad dalam dukungan dan mahu bawa dia jauh dari situ.
Ijad mula meraung dan meronta-ronta ingin turun. Beg kertas di tanganku jatuh ke lantai. Jika aku tak berwaspada, aku boleh jatuh kerana tak dapat mengimbangi badan.
"Ijad, mari ikut daddy." Datang Halique meraih lengan Ijad.
Aku mula dapat mengesan yang Halique mahu memenuhi permintaan Ijad.
"Halique, tak payah!" Aku memeluk Ijad kemas. Beg kertas yang terjatuh di lantai tak aku hiraukan.
"Ijad nak kereta tu, kan? Mari ikut daddy, daddy belikan untuk Ijad."
Mendengar sahaja pujukan Halique, Ijad meronta semula mahu pergi kepada daddynya. Malu tak terkata melihat beberapa pengunjung mall ini memandang ke arah kami. Hanim pula entah ke mana, tak dapat aku mengesannya.
"Halique tolonglah!" sekali lagi aku merayu.
"Let him go, Hani. Kau nak tengok dia terus meraung sampai malam kat sini?" Halique berkeras dan tarik Ijad ke dalam dukungannya.
Terpaksa juga aku serahkan Ijad yang masih belum reda tangisannya. Dalam hati mengumpal-ngumpal. Tak sampai lima minit, tangisan Ijad terhenti begitu saja. Aku hanya memerhatikan dari luar kedai. Di sebalik dinding kaca, seorang lelaki sedang melayan Ijad dan daddynya membuka kotak kereta kawalan yang Ijad mahukan.
"Kak Hani," muncul Hanim entah dari mana.
"Hanim ke mana tadi? Kak Hani tak boleh nak kawal Ijad. Dia meraung nakkan remote control car yang besar."
"Sorry. Hanim masuk butik Muslimah tadi, cari baju untuk mak Hanim. Ijad mana?
"Tu........ dengan Halique."
"Buat apa kat dalam kedai mainan tu? Halique nak belikan dia kereta?"
"Entahlah Hanim. Baju ni tadi, Halique dah bayarkan. Serba-salah kak Hani kalau dia beli kereta mainan untuk Ijad. Mahal sangat tu, membazir je. Budak besar Ijad mana tahu jaga barang?" omelku dalam geram. Tak tahu bagiamana mahu melarang Halique dari melayan kehendak Ijad yang bukan-bukan.
"Biarkan jelah kak Hani, padan muka dia. Kalau Hanim, Hanim lagi suka Ijad kikis duit daddy dia banyak-banyak. Biar dia tahu, selama lima tahun ni, dia tak reti-reti nak ambil tahu pasal anak dia."
"Hanim, tak baik cakap macam tu. Halique dah lama cari arwah Alin dan anak dia. Dia pun tak pernah tahu yang adik kak Hani dah meninggal."
"Alah.. manusia kak Hani. Macam-macam alasan dia boleh bagi. Entah-entah Halique reka cerita supaya kita kesiankan dia."
"Tak baik buruk sangka dengan orang."
"Kak Hani ni peliklah! Orang dah buat salah, dah burukkan nama keluarga kita, lagi kak Hani nak menangkan?"
"Perkara dah lepas, buat apa nak berdendam?" aku cuba menyebelahi Halique.
"Abang Syamsul apa cerita pulak? Kenapa kak Hani masih tak boleh maafkan dia? Bukan namanya dendam juga ke tu?"
Terkunci mulutku diherdik Hanim. Sedar dengan kekhilafanku. Aku tersalah memberi hujah sedangkan diriku sendiri buat perkara yang tak selari dengan hujahku.
"Mama..... tengok ni, daddy beli kereta untuk Ijad." Ijad terlonjak-lonjak keriangan. Di tangan Halique sebuah plastik yang besar di dalamnya memuatkan kotak kereta kawalan jauh yang harganya boleh mencecah ratusan ringgit. Rasanya kotak sahaja sudah melebihi separuh badan Ijad besarnya.
Daddy? Hah! Ewah-ewah.. mentang-mentang dah digulakan mainan, mudah sahaja Ijad memanggil Halique "daddy'"
"Ijad, kenapa mintak uncle belikan? Kan mahal ni?" marahku.
"Daddylah mama, bukan uncle! Daddy banyak duit! Daddy kata lain kali daddy nak beli kereta lagi beshar.... Besharrrr!!!!!" tangannya di depangkan sedaya boleh.
Halique ketawa dengan omelan Ijad yang sangat keletah. Kepala Ijad digosok dan tarik Ijad rapat ke pehanya.
"Halique awak jangan manjakan Ijad sangat," bibir aku ketap dengan geram.
"Ijad anak aku, apa salahnya?"
"Salah tu tak salah, tapi apa saya nak jawab dengan Syamsul? Ijad ni, mulutnya boleh tahan. Kalau Ijad bagitau yang 'daddy' dia belikan kereta mahal tu, macam mana?"
"Rileks Hani. Aku rasa mesti papa Ijad ingat Ady Farhan yang beli."
"Awak cakap macam semua perkara tu mudah saja, kan?" aku jegilkan mata tapi Halique tetap buat muka selamba tanpa rasa bersalah.
"Kak Hani, dah lah! Kata nak beli barang lain tadi. Nanti lambat pulak kita balik." Lupa pula ibu ada kirim sedikit barang tadi.
"Hani, biar aku hantar kau dan Ijad balik."
"Eh mana boleh? Awak nak suruh ibu saya penggal kepala saya?"
Hanim juga terpaku. Gila gamaknya kalau Halique yang menghantarku pulang? Harus terbeliak biji mata ibu nanti.
"Kalau macam tu, sebelum kau balik tolong bawak aku ke kubur arwah Putri?"
"Hah? Halique..... macam mana saya nak bawak awak pergi sana?"
"Aku ikut kereta korang dari belakang. Hanim, kau boleh tolong aku, kan?"
Hanim merenung Halique tajam. Dia berfikir sejenak kemudian mengangguk.
"Okeylah! Kali ni je saya tolong awak. Lain kali jangan harap saya nak bagi muka!" balas Hanim separuh garang nadanya.
