Bab 23

64 7 3
                                        


TAK LAMA selepas itu, kereta Halique berada di atas jalan raya di tengah bandaraya Kuala Lumpur semula. Aku memberitahu Halique di mana tempat tinggalku.

"Berapa lama kau dah kerja kat tempat aku jumpa kau tadi?"

"Lebih kurang empat bulan, kenapa awak tanya?"

"Aku selalu jugak pergi area situ jumpa kawan aku. Kawan baik aku masa kat U.S." Halique sekarang ini bercakap lebih santai, tak seperti di awal-awal pertemuan kami.

"Oh macam tu,"

"Sesekali boleh aku ajak kau keluar lunch?" pada masa yang sama dia menoleh padaku dan aku membalas pandangan matanya. Dia tersenyum nipis dan wajah yang kacak itu bertambah kacak di mataku.

Ya ALLAH! Aku terleka. Jangan kau hadirkan 'perasaan' lain di hatiku dengan panahan mata dan senyuman memikatnya.

"Hani....."

"Hah?" mati lamunanku. Aku tersipu-sipu bila Halique menyedari terlalu lama aku merenung wajahnya walaupun matanya tetap fokus ke jalanraya.

"Kenapa kau tenung aku macam tu?"

"Tak ada apa-apa. Saya cuma teringatkan arwah adik saya. Kalau dia masih hidup dan tahu yang awak mencarinya, apa agaknya yang bakal jadi? Awak akan rampas Hazlin dari suami dia?" aku ingin menduga hati Halique.

"Aku tak sangka yang Putri akan bernikah dengan orang lain, sebabnya dia mengaku dia cintakan aku. Sebaliknya, aku harus sedar yang dia perangkap tunang kau untuk tutup aib dia. Aku yang berdosa, aku yang sebabkan kau putus tunang."

"Benda dah lepas, Halique. Saya pun tak perlukan seorang lelaki yang tak cukup kuat melawan godaan. Lelaki yang tunduk dengan hawa nafsu." Tanpa aku sedar, kata-kataku seolah menyelar Halique tentang kesilapan silamnya bersama arwah Hazlin.

Lama dia mendiamkan diri dan memandu dengan tenang walaupun aku tahu hatinya terusik.

"Awak... kenapa masuk sini? Kata nak hantar saya balik?" laluan Mc Donald Jalan Pahang yang kami lepasi. Halique mencari petak kosong dan masuk ke situ.

"Aku nak berhenti solat sekejap, lepas tu nak makan. Dari tengahari tadi aku tak makan apa-apa. Kau nak solat sekali?"

"Saya... er.. cuti," aku segan sekali menuturkannya.

"It's okay... aku faham. Kau tak usahlah malu sampai merah muka, kita sama-sama dah cukup dewasa. Kau order dulu apa-apa untuk kau makan, aku datang kemudian." Halique keluarkan dompetnya.

"Tak apa, saya boleh bayar sendiri." Aku menahan tangannya.

Dia menepis dan mahu buka dompetnya semula.

"Awak... tak payahlahhhhh! saya ada duit," adengan tolak tangan dan saling menepis berlaku. Masing-masing sukar mahu mengalah. Aku tetap bersungguh-sungguh tak mahu menerima duitnya walau apapun terjadi.

"Hani........."

Gerakan tanganku terhenti. Tergamam bila menyedari jari-jemariku berada dalam genggaman Halique. Aku memandang tepat pada anak matanya dan dia membalas dengan renungan paling dalam hingga bisa buatkan jantungku terhenti.

Sedetik....

Dua detik.....

Tiga detik......

Dan bila aku tersedar, aku mencuba tarik kembali tanganku tapi Halique kemaskan lagi genggamannya.

"Awak.... boleh lepaskan tangan saya?" aku merayu dengan lembut.

"Kalau aku tak nak?"

Aku tarik nafas. Dada semakin hebat getarnya. Kenapa aku ni? Rasa lemah sangat dengan senyuman separuh mekarnya. Terpaku dengan panahan mata galaknya yang semakin memukau.

"Awak kata nak solat tadi, kan? Asar dah hampir hujung waktu." Aku mengingatkan tujuan asalnya dia berhenti di sini.

"Kenapa aku kenal Putri lebih dulu, bukannya kau?"

Aku teguk liur. Untuk apa Halique menyalahkan takdir? Semuanya sudah tak berguna lagi. 

"Dan kalau saya yang kenal awak lebih awal, saya pun akan jadi mangsa kerakusan awak?" bidasan paling kejam yang aku pernah luahkan padanya semenjak pertemuan kami.

Halique tersentak, tersedar dengan kekhilafan diri. Serta-merta tanganku dilepaskan dan dia matikan enjin kereta. Tanpa berlengah, aku tolak pintu dan keluar.

###########

SET BUBUR ayam McD aku bawa ke meja kecil yang hanya mempunyai dua buah kerusi. Aku tak mahu dikepung oleh tubuh Halique seperti di 'Old Town' tengahari tadi. Sementara menunggu Halique, aku keluarkan telefon bimbit. Sudah kehabisan bateri pula. Ah... kacau sungguh!. Kalau apa-apa hal berlaku, macamana aku nak hubungi Naemah ataupun Ady Farhan?

"Kenapa tak makan?" suara Halique memampan telinga.

Terkejut aku, nasib baiklah tak tercampak telefon yang aku pegang. 

"Er... saya tunggu bubur ni sejuk dulu." Tak akan aku jatuhkan egoku dengan mengatakan aku tunggu dia sampai dulu dan mahu makan bersama.

"Makan bubur je? Macam budak kecik!" Halique ketawa perlahan. Wajahnya yang masih lembab dek air sembahyang menyejukkan mata.

Aku tambah terpikat!

'Ya ALLAH Hani! Ingat..... dialah lelaki perosak arwah adik kau! Jangan mudah terpedaya, jaga mata Hani... jaga hatimu!

"Saya ada gastrik. Dari siang tak makan, jadi sekarang ni saya kena makan yang berat."

"Kenapa kau tak bagitau aku? Elok kita cari restoran lain tadi," pantas dia membalas. Kesal dan risau.

"Ini pun dah cukup, terima kasih! Lepas ni awak hantar saya balik terus, o.k.? Saya dah penat,  nasib baik esok hari Sabtu."

"I will. Aku tak ada niat nak buat jahat pada kau. Kau jangan risaulah!"

Aku senyum dan mengangguk perlahan.

"Lepas kau putus tunang, kau tak cari pengganti?"

Aku tak terkejut dengan pertanyaan Halique. Soalan 'keramat' pengganti Syamsul yang sudah sebati dalam sanubariku diulang lagi. Mungkin sudah beribu kali. Lebih elok aku rakamkan saja jawapan standard di telefon bimbit dan putarkannya di mana saja setiap kali diperlukan.

"Saya dah jenuh nak jawab soalan tu. Umur 26 tahun dah dikira andartu ke?"

"Aku tak cakap macam tu pun. Kau cantik, malah lebih cantik dari Putri. Tak kanlah tak ada yang cuba tackle kau masa kau belajar kat Aussie? Atau...... kau yang jual mahal? Dah serik ke nak bercinta lagi?"

Waduh! panjang sungguh soalannya.

"Banyak sangat soalan awak. Mana satu saya nak jawab?" jawapanku buat dia tergelak sekali lagi.

Aku merenungnya lama. Suka melihat gaya dia ketawa. Begitu bersahaja, terkawal dan tersangatlah... maskulin. Aku boleh jadi gila dibuatnya, sah-sah malam nanti aku tidur bertemankan mimpi bersama Halique.

'Tarik nafas Hani.... tarik nafas! Lelaki seperti Halique tak layak buat kau!'

"Aku pun dah lupa soalan yang aku tanya tadi. Kau jawablah apa yang kau ingat. Aku tak paksa."

Eh! Sendiri punya soalan pun boleh lupa ke?

"Saya dah tak percaya pada "cinta" lagi. Lima tahun belum tentu cukup untuk saya padamkan luka di hati. Lebih-lebih lagi kehilangan arwah abah yang sangat saya sayang. Kami hanya dua beradik. Saya lebih rapat dengan abah manakala arwah adik saya manja dengan ibu." Tanpa perlu berselindung, aku luahkan rahsia hatiku yang aku pendamkan sejak sekian lama. Janji yang terperi antara aku dan keluarga Ady Farhan, biarlah takdir yang menentukan. Aku redha kalau Ady Farhan adalah lelaki yang ALLAH jodohkan untuk menjadi tempatku bergantung hidup.

Semangkuk bubur habis licin, nampak benar perutku sememangnya lapar. Alhamdulillah! Perut yang 'masuk angin' semenjak tengahari tadi sudah terisi.

Halique menghantarku pulang dengan selamatnya. Keretanya bergerak pergi selepas aku mengunci pintu pagar. Sepanjang jalan ke rumahku, kami berdua mendiamkan diri terus. Hingga tiba di Seksyen 5 ini, barulah aku bersuara menunjukkan laluan ke rumahku. Itupun Halique hanya mengikut arahanku tanpa berbicara walau sepatah kata. Ucapan terima kasih dan selamat malam dariku hanya disambut dengan anggukan. 

BIAR BULAN BERBICARACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang