Pelayan datang mengambil pesanan. Aku hanya minta secawan kopi panas dan milo ais untuk Ijad. Hanim memilih fresh orange. Mungkin mahu meredakan hatinya yang sedang panas dengan minuman sejuk.
"Sampai hati kak Hani rahsiakan dari Hanim. Kalau Hanim tahu dari awal, Hanim tak nak ikut walau kak Hani beria-ia ajak Hanim. Patutlah nak jemput Ijad dari Taska tadi. Rupanya kak Hani dah rancang baik-baik."
"Maafkan kak Hani. Kak Hani terpaksa, bukan niat kak Hani nak tipu Hanim."
"Achik dah tahu ke siapa dia ni?"
"Kak Hani dah ceritakan tapi ibu Kak Hani tak boleh terima Halique. Dia tak nak jumpa Halique,"
"Jadi, kak Hani gunakan Hanim untuk selindungkan apa yang kak Hani nak buat hari ni? Nak temukan Ijad dengan ayah kandung dia, lelaki yang dah buat jahat dengan arwah kak Alin?" sambil itu, Hanim menjeling tajam pada Halique yang tekun mendengar perbualan kami.
"Hani tak salah, aku yang paksa dia." Mujurlah Halique mempertahankanku.
"Awak sungguh keji. Lelaki macam awak tak layak hidup, tak layak untuk jadi bapa pada Ijad."
"Hanim, sabar sikit. Kita kat restoran ni!"
"Kak Hani ni kenapa? Kak Hani suka pada dia?"
Ya ALLAH ya Tuhanku! Hanim semakin menjadi-jadi marahnya. Minuman dihantar ke meja kami. Ijad didudukkan di kerusi sebelah antara aku dan Halique. Pelik juga aku dengan Ijad. Selalunya dia agak takut-takut dengan orang yang dia tak kenal. Tapi dengan Halique, dia diam sahaja. Dipeluk, dicium berkali-kali dia hanya tergelak mengekek. Seolah mengerti yang mereka berdua punya pertalian darah.
Kali kedua Halique membuka cerita kisah silamnya bersama arwah Alin. Tetapi kali ini, secara ringkas dan tak berjela-jela seperti sewaktu Halique berceria kepadaku tempohari. Ringkas dan padat! Cukup untuk difahami bukan salah Halique seratus peratus. Hanim yang mendengar akhirnya terdiam lama. Sepertimana juga aku, dalam kemarahan yang meruap-ruap Hanim terpaksa akur dan menerima takdir yang arwah Alin juga bersalah.
"Hanim susah nak percaya." Matanya beralih pada Ijad dan kemudian pada halique. Dia cuba meneliti persamaan antara keduanya.
"Kak Hani pun mulanya macam Hanim jugak, rasa sangsi teramat sangat. Macam tak percaya lelaki yang bertanggungjawab pada arwah Alin muncul menyerah diri pada kita. Halique seolah menyerah diri untuk dipancung lehernya."
"Macam mana kalau Ijad bukan anak awak? Awak ada bukti ke yang mengesahkan Ijad lahir dari benih awak?" naahhhh! seorang bakal peguam mula mengeluarkan hujahnya.
"Aku sanggup buat ujian DNA kalau kau masih tak percaya dengan cerita aku." Halique bersungguh-sungguh mahu meyakinkan kami.
"Kak Hani, dah lama kita kat sini. Kita dah cakap dengan achik nak beli kain untuk raya." Hanim mengingatkan aku.
"Maaf Halique, saya tak boleh lama."
"Jomlah kak Hani. Tengok, Ijad pun dah naik bosan tu." Gesa Hanim lagi.
Aku pandang Ijad, tak ada pula nampak bosan. Leka bermain dengan Samsung tablet yang aku hulurkan padanya tadi. Nampak sangat Hanim mahu cepat-cepat mengakhiri pertemuan ini. Keterujaannya mahu berjumpa Halique sudah jatuh merundum.
"Halique, maafkan saya. Saya kena juga beli sesuatu sebagai alasan pada ibu saya untuk keluar hari ni. Harap awak boleh faham dengan keadaan saya. Ijad saya kena hantar balik ke Taska sebelum pukul 6.00. Saya tak mahu papanya syak apa-apa."
"Ok.. aku faham. Boleh aku nak ikut korang berdua? Bagi aku sikit masa lagi untuk bersama anak aku."
Aku pandang Hanim dan Hanim pandang aku.
"Hanim..... boleh tak?" aku minta izin Hanim. Masih risau dengan riak wajahnya yang mencuka. Sudahlah dia yang menjdi pemanduku hari ini. Kalau Hanim buat kerja gila meninggalkan aku berseorangan di sini, apa yang aku hendak jawab pada ibu?
"Baiklah! tapi saya nak awak jangan jauh dari kami. Saya tak nak awak bawak Ijad lari." Tegas arahan Hanim pada Halique.
"Kau jangan bimbang, aku tak akan susahkan Hani. Dia dah tolong temukan anak aku hari ni, aku sudah patut bersyukur."
"Baguslah kalau awak sedar diri." Cemuhnya dengan tajam sekali. Hanim mendahului kami keluar dari coffeehouse. Ijad dalam dukungan Halique sangat seronok bila aku memberitahunya mahu berjalan-jalan dulu sebelum balik.
"Garangnya adik sepupu kau? Dia kerja apa?"
"Masih study, bakal lawyer."
"I see, patutlah garang!"
"Actually Halique, Hanim sukakan awak. Maksud saya sebelum dia tahu awak biological father pada Ijad." Beritahuku dengan sesalan yang bukan sedikit.
Halique senyum senget dan ketawa perlahan. Seolah tak hairan dengan sebarang gadis-gadis yang terpikat dengannya.
"But I prefer you after her,"
"Hah? Oh tolonglah! Saya akan cuba tahan diri dari jatuh cinta pada lelaki yang pernah membuat hidup saya melara." Langkah kaki aku lajukan untuk menyaingi Hanim ke keretanya.
