Part 18

82 6 2
                                        


SEPERTI kebiasaannya aku menumpang kereta Ady Farhan untuk pulang ke Kuala Lumpur. Senyuman manis tak pernah lekang dari bibirnya. Hampir semput aku menahan getar dada. Bila mengingatkan cerita buruk tentang Ady Farhan yang disampaikan Syamsul semalam, hatiku mula goyah semula.

"Hani....." Menyedari aku yang hanya berdiam diri sepanjang perjalanan, Ady menyeru namaku dengan panjang.

"Ya saya?"

"Ady asyik teringatkan tentang majlis pertunangan Hakimi semalam. Tak sabar rasanya Ady nak lalui detik-detik macam tu. Hani pasti lebih cantik dari Jue."

"Sabarlah! setahun bukannya lama mana."

"Untuk Hani mungkin tak lama, tapi bagi Ady rasa bertahun-tahun nak tunggu."

Aku hanya diam, tiada hati mahu menbalas ungkapan penuh pengharapannya.

"Hani banyak termenung dari tadi. Hani fikir apa?"

"Hah! Tak ada apa-apalah, Hani penat sikit aje."

"Semalam masa majlis Kimi, Ady nampak Syamsul berbual panjang dengan Hani. Apa yang Syamsul nak lagi dari Hani?"

Eh! Dari jauh pun, Ady mengintai aku? Prihatin sungguh dia.

 "Cerita biasa-biasa je,banyak pasal Ijad. Tak lama lagi Syamsul nak kena berkursus ke Pantai Timur selama dua minggu jadi Ijad kena duduk dengan ibu."

"Kalau ada jodoh kita, lepas nikah, Hani ada cadangan nak ambil Ijad duduk dengan kita, tak?"

Aku tersentak. Tiba-tiba pula Ady Farhan membuat usul. Bergemuruh dadaku. 

"Nak ambil Ijad duduk dengan kita?"

"Ya... kita buat ikut prosedur. Kita ambil Ijad jadi anak angkat, setuju?"

"Untuk apa?" aku kerutkan dahi. Bersungguh benar nampaknya Ady Farhan kali ini?

"Supaya Hani tak perlu balik kampung sekerap sekarang. Hani pun tak lama lagi selalu outstation. Kalau Hani tak ada, Ady boleh jaga Ijad. Kalau Ady sibuk, boleh sahaja tumpangkan Ijad dekat rumah papa dan mama Ady. Mereka berdua pun sayangkan Ijad."

Ya ALLAH! Bagai nak pecah jantungku saat ini. Sekarang, serasakan mahu percaya bulat-bulat cerita Syamsul. 

"Tengoklah macam mana. Kalau Hani tak ambil dia sebagai anak angkat, Hani rasa tak salah apa-apa. Sijil kelahiran Ijad ada pada ibu. Dah sudah pastinya Ijad tetap anak saudara Hani." Aku menjawab dengan yakin padahal di dalam hati menggunung syak wasangka.

#####

MALAM itu, Naemah terus sahaja bertanya tentang majlis pertunangan sepupuku. Dia begitu teruja pula mahu mengetahui perjalanan majlis secara detail. Berapa jumlah hantaran dari pihak lelaki, berapa pula dulang yang dibalas pihak perempuan. Disoal lagi warna temanya dan konsep majlisnya hinggakan aku sendiri naik pelik.

"Eh eh... kau ni kenapa? Teruja semacam je? Kau dengan Arman dah mula rancang-rancang ke?" Naemah tersenyum malu bila menyedari ketelanjurannya.

"Adalah sikit-sikit. Semalam, Arman dah bawa aku jumpa mak dan ayah dia. Mereka dah setuju nak masuk meminang tak lama lagi." Semakin lebar senyumannya.

"Betul ke? Tak sangka aku. Dalam diam-diam aje kau. Tahniahlah kawan! Aku tumpang happy untuk kau."

"Jom kita tunang sama-sama?"

"Eh hari tu ajak nikah sama-sama. Sekarang tunang pun nak buat sekaligus jugak? Alahai....."

"Boleh la...... Aku tengok kau dengan Ady sepadan. Memang ada chemestry,"

"Tak ada maknanya dengan chemestry tu, cik kak! Ini soal hati. Soal kita nak hidup dengan dia sampai ke akhir usia. Aku belum pasti sejauh mana ikhlasnya Ady nak nikah dengan aku. Aku masih ragu-ragu dengan dia."

"Lah.... kenapa masih ragu? Ady tu sikit punya baik, layan kau macam puteri. Tak pernah sekalipun aku tengok dia berkasar dengn kau. Aku pun salute, dia pandai jaga tingkah-laku. Sentuh kau kat mana-mana pun tak pernah. Pegang tangan, jauh sekali. Kau tu yang tak reti menilai."

Aku terdiam sebenar. Memang aku harus mengakui akan kebenaran kata-kata Naemah. Tapi nawaitu sebenar Ady mahu merapati dan tanpa bertangguh mahu menikahiku, kesangsian masih lagi bermukim. 

"Aku masih sangsi dengan dia. Tiba-tiba dia muncul kat kampung kita. Selama ini mak ngah tak pernah pulak kenalkan pada keluarga aku anak saudara pak ngah tu."

"Lah... hal tu pun kau nak risaukan? Dah namanya jodoh, ketentuan Allah buat kita. Macam aku dan Arman. Kalau aku tak keluar dengan kau hari tu.... tak terserempak dengan Ady Farhan, tentu sekali aku pun masih membujang. Masih tertunggu-tunggu lelaki yang sesuai untuk aku jadikan suami."

"Aku risau bersebab. Ada kaitan dengan Ijad juga," kata-kata Syamsul masih berlegar di kepalaku sehingga ke hari ini.

"Hah! Apa halnya pulak dengan Ijad? Cuba kau cerita sikit bagi aku faham." Wajah Naemah penuh tanda-tanya.

Aku bersimpuh dan tegakkan badanku di atas sofa. Segala kesangsian, aku luahkan pada Naemah. Tak lupa juga cerita Syamsul berkenaan hubung kait Ady Farhan dengan arwah Alin. Semuanya aku ceritakan dari A hingga Z.

"Kita masih tak ada bukti kukuh. Mana kau tahu niat Syamsul? Mungkin dia kecewa sebab kau tolak dia padahal dia sanggup menduda begitu lama, sampai sanggup tunggu kau balik dari Aussie. Dia masih mengharapkan kau."

"Kau nak tahu tak? Dalam kereta tadi, Ady buat permintaan. Lepas kahwin nanti, Ady cadangkan aku buat permohonan ambil Ijad sebagai anak angkat dan bawa Ijad duduk dengan kami lepas nikah nanti. Kau tak rasa pelik ke? Dia yang bersungguh mahu Ijad tinggal dengan kami."

"Eh... betul ke? Pelik juga ya?" Naemah diam dan berfikir.

Aku juga merenung ke kaca TV hingga tembus ke dinding agaknya.

"Susah jugak tu.... Mana satu yang kita nak percaya? Tapi bagi aku.... aku macam tak percaya kalau Ady dengan arwah Alin sebabnya... Ady terlalu tua untuk arwah Alin. Kalau congak-congak. Masa kejadian tu, arwah adik kau kat matrikulasi Perlis. Ady... dah kerja. Kat KL pulak tu, tak logik pulak rasanya."

"Dah tu, siapa? Syamsul bersumpah dengan aku dia tak pernah buat perkara tak elok dengan arwah Alin. Mereka kena tangkap masa arwah Alin peluk dia, menangis kat dada dia."

"Kau percaya cakap Syamsul?"

"Entahlah... aku buntu. Aku takut aku buat pilihan yang salah. Kalau boleh, aku nak cari siapa sebenar bapak kandung Ijad, tapi aku tak tahu kat mana aku nak mulakan."

"Insya-ALLAH, suatu hari nanti kita akan dapat selesaikan perkara ni. Patutlah kau mintak tempoh setahun dengan Ady."

"Ya, setahun. Cukup untuk aku menghuraikan puzzle yang masih berselirat di kepala aku ni. Kalaulah arwah Alin masih hidup, tentu aku tak berada dalam keadaan serba-salah macam sekarang."

"Sabarlah Hani. Setiap kejadian ada hikmahnya. Tapi..... kalau benar Ady Farhan, bapak kandung Ijad, kau sanggup terima dia sebagai suami?"

"Tak mungkin aku terima. Sakit hati aku ni, hanya ALLAH saja yang tahu. Ibu pun cakap macam tu juga, diaa tak boleh terima lelaki yang dah rosakkan arwah Alin sebagai nenantunya." Kami sama-sama mengeluh.

'KAU permudahkanlah segala urusanku untuk mencari kebenarannya, Ya ALLAH!'

BIAR BULAN BERBICARACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang