MENUNGGU rombongan peminangan dari keluarga Ady Farhan, hatiku dijentik resah semenjak dari pagi. Duduk salah, berdiri pun salah. Serba-serbi rasa tak kena lagaknya. Kenapa ya?
"Hani?" aku tersentak disergah mak ngah.
"Ya, saya."
"Lah, menungkan apa lagi tu? Kenapa tak naik atas lagi? Pergilah bersiap!"
"Hani... er.... Hani nak kemaskan barang-barang atas meja ni." Dari tadi aku pegang tuala dapur, kononnya mahu mengelap meja yang melekit dengan air dari buah tembikai yang aku baru potong tadi. Nampaknya, kerjaku tak beres-beres juga. Termenung sana, termenung sini. Entah apalah yang bersarang di kotak fikiranku. Carca-marba!
"Kalau dari tadi tercengat depan meja tu, baik tak payah. Pergi naik atas, mandi dan tukar baju. Sekejap lagi tetamu dah nak sampai." Mak ngah tarik tuala dapur di tanganku. Bahuku dipusingkan dan aku ditolak menghala ke tangga ke atas rumah.
"Kenapa tu?"
Aku terdengar suara ibu yang muncul di belakang mak ngah.
"Entah si Hani tu. Dari tadi ngah seru tak jugak menyahut-nyahut. Berangan entah ke mana. Di suruh naik bersiap, macam hendak tak hendak je. Tetamu dah nak sampai," mak ngah membebel sambil bercekak pinggang.
"Nervous lah tu kot," ibu ketawa perlahan.
"Hani.... bawak turun tepak sirih yang dah mak ngah siapkan dalam bilik Hani sekali nanti, ya?" laung ibu dari tingkat bawah.
Aku yang sudah berada di atas rumah menyahut.
"Okey, ibu." Satu persatu langkah kuaturkan ke bilik dengan hati yang berat. Aku keliru dengan perasaan sendiri sekarang. Ikhlaskah aku menerima Ady Farhan kalau saban malam mimpiku ditemani Tengku Sharmin Halique?
Halique!!..... di mana dia sekarang?
Baju kurung moden berwarna hijau lembut dan sulaman ringkas merah jambu yang tersarung di tubuhku, aku belek kalau-kalau ada yang tak kena. Selendang panjang warna pink juga aku pinkan kemas-kemas di kepala. Buat kali terakhir aku renung imbasan diri di cermin. Lama aku termenung jauh ke pantulan imejku di cermin besar.
Seketika, aku mengeluh perlahan. Baju kurung inilah yang Halique bayarkan tempohari. Cadangnya, aku mahu simpan untuk dipakai di hari raya nanti, tapi sudah jadi sebaliknya. Halique yang berbelanja untuk aku mengikat 'tali' dengan lelaki lain? Sungguh kejam rasanya.
"Hani......" Suara garau menerpa gegendang telingaku. Aku dengar suara Halique tak sampai seminit aku teringatkan dirinya.
Di mana dia? Kepalaku terpusing kiri dan kemudian ke kanan, tetapi tak nampak sesiapa. Aku pandang ke cermin semula.
Ya ALLAH! Aku nampak Halique betul-betul berdiri di belakangku. Terlalu rapat hinggakan bahuku hampir menyentuh dada bidangnya. Jantungku berdegup kencang. Dari mana dia datang? Dan kenapa Halique boleh berada di dalam bilikku ini? Lagi menghairankan aku, Halique juga memakai sepasang baju melayu berwarna hijau sedondon denganku.
"Ha.... Halique... a... a awak?"
"Syhhhhh.... don't talk!" Halique lingkarkan tangannya memeluk pinggakku erat, merapatkan lagi tubuh kami. Dagunya dilabuhkan ke bahuku. Aku tak marah dan langsung tak meronta-ronta mahu melepaskan diri. Seolah merelakan apa saja yang Halique lakukan ke atasku.
"Kau, perempuan paling cantik yang pernah aku jumpa." Suara garaunya memujiku.
Aku semakin dibuai perasaan. Muzik bergema. Entah dari mana datangnya secara tiba-tiba sahaja. Sebuah irama sentimental dendangan Broery Marantika, penyanyi lagenda dari Indonesia berkumandang. Halique gerakkan kakinya mengikut irama dan kakiku turut sama teralih.
Seketika, suara Halique juga kedengaran mengikuti bait-bait liriknya yang puitis.
Bulan sabit yang jatuh di pelataran
Bintang redup tanpa cahaya gemintang
Langkah tanpa arah, sesat di jalan yang terang
Aku yang terlena dibuai pelukan dosa
Ingin pulang membalut luka hatimu
Ku pun tahu betapa pedih batinmu
Beri kesempatan atau jatuhkan hukuman
Andai maaf pun tak kau berikan
Air mata tulus jatuh di sudut bibir mu
Tak terlintas dendam di bening mata indah mu
Aku yang merasa sangat berdosa pada mu
Masih pantaskah mendampingi mu
Biarlah bulan bicara sendiri
Biarlah bintang kan menjadi saksi
Tak kan ku ulangi walau sampai akhir nanti
Cukup derita sampai di sini.........
Mata aku pejamkan rapat-rapat. Halique menyanyi untukku? Dan lagu itu....... Lagu yang membawa maksud seribu penyesalan dan memohon kemaafan atas dosa silamnya?
"Kak Hani!!!" bahuku ditepuk kuat. Aku tersentak akibat terkejut yang amat sangat. Terpinga-pinga aku sebentar. Tiada lagi Halique, juga hilang sudah irama sentimental luahan hatinya kepadaku tadi. Mataku melingas ke sekeliling bilik.
"Kak Hani ni, kenapa? Puas Hanim panggil, kak Hani dengar ke tak?
"Hah? er...... tak! Dah lama ke Hanim masuk bilik ni? Hanim ada nampak sesiapa tak kat sini?"
"Siapa? Mana ada sesiapa? Hanim dah lama masuk dan tengok kak Hani termenung depan cermin. Kak Hani mengelamun apa? Teringat abang Ady ke?" bebel Hanim melihat aku yang terkebil-kebil seolah hilang punca.
'Astaghafirullah al-Azim!' Aku tadi tengah bermimpi atau sedang berhalunisasi? Kenapa Halique boleh muncul dalam hayalanku?
"Kak Hani tak siap bersolek lagi ke? Lah.... keluarga pak long Hanim dah sampai dah kat luar tu. Siaplah cepat!"
Gesaan Hanim buat aku tersedar yang aku belum bersiap sepenuhnya. Tanpa bertangguh, aku segera tarik kerusi meja solek dan menempek bedak di muka. Hanya bersolek nipis dan gincu berwarna merah jambu juga aku oleskan ke bibir. Puas hati, aku pusingkan tubuhku kepada Hanim yang duduk di birai katil.
"Dah siap! O.k. tak dengan make-up kak Hani?"
Hanim senyum dan ibu jarinya dinaikkan tanda dia berpuas hati. Imbasan hayalanku sebentar tadi cepat-cepat aku usirkan tapi telingaku masih terngiang-ngiang lagi lagu 'Biarlah Bulan Bicara' sebentar tadi.
'Halique!' tanpa sedar, aku menyeru namanya sekali lagi. Ingatanku kepadanya begitu kuat. Adakah Halique juga sedang rindukan aku sekarang ini?
Rindu? Ah!... aku bukan sesiapa padanya. Aku hanya ibu saudara kepada anaknya!
