Bab 29

71 6 3
                                        


"Assalamualaikum!" Doktor Syuhada masuk bersama senyuman manis. Di belakangnya 2 orang jururawat mengekori.

Aku dan Ady sama-sama menjawab salamnya.

"Cik Hani dah sedia nak balik nampaknya?"

Aku senyum kembali padanya seraya mengangguk.

"Boleh ke saya balik hari ni, doktor?"

"InsyaALLAH. Bagi saya periksa luka pembedahan awak dulu."

"Ady tunggu kat luar," Ady yang memahami meminta diri.

Tabir langsir ditarik dan jururawat minta aku baring. Menyelak bajuku, mempamirkan sebahagian dari perutku. Plaster bekas jahitan dibuka dan Doktor Shuhada mula memeriksa.

Doktor Syuhada mengangguk tanda puas hati dan merekodkan sesuatu di fail yang dihulurkan jururawat. Tekanan darah diambil sekali lagi dan akhirnya dia tersenyum.

"Alhamdulillah! Saya boleh benarkan Cik Hani balik hari ini. Selepas dua minggu, Cik Hani kena datang sini semula untuk appointment lanjutan."

"Terima kasih doktor." Ucapku bersama hati yang selapang-lapangnya. 3 hari di wad terasa amat membosankan. Hendak membaca majalah pun, mudah sahaja aku terlena dek ubat tahan sakit yang diberikan padaku berselang empat jam sekali.

Ibu menyambutku di pintu pagar sebaik sahaja kereta Ady berhenti di depan rumah Naemah. Sudah lama agaknya dia menunggu kami pulang dari hospital. Aku meyalami ibu, mencium kedua pipinya.

"Ijad mana ibu?"

"Ada kat dalam, tengah tengok TV. Tak lekang dia dengan mainan yang Ady belikan hari tu. Naemah tengah masak. Masuklah dulu Ady, tentu Ady penat tunggu Hani kat hospital. Makan kat sini dulu, lepas tu Ady baliklah berehat. Esok sajalah hantar makcik dan Hani balik kampung."

"Baiklah Makcik. Saya pun cadangnya begitulah tadi." Ady buka kasut dan terus masuk ke ruang tamu. Beg kecil memuatkan barang-barangku selama aku di wad dihulurkan pada ibu.

Bau sup yang amat wangi terhidu dari dapur. Kecul liurku dan perutku terasa lapar tiba-tiba. Sarapan tadi aku tak berapa berselera untuk menjamahnya. Nasi gorengnya entah apa rasa. Tawar! Patutlah terlalu ramai pesakit tak mahu tinggal lama di wad.

"Masak apa tu?" aku menjengah ke dapur dan berhati-hati menarik kerusi dan duduk.

"Alhamdulillah, dah sampai pun kau. Ady mana?"

"Ady ada kat ruang tamu tengah layan Ijad. Kau masak apa ni? Sedap sangat baunya?"

"Sup tulang dan ibu kau suruh aku goreng ikan haruan ni, untuk kau. Elok untuk luka pembedahan."

"Ikan haruan? Eiuwwww.... Wajib ke makan tu?" bila aku membayang bentuk ikan yang bersisik dan hodoh itu, geli-geleman aku dibuatnya.

"Wajib ke, sunat ke, harus ke... aku tak tahu apa hukumnya. Yang aku tahu, kau kena makan. Itu petua turun temurun. Kalau kena bedah, memang kena makan ikan haruan. Kau jangan risaulah! Tak nampak ngeri pun ikan ni lepas kena goreng. Sisiknya dah tak ada, bau pun tak hanyir. Penat ibu kau cuci dengan asam limau."

Aku mencebik.

"Kau dapat kat mana?"

"Pagi tadi aku cari kat pasarlah, takkan nak pergi memancing pulak?"

Ishhh. Naemah ni, sempat jugak buat lawak tu!

"Kau dapat cuti berapa lama?"

"Cuti? Maksud kau.. M.C.?"

"Ialah... medical leave,"

"Dalam dua minggu. Lepas tu aku kena jumpa doktor lagi. Then, tengoklah mcam mana."

"Eloklah kau balik kampung esok. Aku kerja, tak ada siapa nak layan kau kalau duduk rumah ni." Tangan Naemah lincah menyedok kuah sup ke dalam mangkuk besar. Juga mengeluarkan pinggan dari kabinet. Aku bangkit dari kerusi dan mahu menolongnya.

"Weyh.. kau tu sakit. Tak payahlah tolong." Marah Naemah apabila aku ambil gelas dari rak.

"Aku dah sihatlah. Luka tu sikit je, berjahit tak sampai sejengkal pun,"

"Nanti bentan. Kau tu kena jaga-jaga, badan kau nak pakai lama,"

Aku cebirkan bibir. Naemah kalau dapat membebel, mengalahkan mak-nenek. Agak-agaknya Arman Shazwan boleh tahan tak dengan mulut murainya?

************

Selepas seminggu berada di rumah ibu, aku menerima panggilan telefon dari Halique. Kenapa hari ini baru dia mencariku?

"Assalamualaikum,"

"Waalaikumussalam, kau dah keluar dari hospital?"

"Er.... Saya ada kat kampung. Doktor bagi saya dua minggu M.C."

"I see. Sorry.. aku tak ada dekat KL, sebab tu aku tak datang melawat kau."

"Never mind.... saya tahu awak sibuk."

"Hani.... esok atau lusa, boleh aku datang rumah kau? Ijad yang datang kat wad hari tu, anak arwah Putri, betul tak?"

Aku tarik nafas perlahan.

"Hani.... dia anak aku, kan? Aku yakin dia anak aku."

Aku masih berat mahu mengiakan walaupun aku tahu aku tak boleh menipu Halique. Tiada orang lain yang memanggilku 'mama' selain dari Ijad, anak arwah Alin.

"Ijad, Haizad Sharmin." Aku menyebut nama penuh Ijad dalam sebak yang tertahan-tahan.

"Hani........" Suara Halique gemersik memampan telingaku. Aku tenggelam dalam air mata yang tak berkesudahan.

"Kenapa awak selalu buat saya menangis? Kenapa setiap kali saya bercakap dengan awak, saya teringatkan arwah adik saya? Halique.... awak jahat... awak......"

"Hani.... tolong bagi aku peluang peluk anak aku. Aku rayu pada kau, tolong aku Hani..... tolonglah!"

"Saya perlu minta izin dari ibu saya, Halique. Sampai sekarang saya masih tak berani nak ceritakan pada ibu, apa hubungan awak dengan Ijad. Maafkan saya."

"Kau boleh tolong pujuk ibu kau?"

Ya ALLAH! Bagaimana harus aku tunaikan permintaan Halique?

"Insya-ALLAH saya akan cuba. Tapi awak jangan terlalu mengharap," pujukku pada Halique. Jangan dia buat gila pula muncul tiba-tiba di depan rumahku, sudahlah!

BIAR BULAN BERBICARACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang