DARI kejauhan, aku nampak bayangan Ady Farhan samar-samar dalam keriuhan majlis perkahwinan yang gilang gemilang. Aku tak tahu di manakah aku berada sekarang. Suara-suara tetamu yang hingar-bingar di sekelilingku begitu ramai sekali. Aku seret kakiku mendekati pasangan mempelai di atas pelamin. Semakin terkejut dengan apa yang aku nampak, bukan hanya Ady Farhan yang bersanding dengan sang puteri jelita di atas pelamin yang indah. Di satu sudut lagi, kelihatan Syamsul bersama pasangan pengantin perempuannya.
Aku kehairanan. Bila masanya pula Ady Farhan dan Syamsul berbaik hinggakan boleh melangsungkan persandingan dalam satu majlis?
"Hani!!" nampak sahaja aku, Ady Farhan melaung namaku dengan lantang. Dia terus berdiri dari singgahsana mempelai.
Aku kaget melihat dia mahu mengejarku. Lantas, aku berpusing dan mahu segera turun dari pentas. Mendengar namaku dijerit, Syamsul juga terkejut dan bangun mahu mendapatkan aku. Bergegas aku menuruni anak tangga di hujung pentas.
"Hani.... Jangan pergi!! Syam sayang Hani!!" laung Syamsul sekuat hati tanpa mempedulikan mata-mata tetamu yang sedang memandang.
Langkah laju, aku tukar dengan berlari pula. Di belakangku, Ady Farhan dan Syamsul masih mengejar sambil melaungkan namaku tak putus-putus. Tak tahu arah tujuan, aku berlari dan terus berlari hingga aku tiba di satu persimpangan jalan. Antara kiri dan kanan, ke manakan arah yang harus aku pilih?
Sreeeeetttt!!!!
Kedengaran bunyi tayar kenderaan bergesel di belakangku dan serentak tubuhku melayang ke udara.
"Aaa!!!!!" raunganku bergema dan terus sahaja aku tersedar. Turun naik nafasku dengan laju kerana masih terkejut dengan kejadian tadi.
"Hani...."
Mata yang terbuka sedikit tadi aku buka luas bila suara Ady Farhan menyapa telingaku. Ady Farhan? Aku di mana sekarang? Sepatutnya aku berada di atas jalanraya dan dilanggar sebuah kereta tadi.
"Alhamdulillah! Hani dah sedar."
"Hani kat mana?" aku yang masih terpinga-pinga dan tak dapat mengingati apa yang berlaku. Tadi, Ady sedang bersanding di pelamin? Syamsul... di mana pula?
"Hani kat wad. Siang tadi Hani kena bedah, ingat tak?"
Oh! Aku bermimpi rupa-rupanya.
"Bedah?" aku bertanya lagi dan barulah terasa sakit di bahagian bawah perutku. Kini, ingatan tentang kejadian pagi tadi mula berputar sedikit demi sedikit.
"Pukul berapa sekarang?"
"Hampir 8.00 malam. Ady suruh Naemah balik rumah dan berehat. Juga ambil sikit baju dan keperluan untuk Hani. Doktor kata Hani mungkin kena tahan wad dalam dua hingga tiga hari."
"Ady tak balik?"
Ady senyum dan mengeleng.
"Ady tidur sini, temankan Hani."
Aku terharu dengan kesungguhan Ady. Sikap ambil beratnya dari bulan pertama aku mengenalinya tak pernah lupus.
"Terima kasih. Hani dah banyak susahkan Ady."
"Ady sayang Hani dan Hani juga bakal jadi isteri Ady. Sudah tentu Ady sanggup buat apa saja untuk Hani. Ermmm, Hani lapar tak? Nurse kata, kalau Hani bangun dah boleh makan bubur atau makanan lembut. Hani nak makan apa?"
"Petang semalam, Hani dah makan bubur McD."
"Habis tu?"
"Belikan Hani roti, cukuplah."
Ady mengangguk dan segera bangun.
"Baring diam-diam, jangan pergi mana-mana." Pesan Ady Farhan sebelum meninggalkan aku keseorangan di wad ini.
Aku hanya memandang kelibat Ady Farhan yang menghilang di sebalik pintu yang ditutup rapat. Aku tarik nafas perlahan. Seperti tak percaya yang sekarang aku terbaring lesu begini di katil hospital. Aku teringatkan ibu dan juga Ijad di kampung. Ibu sudah terima berita tentang keadaanku sekarang atau belum? Lupa pula aku mahu bertanya pada Ady Farhan tadi.
Pintu diketuk tak sampai sepuluh minit selepas Ady Farhan pergi. Aik? Cepatnya dia ke kedai? Dia terbang ke?
"Assalamualaikum!"
Terkejut aku dengan suara lelaki yang memberi salam.
Tengku Sharmin Halique!
"Waalaikumsalam. Awak datang? Macamana awak....."
"Aku called handphone kau tapi housemate kau yang jawab dan beritahu kau masuk hospital." Halique terlebih dulu memintas kata-kataku.
"Owh...., terima kasih!" jambangan bunga yang dibawanya diletakkan di atas kabinet di tepi katilku.
"Tak perlu ucapan terima kasih kau. Aku yang buat kau kelaparan dari tengahari semalam. Aku dengar kau muntah teruk pagi tadi. Maafkan aku."
Aku senyum kecil. Bukan salah Halique aku diserang radang appendiks. Selama ini aku yang payah mahu jaga pemakananku.
"Bukan salah awak sepenuhnya. Kejadian semalam adalah penyebab saya kena bedah. Kalau tak, selamanya saya tak tahu yang saya ada masalah dalam perut." Aku segan dengan pandangan Halique yang jatuh pada wajahku. Sudahlah dari pagi wajahku pucat tanpa solekan. Semalam lainlah! Aku terserempak dengannya ketika waktu pejabat. Tentu aku tak kelihatan menarik hari ini.
Eh!, Untuk apa kau memikirkan hal cantik atau tak di mata Halique, Hani?
'Sekali lagi, jaga hatimu Hani. Jangan sampai kau 'ter'jatuh cinta padanya!'
Melihat Halique duduk di kerusi di sisi katilku, perlahan-lahan aku angkat tubuhku mahu bersandar di kepala katil. Bersusah-payah aku membetulkan badan dan dengan pantas Halique bangkit dari tempat duduknya dan membantuku. Bantal didirikan menegak dan menolak bahuku agar bersandar ke bantal.
Serentak itu juga, pintu bilik terbuka dan muncul Ady Farhan bersama bungkusan barangan di tangan. Aku gaman dan Halique turut terkejut sama.
"Hani buat apa?" Ady Farhan menerpaku dan Halique cepat-cepat alihkan tangannya di bahuku.
"Hani nak bersandar tadi, Halique yang tolong. Err Ady, kenalkan, kawan Hani... Halique."
"Ady Farhan, bakal tunang Hani."
Berubah wajah Halique sebentar dan kemudian dia tenang semula dan memberi senyuman kecil.
"Tahniahlah kalau begitu. Maaf, aku tolong Hani tadi."
Aku yang mendengar perkataan 'bakal tunang' yang disebut Ady Farhan rasa tak keruan. Tak perlulah dia membuat kenyataan begitu. Mahu menunjukkan apa? Mahu tunjuk hebat? Aku bukannya barang taruhan.
