Bab 35

57 5 2
                                        

"Kak Hani..... yang ni cantik, warnanya sesuai dengan kulit kak Hani." Hanim memberi komen pada sepasang baju kurung moden berwarna hijau pastel. Di lehernya bersulam kerawang warna pink muda, tak terlalu sarat seperti baju-baju yang lain. Tadi, aku sudah membeli tiga pasang kain ela. Dan sekarang, aku tertarik pula pada baju kurung siap berjahit yang Hanim suakan.

Aku menoleh pada Halique dan dia mengangguk. Pelik juga aku pada diri sendiri. Buat apa aku minta pendapat lelaki asing yang tak ada kena mengena dengan diriku tentang pemilihan baju yang hendak aku gayakan di hari raya nanti?

"Okey ke kalau kak Hani pakai yang ni?" aku bertanya kembali pada Hanim untuk pengesahan.

"Cantik sangat!" dengan ibu jarinya, Hanim naikkan.

Aku mengacukan ke badanku sebentar, menilik biasan di cermin. Memang aku berkenan dengan pilihan Hanim ini.

"Apa lagi? pergilah cuba. Sekali sekala pakai pakaian mahal, apa salahnya, kan?" giat Hanim lagi.

Aku ketawa perlahan dan masuk ke bilik persalinan tak jauh dari situ. Halique masih leka melayan Ijad dengan tabletnya. Aku tak risaukan keselamatan Ijad kerana aku sedar ekor mata Hanim selalu memerhatikan mereka berdua. Tetap bimbang kalau-kalau Halique punya perancangan mahu bawa Ijad lari.

Aku keluar dari bilik persalinan dan berdiri di depan Hanim. Berpusing dua-tiga kali bagi memperlihatkan pada Hanim baju ini benar-benar ssesuai di tubuhku atau pun tak.

"Okey tak?" tanyaku buat sekian kalinya mahukan kepastian. Hati memang sudah berkenan dengan baju yang sangat menawan ini.

"It's suit you well, kak Hani. Perfect!"

Aku mencuri pandang Halique. Bergetar hatiku bila mendapati Halique sedang merenungku. Agaknya berapa lama dia sudah memerhatikan aku? Gaya aku berpusing-pusing macam model tadi, dia nampak tak? Haish....! Macamana aku boleh lupa yang dia ada di sini juga?

Aku bergegas masuk ke fitting room dan menukar pakaianku semula. Mindaku masih kalut dengan renungan mata galak Halique sebentar tadi. Ya ALLAH! Aku sudah berjanji dengan keluarga Ady Farhan. Mengapa saat ini dan ketika ini, 'perasaan' lain sekali lagi bertandang di hatiku?.

Wahai hati.... tolong buangkan getar perasaan ini. Tolonglah!!!

Aku hulurkan 4 keping not lima puluh ringgit kepada juruwang. Baju yang sudah siap dilipat ke dalam beg kertas diletakkan di kaunter.

"Cik... Encik ni dah bayarkan untuk cik," cashier menolak kembali kepingan wang kertas ke tanganku.

"Hah? Eh jangan! Saya nak bayar sendiri." Aku menegah. Mana boleh Halique yang bayarkan untukku?

"Maaf cik, saya dah swipe kad kredit encik ni."

"Tak boleh cancel ke?" aku geram dan menjeling Halique tajam. Pembantu jualan mengeleng.

"Halique, awak...."

"Kau tak sudi terima pemberian aku?"

Aku mengeluh perlahan. Beg kertas di atas kaunter, pembantu jualan hulurkan dan mengucapakan terima kasih kepadaku.

"Hanim tak nak beli baju ke?"

Hanim yang dari tadi memerhatikan kami, hanya mendiamkan diri di sisiku.

"Tak ada mood lah Kak Hani. Jomlah! Kata nak beli barang lain," ajaknya dengan wajah masam. Mungkin dia juga tak suka dengan apa yang Halique buat. 

BIAR BULAN BERBICARACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang