Pintu yang terkuak secara tiba-tiba memaksa kami bertiga mengalihkan pandangan.
"Mama!" suara anak kecil bergema dan baru beberapa langkah menapak, Ijad terpaku apabila menyedari ada 2 orang lelaki bersamaku.
"Ijad..... mari sini." Ady dulu yang bersuara memanggil anak buahku.
Mata Halique terpaku pada Ijad yang takut-takut mendekati katil. Kemudian kedengaran pintu diselak sekali lagi. Terjengul wajah ibu, mak ngah dan sepupuku Hanim.
"Assalamualaikum!" ucap ibu dan disambut kesemua yang ada di bilik kecil ini.
Katilku dikelilingi ahli keluarga. Aku mengucup tangan dan kedua-dua pipi ibu.
"Ini siapa?" ibu menyedari ada seorang lelaki yang tak pernah dikenalinya.
Oh! Aku lupa tentang Halique yang berdiri tak jauh dari katilku. Dia memerhatikan kami sejak tadi tanpa gangguan.
"Ibu.... ini kawan Hani, Halique... er... kawan lama. Halique... ini mak ngah saya dan yang tu, Hanim anak Mak Ngah." Aku tak tegar membuka rahsia siapa sebenar Halique buat masa ini. Tunggullah hingga aku sembuh nanti.
"Ohh... kawan Hani. Terima kasihlah sebab datang melawat. Mak cik dari kampung, tu yang lambat sampainya." Beritahu ibu dengan ramah seraya menyambut tangan yang dihulurkan Halique untuk bersalaman. Tertib dia mencium tangan ibu dan juga mak ngah. Dengan Hanim, Halique hanya menundukkan kepala sikit. Sekarang, aku patut bersyukur yang Syamsul tak turut bersama mereka. Hanim yang membawa ibu, mak ngah dan Ijad ke mari.
Berkerut dahiku. Ngilu terasa di pinggangku setelah aku mengiringkan badan.
"Pelan-pelan Hani. Hati-hati dengan luka pembedahan tu," Mak Ngah memberi nasihat.
"Macamana pulak Hani dapat appendiks? Hani tak jaga makan ke?" ibu mula menyoal siasat. Takkan aku mahu mengaku yang selama aku di Perth, aku 'tibai' sahaja apa jua makanan untuk mengalas perutku. Duduk di rantauan, mana mungkin aku bisa memilih?
"Tak tahulah ibu. Selama ni, Hani ingat sakit perut sebab gastrik. Tak adalah Hani jumpa doktor."
"Berapa lama kena duduk hospital ni?" tanya pula Hanim. Dari tadi matanya tak lepas dari memandang Halique yang membeku di satu sudut. Adakah Hanim juga dapat merasakan yang Halique ada kaitan dengan Ijad? Atau adakah hanya mainan perasaanku? Entah-entah Hanim sudah terpikat pada Halique kot......
"Ady ada tanya doktor tadi. Hani mungkin kena tahan wad dalam sehari dua lagi, barulah boleh keluar."
"Wah..... sayang betul Abang Ady pada Kak Hani ya?" Hanim menyakat abang sepupunya.
Meletus tawa mak ngah. Ady yang mendengar melebarkan senyuman hingga ke telinga.
"Mau tak sayang..... orang tu je yang masih susah nak mengaku yang dia sayang abang Ady."
Dalam aku sakit-sakit begini, ada juga yang masih mahu mengusik. Membahang rasanya aku di saat ini. Aku menundukkan kepala, tak berani menentang mata ibu dan juga mak ngah.
"Eeii, abang Ady tak malu. Entah-entah Kak Hani dah ada boyfriend!" Ekor mata Hanim mengerling Halique. Seolah memberi isyarat kepadaku, mahu mencungkil sejauh manakah hubungan aku dan Halique.
"Kak Hani dah ada pakwe. Nilah pakwe Kak Hani." Aku cuba peluk Ijad yng duduk di sisi pinggangku tetapi sekali lagi aku mengaduh kecil.
"Kenapa Hani?" cepat sahaja Ady dapat mendengar keluhanku.
"Silap peluk Ijad. Perut kena siku dia."
"Mama...." Ijad terjebik-jebik mahu menangis melihat keadaanku. Manjanya dia....
"Tak apa sayang, bukan salah Ijad. Ubun-ubunya aku usap dan mencium kepalanya.
"Carefull. Ijad, jom kita pergi kantin? Ijad lapar tak?" pelawa Ady.
Ijad angguk laju dan depangkan kedua-dua tangannya minta Ady menurunkannya dari katil.
"Saya pun nak mintak diri dululah mak cik. Hani... take care. Get well soon and thanks for everything!"
Aku senyum dan angguk perlahan. Ungkapan "Thanks for everthing" memberi seribu makna bagi Halique. Hanya aku dan Halique yang memahaminya buat masa ini. Matanya tak lekang merenung Ijad di dukungan Ady.
Agak pelik, Halique tak bersalaman dengan Ady hinggalah kelibatnya hilang di sebalik pintu yang ditutup perlahan. Sebagai tetamu seharusnyalah Halique menghormati Ady yang agak rapat dengan keluargaku tapi dia tak berbuat demikian. Musykil juga aku. Nak kata Halique cemburu dengan Ady, sungguh tak logik kerana kami hanya berkenalan tak sampai 48 jam lagi.
