Bab 41

79 4 0
                                        


ELOK SANGAT! Ngam-ngam sahaja kereta Ady Farhan berhenti di depan pintu pagar. Pak cik Hassan, ayah Naemah dan adik lelakinya Naim keluar dulu dan Ady mengikut mereka memijak tangga batu naik ke atas rumah.

Ucapan salam pakcik Hassan disambut ramai-ramai tetamu di dalam rumah. Masing-masing duduk bersila ditikar panjang bersedia dengan pinggan kosong menunggu giliran mangkuk nasi sampai ke tangan.

"Elok sangatlah bakal pengantin sampai. Jemput makan semua. Lauk-pauk hari ni nampak sedap." Pak ngah mempersilakan tetamu menjamu selera.

Ady mengerling padaku ketika menghulurkan air basuhan kepadanya.

'Thank you, sayang!'. Bibir Ady Farhan bergerak-gerak tapi tiada suara yang terzahir. Cukup untuk aku mendengar kata hatinya dengan isyarat bibir.

Aku mengangguk dan tersenyum. Aku dan Hanim bawa diri turun ke dapur semula. Meninggalkan ibu dan Mak Ngah menemani Puan Sri Adalina makan.

"Eh, makcik Som tak naik makan sekali ke?" aku menyedari makcik Som masih sibuk mengemas tutup periuk yang berselerakan di atas meja.

"Tak apalah. Makcik orang kampung, segan pulak nak makan sekali dengan Puan Sri," makcik Som merendah diri.

Aku hampiri Naemah yang sedang memotong buah tembikai yang dibawa emaknya tadi. Tangannya lincah memenuhkan mangkuk-mangkuk kaca dengan potongan tembikai yang memerah. Kecur liurku serta-merta. Aku ambil sejuring kecil dan menyuapkan ke mulut.

"Oitt.... curi ya?" sergah Naemah.

Aku tersengih sambil mengenyitkan mata.

"Aku lapar. Sarapan pagi tadi, tak selera nak makan."

"Ooo.. tengah berdebar eh?"

"Tak adalah berdebar sangat, sebab dua-dua pihak dan bagi restu hubungan kami berdua."

"Dah tu kenapa? Kau masih lagi rasa was-was? Kau...." Naemah tak jadi bercakap panjang bila nampak adik lelakinya turun dari atas rumah membawa mangkuk nasi kosong.

"Kak... tambah nasi lagi," mangkuk dihulurkan dan aku bergegas ke tangga bila mengenangkan tangan Naemah berlumuran dengan lelehan jus tembikai. Mangkuk nasi aku penuhkan dan hulurkan kembali pada Nasir. Aku perasan lirikan mata Nasir pada Hanim yang duduk bersandar di kerusi kayu. Hanim yang cantik dalam sepasang baju kurung moden merah jambu dengan sulaman biru. Bertudung sepadan dengan warna sulaman bajunya

"Ehem!!"

Nasir yang terleka, terus tersentak dan kemudian dia tersipu-sipu. Kalut sebentar dia. Aku hampir tergelak dengan aksi kantoinya.

"Kalau berkenan, apa lagi? Pergilah tackle." Usikku perlahan dan Nasir tambah tak tentu arah jadinya.

"Seganlah kak....." Jawab Nasir malu-malu. Dia bingkas naik ke atas semula bagi menyerahkan mangkuk nasi kepada yang meminta nasi tambah.

"Apa kesnya tu?" rupanya Naemah turut memerhatikan adik lelakinya dari jauh.

"Nasir intai Hanim," aku tergelak kecil.

Naemah bulatkan matanya.

"Mak..... sini!" Naemah menggamit emaknya.

"Apa halnya?" Makcik Som kehairan melihat aksi anak daranya yang kelihatan kelam-kelibut benar.

"Nasir mak...."

"Kenapa dengan Nasir?"

"Tu.. Hanim... Nasir berkenan kat Hanim." Bisik Nemah perlahan ke telinga emaknya.

Aku perhatikan Hanim yang masih tekun membaca majalah 'Mingguan Wanita' keluaran terbaru yang dibeli ibu semalam. Sedikit pun dia tak perasan kami sedang menyebut namanya.

"Hah! Biar betul kau? Hanim tu budak U.... Nasir adik kau kerja biasa-biasa je. Nak ke Hanim dengan dia?"

"Kalau dah jodoh tak ke mana, mak. Semuanya bisa diatur," Naemah mengajuk slang Indonesia.

Aku mengikik perlahan dengan mulut yang terkatup dengan tapak tangan. Tiba-tiba Hanim angkat muka dan menoleh pada kami. Hairan agaknya melihat kami yang sedang sok-sek sok-sek dari tadi.

"Kenapa Kak Hani ketawa? Apa yang lucu?"

"Tak ada apa. Kak Imah ni, buat lawak." Ya Allah! terasa kejang rahangku bila terpaksa menahan ketawa dari meletus kuat.



BIAR BULAN BERBICARACerita yang buat anda obses. Terokai sekarang