BAB 7

245 11 0
                                    

"ABANG tak suka Deeja buat perangai macam tu!"

Terdiam adiknya. Hari ini, buat kali pertama... Redza menghilangkan diri. Dia langsung tak pulang ke rumah sejak pergaduhan dia dengan Khadeeja siang tadi. Serba salah menghantui diri si gadis itu. Mujurlah abangnya ini balik hari dari Melaka.

Haidar peluk tubuh, membelakangi adiknya. Dia kecewa. Sungguh! Mendengarkan tangisan Redza siang tadi, dia tahu jejaka itu lelah. Satu fakta menarik tentang Redza, dia tidak sekuat yang orang jangkakan. Semua orang menganggap dia tabah harungi semua ujian tapi bukannya Haidar tak pernah mendengar dia nangis semasa mereka menjadi teman serumah dahulu. Kini, sebab adik perempuannya sendiri? Redza tiada hati sekental lelaki lain. Kalau lelaki lain pun mampu menangis, kenapa bukan Redza?

"Peluk lelaki yang bukan mahram, pegang tangan, naik motor dengan dia, peluk bagai. Abang tak pernah ajarlah adik abang jadi macam ni, Deeja."

Dia berpaling memandang Khadeeja yang masih menundukkan pandangan.

"Kenapa Deeja tak pernah nak dengar cakap abang pasal Atiq? Deeja tahu tak Redza tu sayang sangat pada Deeja? Deeja ingat selama ni, abang balik dari U untuk jenguk Deeja, abang beli ke makanan semua tu? Itu semua masakan Redza untuk Deeja. Untuk abang sendiri dia berkira nak masak tapi bukan Deeja. Apa yang Deeja butakan mata sangat untuk nampak kasih sayang suami sendiri? Deeja tak penat ke buat dia rasa tercabar?"

"Selama ni, abang ingat Deeja belajar terima dia tapi abang silap. Redza pendam benda tu seorang diri. Kalau abang di tempat dia pun... Abang sakit hati, Deeja. Isteri abang sendiri peluk lelaki lain. Lepastu lelaki tu nak masuk minang isteri abang, wah..."

Riak kecewa ditayangkan. Haidar pandang ke luar rumah. Hujan semakin lebat dan guruh dari tadi sudah berbunyi. Redza ni pula tak balik-balik. Dimanalah dia sekarang gamaknya?

"Deeja sayangkan Atiq, abang... Bukan Abang Ja..." Perlahan dia membalas, takut dengan kemarahan abangnya yang semakin membara.

Haidar keluarkan telefon, ditekan skrin kasar. Dia campak telefon ke atas meja dan Khadeeja pandang skrin telefon milik abangnya perlahan. Melihatkan gambar Atiq dengan perempuan yang berpakaian tidak cukup benang itu membuatkan matanya berkaca.

"Deeja tahu tak kenapa abang marah bila Deeja kawan dengan Atiq? Itu. Itu sebab dia. Abang kerja malam, Deeja. Abang nampak apa dia buat. Port dia semua abang tahu sebab abang lalu tempat dia. Lelaki macam ni ke Deeja nak kahwin? Bagitahu abang, Deeja. Tolonglah jangan kembalikan sejarah hitam keluarga kita, Deeja. Cukuplah ibu tinggal kita sebab lelaki lain. Ayah penat jaga abang, jaga Deeja sampai ayah jatuh sakit. Abang tak nak apa yang pernah jadi pada ibu dan ayah, jadi pada Deeja mahupun abang sendiri."

"Deeja sedar tak kalau dulu Abang Ja tak ada masa Deeja degil nak keluar dengan Atiq, Deeja sekarang mungkin dah murung. Sebab tewas dekat tangan seorang lelaki bernafsu macam Atiq tu. Gamaknya dia tinggalkan Deeja dah sekarang."

Air mata Khadeeja gugur perlahan. Perasaannya bercampur baur hari ini. Sakit. Inikah perasaan Redza selama ini? Melihatkan gambar Atiq berpelukan dengan wanita lain membuatkan Khadeeja semakin panas hati. Mungkin ini yang Redza rasa selama ini, bukan?

Pintu rumah dibuka secara tiba-tiba membuatkan mereka berdua pandang pintu rumah yang terbuka luas itu. Sosok tubuh seorang jejaka masuk kelihatan membuatkan Khadeeja bangun, berdiri memandang kehadiran jejaka itu.

Redza yang baru tiba terus mengangkat kepala, memandang wajah kedua adik-beradik di hadapannya. Dia pandang wajah Khadeeja lama dan dia jatuhkan pandangan. Cukuplah. Dia penat dah nak menangis. Biarlah hati ini berehat ya? Sekejap pun jadilah.

Redza melangkah ke tangga tetapi suara garau Haidar kedengaran.

"Redza, duduk."

Redza berpaling pada Haidar dan dia geleng lemah.

"Aku letih, Dar... Kau bawalah adik kau balik kalau kau nak..." Dia menghalau.

Ya, dia sudah cukup terasa dengan Khadeeja sehingga begitu dia tawar hati. Khadeeja pandang mata suaminya laju dan Redza ukir senyuman tipis sebelum dia matikan senyuman dan kembali mendaki tangga.

Haidar pandang adiknya sayu. Dia tahu Khadeeja sudah berada dalam perasaan yang penuh serba salah. Dia langsung tak bersuara dan Haidar tahu itu adalah salah satu petunjuk bahawa Khadeeja benar-benar sedang takut akan sesuatu...

Sesuatu yang mungkin dianggap mustahil pada Redza tapi tidak pada Haidar.

Mungkin sesuatu itu adalah apabila Khadeeja mula takut hilang Redza.

𝐑𝐞𝐝𝐳𝐚: 𝐓𝐚𝐤𝐝𝐢𝐫 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐞𝐫𝐢𝐧𝐝𝐚𝐡 | 𝐂Where stories live. Discover now