BAB 46

266 5 0
                                    

"PUSH!"

Jeritan Khadeeja kedengaran di dalam Labour Room itu. Tangan Redza digenggam erat serta-merta menarik jeritan dan air mata Khadeeja. Dia sedang sakit. Dia sedang cuba kuatkan diri seperti yang Redza mahukan. Dia sedang cuba bertahan... Demi Redza dan anak-anaknya.

Air mata Redza mengalir melihat kesakitan si isteri.

"PUSH!" Sekali lagi doktor memberi arahan. Redza mengelap air mata Khadeeja dan anak mata Khadeeja menatap Redza kepenatan.

"Sayang, sikit lagi. Isteri abang kuat kan?"

"PUSH!"

Dan itu adalah arahan terakhir dari doktor. Apabila Labour Room menjadi sunyi sepi, Redza tatap mereka dengan mata yang berkaca. Khadeeja pula mengalirkan air mata, lelah. Tiada bunyi bayi... Tiada tangisan bayi...

"Doktor?" Suara serak Redza menegur.

Kedua-dua bayi berlainan jantina itu langsung diterbalikkan oleh doktor dan jururawat. Ditepuk-tepuk badan kecil itu sebelum tangisan mula kedengaran.

"Alhamdullilah." Ucap doktor dan jururawat itu.

Redza langsung memejam mata, mengucap betapa syukurnya dia pada hari itu. Tangannya mengenggam tangan Khadeeja erat tetapi apabila matanya jatuh memandang Khadeeja, air mata Khadeeja mengalir dengan bibir yang mengoyak satu senyuman tipis.

"Abang..."

"Ya, sayang?" Redza tolak rambut Khadeeja ke belakang, mengemaskan wajah cantik itu.

"Izinkan Deeja pergi."

"Sayang?" Mata Redza kembali berkaca. Entah kenapa hatinya kembali risau, kembali gusar dan gelisah.

"Halalkan semua makan minum Deeja."

"Sayang cakap apa ni? Shhh, tak, tak. Sayang penat saja ni. Sayang tidur dulu ya?" Dia cuba menahan esakan tetapi genggaman di tangannya menjadi erat.

"Deeja?"

"Jaga anak-anak kita..."

"Sayang, bawa mengucap... Sayang jangan cakap merepek macam ni."

"Encik Redza?" Suara doktor memanggil membuatkan mata berkaca itu beralih pandangan.

"Degupan jantung isteri encik tak stabil. Minta encik bawa anak-anak keluar dulu ya?"

"Doktor..." Air mata Redza mengalir perlahan. "Doktor cakap apa ni? Isteri saya nak tidur saja... Dia tengah lelah, dia tengah penat saja kan, doktor?"

"Kami akan buat pemeriksaan. Beri kami ruang dan masa ya?"

Redza pandang isterinya dan sekali lagi Khadeeja mengoyakkan senyuman tipis. Kali ini bibir Khadeeja bergerak tetapi tiada suara. Bagai terlalu perlahan suara itu untuk Redza dengar. Redza jatuhkan kepalanya, telinga diletakkan mendekati bibir Khadeeja.

"Deeja... Sayang... Abang..."

"Abang sayang Deeja juga." Redza kucup dahi isterinya lama. Air mata mengalir, dalam hati tak henti meminta pertolongan Tuhan.

"Abang tunggu Deeja tau."

Diusap pipi mulus Khadeeja dan terlihat jururawat sudah bawa dua anaknya itu keluar dari Labour Room. Dia senyum manis memandang Khadeeja, berharap dia dapat berjumpa si isteri sekejap lagi. Dia perlu mengazankan anak-anak kecilnya itu dahulu.

Apabila dia keluar dari Labour Room, bibirnya terkumat-kamit membaca doa. Mohon untuk Tuhan selamatkan isterinya.

Kehadiran keluarganya dan keluarga Khadeeja langsung tidak dihiraukan. Badannya kaku bergerak ke arah anak kembarnya sebelum dia angkat anak lelakinya, mengucup dahi mulus itu. Azan dari mulutnya mula kedengaran apabila telinga kanan anak lelakinya sudah setia berada di hadapan bibir Redza. Merdu sangat kedengaran tetapi dalam diam, hati Redza sedang menjerit kesakitan. Entah dia rasa sakit, dia rasa takut. Takut kehilangan bidadari miliknya.

Giliran anak perempuannya pula diazankan. Sama seperti yang dia lakukan pada anak lelakinya tadi, diazankan ditelinga kanan dan dikucup lembut dahi mulus anak perempuannya.

Baru saja dia letakkan anak perempuannya kembali, pintu Labour Room dibuka perlahan. Doktor perempuan itu memandang Redza dan ahli keluarganya dengan penuh kesayuan. Dari jauh, doktor sudah menggeleng kepala memandang Redza.

Pada hari itu, hanya Tuhan saja tahu apa perasaan Redza sebagai seorang suami dan ayah.

✰✰✰✰✰

"AKU tak nak." Ego! Dia adalah hamba yang paling angkuh sekarang ini. Dia yang dahulu seorang penyayang berubah sepenuhnya selepas pengebumian Khadeeja.

"Muhammad Redza, kau sedar tak kau cakap apa ni?!" Haidar menengking dengan penuh sebak di dada. Adik perempuannya baru saja pergi selepas lunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu. Kini, ini balasan Redza?

"Kau letak budak-budak ni kat rumah anak-anak yatim. Aku tak nak tengok dorang. Aku benci..."

Dalam diam dia menyorokkan tangisannya di dalam hati. Jika tadi dia bersyukur, sekarang dia rasa mereka adalah bebanan. Anak-anaknya adalah bebanan. Dia hilang satu-satunya bidadarinya kerana mereka!

"Redza!"

Maleka pula bersuara dengan mata yang berkaca, tak sangka sebegitu perubahan anaknya. Dimanakah iman seorang Muhammad Redza?

"Ja kata Ja tak nak! Isteri Ja mati sebab budak-budak tu!"

"Astaghfirullahalhazim..." Mengucap dibuatnya semua penghuni di dalam rumah itu.

"Bawa mengucap, Redza!" Marina menegur. Sebegitu angkuh menantunya itu selepas kehilangan isteri. Sangat angkuh...

"Patutnya Ja tak payah ada anak dengan Deeja. Ja boleh hidup berdua dengan dia! Ka...Kalau tak, sekarang dia tengah bahagia dengan Ja..."

"Ja, sedar diri! Allah lebih sayangkan isteri kau. Allah lebih sayangkan adik aku, Ja. Redha dengan pemergian dia..."

"Khadeeja janji dengan aku semalam... Dia janji dia takkan pergi. Dia akan kuat tapi dia mungkir janji tu! Dia sama saja! Dia sengaja tinggalkan aku!"

"Redza!"

Rasa nak meraung saja mendengar luahan hati Redza. Sampai begitu bencinya Redza pada takdir Tuhan kali ini. Haidar bagai tak mengenali jejaka di hadapannya ini. Dimanakah Muhammad Redza yang sentiasa harungi semua ujian dengan tabah dulu?

"Dia kejam! Dia tinggalkan aku! Dia tipu aku!"

Redza jatuh melutut di atas lantai dan air matanya gugur tak henti. Segala perasaan dilepaskan di hadapan keluarganya. Dia sedang sakit. Baru saja semalam dia membelai isterinya. Baru saja semalam dia bergelak tawa dengan Khadeeja tapi sekarang?

"Ja, Deeja tak tinggal Ja. Dia..."

Kata-kata Zhafran terhenti apabila Haidar mengangkat tangan, memberi isyarat untuk mereka berhenti berlawan mulut dengan Redza. Haidar buka langkah mendekati Redza dan dia turut melutut di hadapan sahabatnya itu.

"Dia tinggal aku, Dar. Adik kau tipu aku... Adik kau kejam! Adik kau..." Kata-katanya terhenti apabila Haidar bertindak untuk memeluk tubuh tegap Redza.

Dibelai lembut rambut tebal Redza dan dia mula berselawat di telinga Redza. Air matanya turut mengalir, menyedari kesannya terlalu besar bagi Redza yang baru saja kehilangan isterinya. Kehilangan teman sehidup sematinya.

"Apa dosa aku, Haidar?" Itulah persoalan terakhir yang diajukan sebelum matanya dipejam, cuba merelakan semua yang terjadi ini dengan hati yang terbuka.

𝐑𝐞𝐝𝐳𝐚: 𝐓𝐚𝐤𝐝𝐢𝐫 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐞𝐫𝐢𝐧𝐝𝐚𝐡 | 𝐂Where stories live. Discover now