BAB 41

202 7 0
                                    

PERANCANGAN Tuhan itu menarik. Apa yang diaturkan oleh Tuhan sudah cukup cantik, tinggal kita sebagai hamba-Nya saja perlu mengikut jalan yang sudah ditentukan. Elakkan perkara yang memudaratkan, dekatkan diri dengan perkara yang bermanfaat. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Sama juga seperti hari ini. Selepas sebulan lebih menunggu, gugurnya air mata Redza sekali lagi. Sudah lama dia tak bersedih kerana ada nyawa yang sedang melihat ketabahannya sebagai seorang bapa. Kali terakhir dia menangis adalah ketika Khadeeja memberi khabar tentang wujudnya nyawa di dalam rahim Khadeeja. Ketika itu, air mata gembira Redza saja yang muncul. Tapi hari ini, selepas sekian lama... Tangisan gembira itu kembali apabila syurganya sudah mula mencelikkan mata, mampu tersenyum dan bercakap walaupun masih lemah.

Di dalam bilik wad ketika itu hanyalah keluarga kecil yang diketuai oleh Zhafran dan Redza dari kecil. Kamy yang baru selesai dialisis, Rafiqah yang sudah sihat sepenuhnya dengan tangannya yang masih belum pulih, Zhafran yang berkejar-kejaran dengan masa dari UiTM selepas mendapat berita tentang Maleka. Terakhir sekali, Khadeeja dan Redza yang setia bersama antara satu sama lain. Kalau Redza pergi cafe, dia paksa juga si isteri ikut. Alang-alang dia digantung kerja, mudahlah urusannya untuk menjaga si isteri yang berbadan dua.

Tangan Maleka dicapai dan Redza kucupnya lama. Perlahan-lahan matanya berkaca, menyedari dia masih tidak dimaafkan si ibu tentang kejadian sebulan lepas.

"Ja..."

Mendengar saja Maleka menyebut namanya, dia terus mengangkat kepala memandang Maleka dengan tangan yang masih mengenggam tangan Maleka. Si ibu yang terbaring sayu dengan topeng oksigen itu hanya tersenyum memandang anak lelakinya.

"Ja jangan sebut tentang maaf..." Perlahan sangat suara si ibu. Tatkala itu, hati Redza remuk. Apa dia tidak layak dimaafkan?

"Sebab Ja dah cukup memohon maaf pada mama setiap hari di sisi mama."

Air mata Redza mengalir perlahan. Setiap hari dia tidak pernah lupa untuk memohon ampun dari Tuhan dan syurganya. Setiap hari dia melawat Maleka, setiap hari jugalah dia bisikkan kata-kata maafnya. Menceritakan kekuatannya menunggu si ibu untuk bangun, menceritakan betapa bahagianya dia yang bakal menjadi seorang ayah. Dan semua itu jelas didengari oleh Maleka.

"Dan mama yang kena minta maaf dengan Ja sebab mama tak percayakan anak mama sendiri sedangkan mama yang besarkan putera mama ni..."

"Tak... Mama tak ada salah pun dengan Ja." Redza kucup sekali lagi tangan Maleka. "Sekarang ni Ja nak mama sihat. Mama nak jadi wan dah tau, mama kena sihat untuk Ja, untuk umi, untuk Abang Zhaf, untuk adik, untuk isteri Ja dan yang paling penting... Untuk cucu mama."

"Jadi suami dan ayah yang baik, Redza..."

Tangan Maleka diangkat menyentuh pipi kasar Redza. Dia usap dengan penuh kasih sayang dan Redza hanya tersenyum bahagia. Dia janji. Perjanjian bahawa dia akan jadi ayah dan suami yang baik untuk Khadeeja dan anak-anaknya telah disaksikan oleh beberapa orang di dalam bilik wad ini. Jikalau dia gagal, maka ingatkanlah dia tentang janji ini.

✰✰✰✰✰

"SO Deeja sekarang ni study ke tak?" Afieq memandang kedua-dua jejaka penting dalam hidup Khadeeja di hadapannya ini. Masing-masing menggeleng, menafikan hal itu.

"Tak, laki dia tak bagi." Haidar mencebik dan Redza sekilas menyiku abang iparnya di sebelah.

"Kenapa kau tak bagi, Ja? Study saja, bukan kerja. Tak menjejaskan kandungan pun." Jawab Taufik laju.

Pelik juga perangai Redza ni. Selalunya ada saja pelajar U yang mengandung dan masih teruskan pembelajarannya tapi Redza pula tak kasi isteri dia sambung belajar.

𝐑𝐞𝐝𝐳𝐚: 𝐓𝐚𝐤𝐝𝐢𝐫 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐞𝐫𝐢𝐧𝐝𝐚𝐡 | 𝐂Where stories live. Discover now