DIAM. Tiada sebarang kata yang keluar dari mulut walaupun dalam kepala dah terlalu banyak makhluk cuba berbisik. Anak mata kosong tanpa tahu apa yang dipandang sekarang. Sumpah, dia tak tahu cara untuk menunjukkan reaksinya
"Kau okey ke tak, Reen?" Suara Anita memecahkan keheningan. Melihat Raudhah dah tenggelam dalam fikiran, terus gadis itu bersuara.
"Reen..." Anita cuba menggoyangkan lengan Raudhah.
"Ya?"
"Aku tengah tanya ni. Okey ke tak?" Perlahan suara Anita menanyakan hal itu. Manakan tidak, tengok Raudhah seperti orang tak lalu nak makan. Tak semena-mena menaikkan kerisauannya. Kotlah terjatuh pengsan nanti.
"Tak..." Kali ini kepalanya menggeleng. Jujur.
"Yelah. No wonder kau tak okey. Dahlah single mom, duit gaji kau selama ni pun cukup-cukup untuk sara hidup kau dan anak kau. Tapi bila jadi sekarang ni, mesti kau tak tahu mana hala tuju kau, kan?"
Raudhah mengangguk. Selama ini dia menyangka semua akan baik-baik saja. Tapi bila jatuh hari ini, semuanya dah berubah. Kerja yang sudah dilakukan setelah bertahun-tahun tiba-tiba lenyap.
"Aku kesian dekat anak aku." Bibir dikemam rapat. Mengenang nasib Haqqim, hatinya benar-benar rasa syahdu. Haqqim baru saja berumur lima tahun, perlukan banyak duit untuk belajar, membesar dan semuanya memang memerlukan duit.
Tapi sekarang dia hanya sebatang kara. Kemana lagi dia perlu cari?
"Tak nak cari kerja baru?"
"Nak. Tapi kau sendiri tahu aku macam mana, kan?"
Anita hela nafas panjang. "Kau tak boleh berjauhan dengan Haqqim. Sekarang ni pun kau asyik ulang-alik sebab nak ambil Haqqim ke sekolah, inikan pula nak kerja jauh-jauh. Sudahnya tempat ni bukan besar sangat."
Syukurlah Anita faham apa yang dirasakan. Gelas yang berisi dengan air putih dicicip sedikit untuk membasahi tekaknya. Sesekali dia memandang orang-orang yang ada di dalam restoran mamak sekarang.
Namun, matanya hanya tertancap ke arah keluarga kecil yang duduk di salah satu meja. Ada si ibu, si ayah dan anak kecil keluarga itu. Entah kenapa perasaannya seolah-olah terusik kerana hal di depan mata.
Kalaulah lima tahun lepas tak terjadi apa-apa dan perkahwinannya dengan lelaki itu bertahan hingga kini. Mungkin mereka akan berakhir seperti keluarga harmoni.
Tetapi, apa yang ada dalam bayangannya cumalah angan-angan. Tak mungkin semua itu terjadi seperti yang diharapkan selama ini.
"Macam mana?" Tiba-tiba Anita kasarkan sikit suaranya. Cuba menarik perhatian Raudhah sekali lagi bila melihat tumpuan wanita itu mulai tertarik akan sesuatu.
"Hm..." Raudhah tundukkan kepala.
"Kau nak cuba jual sambal udang kau lagi?"
Dengarkan itu, perlahan-lahan kepalanya menggeleng. Rutinnya dulu dengan sekarang dah berubah. Haqqim pun dah makin besar, takkan dia nak biarkan Haqqim seorang-seorang di sekolah sementara dia menjual sambal?
YOU ARE READING
𝐓𝐚𝐤𝐡𝐭𝐚 𝐒𝐞𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐁𝐢𝐝𝐚𝐝𝐚𝐫𝐢
Romance𝐍𝐮𝐫𝐞𝐞𝐧 𝐑𝐚𝐮𝐝𝐡𝐚𝐡 | 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐙𝐚𝐲𝐫𝐚𝐧 Percaya? Percayakah dia pada namanya cinta. Setelah cinta yang bertahun-tahun lamanya dipendam, akhirnya terkubur. Raudhah merelakan lelaki yang dicintai bahagia bersama teman baiknya, Rose...