Kali pertama bertemu, mereka bagaikan anjing dengan kucing. Suka bergaduh!
Namun mereka terpisah buat sementara waktu. Masing-masing membawa haluan sendiri. Bagi Hariz, dia rindukan wanita yang suka melawan katanya!
"Sha? What are you doing here?"...
"Mana Sha?" tanya Hariz terus. Matanya melilau memerhati seluruh ruang tamu.
"Sha? Mana ada dia datang sini." Lagi hairan Encik Sharif dibuatnya.
"Mana isteri Hariz? Abi tolonglah jangan tipu. Cakap dekat Hariz, mana Sha?" Tangan Encik Sharif ditarik dan dikucup berkali-kali bagaikan merayu.
"Ya Allah, Hariz! Apa yang kamu merepek ni?" Encik Sharif mencengkam bahu anaknya. Dipandang dalam anak mata itu. Kemudian, dia memandang wajah Arlan di belakang.
"Sha tak ada, abi. Dia dah pergi... Dia cakap dia terpaksa. Hariz tahu, mesti umi yang halau Sha pergi kan?" lirih Hariz berkata.
Manakala, Encik Sharif terdiam seribu bahasa. Menantunya telah pergi? Kerana isterinya sendiri?
"Mana kamu tahu umi yang halau?" tanya Encik Sharif.
"Hanya umi yang bising pasal Sha sebelum ni kan? Mana pergi umi?!" Hariz meninggikan suaranya.
"Aish, apa bising-bising ni? Tak eloklah. Kita ada tetamu kan?" bebel Puan Nurul sambil melangkah ke ruang tamu bersama Tiara di sisi.
Hariz yang terdengar suara uminya terus berlari mendapatkan tubuh itu.
"Mana isteri Hariz, umi?"
Terkejut Puan Nurul disergah sebegitu. Air liurnya ditelan kasar. Wajah keliru dipasangkan sebagai lakonan.
"Hah? Ada dekat rumah kamu la. Mana umi tahu," balas Puan Nurul selamba.
Tiara menjarakkan dirinya dari Hariz dan Puan Nurul. Dia hanya memandang dari tepi. Dia bermain dengan jari-jemari sendiri setelah dengar soalan yang luncur dari bibir Hariz.
"Umi jangan tipu! Habis ni apa?" Surat yang ditulis Shasha dibuka di hadapan wajah Puan Nurul.
"Tak ada siapa yang membenci isteri Riz selain daripada umi. Hanya umi yang bermati-matian nak pisahkan Hariz lah, madukan Sha lah. Apa yang umi dah buat pada isteri Hariz?!" Mencerlung matanya merenung wajah Puan Nurul.
"Eh disebabkan perempuan tu, kamu nak derhaka pada umi?" Puan Nurul membalas dengan nada yang turut meninggi.
"Kamu dah kenapa ni, Hariz Nufael? Abi tak pernah ajar kamu tinggi suara pada umi! Sudahlah berminggu kamu langsung tak jenguk kami. Balik-balik ke sini terus nak marah!" ujar Encik Sharif. Hatinya yang panas disabarkan jua.
"Jadi, abi tak tahu?" Suara Hariz mengendur.
"Tahu apa?" tanya Encik Sharif.
"Kenapa ni?" Medina mencelah. Hairan dia mendengar bunyi riuh-rendah dari dalam biliknya.