Dalam seumur hidup Hazel Elmeera, tidak pernah dia terasa dihina dan dimalukan sedemikian. Diheret dan dibawa ke dataran sambil dilihat para istana. Rasa seperti benar benar dihukum bersalah walaupun dia tidak diberi peluang langsung untuk menjelaskan.Nampaknya Andhika benar benar membencinya.
Kini dia dibiarkan sahaja dibawah cahaya matahari, bersama dengan Ammar yang turut diikat di satu besi sebesar pemeluk yang terpacak di tanah, menyebabkan dia tidak boleh bergerak langsung. Semangkuk air diletakkan dihadapannya, namun dengan posisi dan ikatan yang kuat, mana mungkin dia mampu mencapai mangkuk tersebut.
Mungkin sahaja mangkuk itu sengaja diletakkan bagi mengejek dirinya.
Andhika, mengapa begitu kejam sekali hukuman ini? Adakah kerana begitu lara dan kesal yang ditanggung sepanjang hidup sejak kecil, menyebabkan kau melepaskan marah itu padaku? Bagaimana jika kau ketahui perkara sebenarnya, adakah masih sama perasaan marah itu? Benarkah sebenarnya kau sayangkan aku? Dimana perginya rasa itu sekarang?
" Hazel.." serak suara Ammar memanggil dirinya.
Hazel hanya melihat Ammar penuh sayu, begitu kemas dia menyimpan rahsia sehingga sanggup menerima hukuman yang sama.
" Kau okay?" soal Ammar.
Hazel mengambil masa untuk mengangguk perlahan lahan.
" Aku okay Ammar."
Kedengaran Ammar seperti mengerang kesakitan. Luka di bahagian belakang badan dan kaki jelas kelihatan. Seperti kesan libasan.
" Bertahan lah sedikit Hazel. Menurut kiraan aku, bulan merah itu sepatutnya malam ni. Aku akan cari jalan untuk lepaskan kita berdua. Aku akan bawa kau pulang ke Awana semula. Usah bimbang Hazel. Cuma pinta aku, bertahanlah."
Suara Ammar menutur kata meruntun hati Hazel Elmeera tika ini. Dia tidak tahu apa yang harus dia rasakan kini.
" Aku takut nak berharap Ammar," ujar Hazel lemah. Kakinya yang berdiri terasa sangat kebas.
" Kau kena kuat. Kau dah tak boleh tinggal di sini lagi Hazel. Andhika bukan seperti yang kita kenal sebelum ini. Pulanglah, kembali kepada kehidupan kau yang dulu."
Hazel diam membisu, semangatnya terbang jauh meninggalkannya, hingga tiada sisa yang tinggal. Kekuatannya makin melemah menyebabkan dia rasa tidak mampu bertahan. Sekilas dari jauh dia melihat istana Utama, tempat bersemayam Sultan Andhika. Matanya bergenang.
"Aku nak jumpa Cik Puan Seroja. Aku dapat rasakan aku dah tak lama kat sini," ujar Hazel. Halaan matanya masih tidak beralih dari istana. Ammar hanya merenung Hazel dan menghela nafas. Kasihan.
" Aku nak jumpa insan yang melahirkan aku."
—————————————
PRANG!!!
Segala perhiasan istana bersepah sini sana menggambarkan betapa serabutnya si pelaku. Bunyi yang kuat itu nyata menakutkan beberapa dayang berhampiran namun mereka kekal diam mengunci mulut.
Bimbang Sultan Andhika bertambah berang.
" Tuanku," panggil satu suara tenang dibelakangnya, yang tidak diendahkan oleh Andhika. Umar, sahabat baiknya, si pemilik suara tenang itu hanya menghela nafas. Melihat situasi itu, dia tahu Andhika bertindak melulu, dek kerana dendam kesumat yang menyelimuti.
"Ampun tuanku..."
" Tuan hamba mahu apa?" keras suara Andhika bertanya. Nada yang mengandungi rasa kekecewaan yang nyata, kekusutan yang berselirat dan rasa kekeliruan yang bercampur. Wajahnya kelihatan merah berpeluh peluh.
YOU ARE READING
Cinta Dua Dunia
RandomBuku kelima Atas satu takdir yang terjalin dan ramalan yang belum diselesaikan, Dr Hazel Elmeera seorang pegawai perubatan yang kasar dan kalut tersesat ke 1000 tahun kebelakang. Dalam usaha dia mencari jalan keluar dan pulang ke masa kini, pelbaga...