TENGKU Sarimah menyediakan makan malam kecil-kecilan di rumahnya. Dia menjemput semua pekerjanya untuk menghargai pengorbanan mereka dan tidak lupa pada orang kepercayaan mereka, Aunty Jasmine.
Malam itu, keluarga Tengku Hussain sibuk menguruskan hal yang berkaitan. Hanya kaum hawa sibuk di dapur dan meja makan berbanding kaum adam lebih bersantai bersembang di ruang tamu.
Najwa duduk termenung di para sambil mengelap pinggan kaca yang selepas dibasuh.
Zureen baru memasuki dapur dan terhenti langkahannya saat melihat Najwa termangu sendirian. Dua orang pembantu rumah di belakangnya tidak mengendahkan keresahan hati anak majikan malah, tekun bersembang sesama sendiri.
Jelas terpancar riak resah di wajah Najwa. Zureen menghampiri dua pembantu rumah berada di dapur gas.
"Tak apa, Zureen buat. Tolong kemaskan apa yang patut dekat depan. Terima kasih." Zureen berharap dengan arahannya akan mendapat peluang untuk bersembang sebentar tentang Aunty Jasmine.
Dia tidak mahu sesiapa pun tahu soal identiti sebenar musuh dalam selimut itu. Dua pembantu rumah akur lalu meninggalkan dapur.
Suara Zureen mengganggu lamunan Najwa. Dia senyum sebaris sambil meletakkan pinggan yang telah dikeringkan dan mengambil pinggan yang basah lalu dilap.
"Kak." Lemah suara Najwa.
Zureen merangkul bahu Najwa. "Wawa okey?"
Najwa berhenti mengelap pinggan dan memandang raut wajah tenang Zureen. "Sebenarnya, tak. Takut pun ada. Tapi, selagi Kak Reen dengan abang ada, Wawa lega." Lalu meneruskan tugasnya.
"Wawa. Musuh selain dia tajam akal, mereka juga tajam mata. Bila berhadapan musuh, buat macam biasa. Jangan tunjukkan yang kita lemah. Jadi, Kak Reen nak Wawa kuat." Zureen menyuntik semangat buat Najwa. Dengan harapan Najwa menuruti perintahnya.
Najwa angguk lemah.
Mereka sudah memenuhi meja makan. Tengku Hussain mengambil kesempatan itu berucap sepatah dua kata sebelum merasai kenikmatan makanan di hadapan mata.
"Assalamualaikum semua."
"Waalaikumussalam." Jawab mereka.
"Tak nak cakap panjang-panjang. Saya tahu, semua tengah lapar. Saya cuma nak berterima kasih kepada semua pekerja saya kerana sudi terima jemputan makan malam ni."
"Saya sebagai wakil, saya nak bersuara." Akram mencelah.
"Akram." Bimbang Farhan jika celahan Akram merosakkan suasana.
"Silakan." Tengku Hussain mahu mendengar dengan hati terbuka.
"Selagi kami tak terkena keracunan makanan, maknanya makanan tu memang sedap belaka!" Seloroh Akram.
Farhan menghela nafas lega. Mujur bukan aduan yang disuarakan. Dia menghadiahkan senyuman lebar.
Pengakuan Akram dimeriahkan dengan gelak tawa kecuali Najwa. Hatinya tawar mendengar loyar buruk mereka. Dia berwajah tegang dan mengetap gigi sejak kedatangan Aunty Jasmine.
"Saya nak, kamu tambah tiga kali!" Tengku Hussain telah mencabar Akram setelah mendengar pujiannya.
Akram tidak mahu mengalah. "Boleh!"
Mereka tertawa lagi.
"Best kan, setiap hari berkumpul ramai-ramai macam ni! Dah macam satu keluarga pulak. Seganlah Jas." Kata-kata sopan Aunty Jasmine menyepikan suasana.
Najwa menjeling ke tempat lain. Meluat.
Zureen yang dari tadi tunduk membisu bermain dengan jari-jemarinya, kini kepalanya diangkat memandang sisi wajah Aunty Jasmine. Oleh kerana dilindung seorang pembantu rumah di antara mereka, Zureen mengelih ke hadapan kembali.

ANDA SEDANG MEMBACA
Renungan Rindu
Romantik𝐓𝐞𝐧𝐠𝐤𝐮 𝐀𝐟𝐟𝐚𝐧 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 | 𝐙𝐮𝐫𝐞𝐞𝐧 𝐄𝐫𝐢𝐧𝐚 ᴷᵉʳᵃⁿᵃ ʲⁱʷᵃᵏᵘ ᵐᵃᵗⁱ, ʰᵃᵗⁱᵏᵘ ᵈⁱʳᵃʷᵃᵗ ᵈᵉⁿᵍᵃⁿ ᶜⁱⁿᵗᵃ ˢᵉʲᵃᵗⁱ. Disebabkan hati Zureen telah dikhianati cinta dan dipersalahkan atas kematian seseorang, dia berubah menjadi perempuan yang tiada...