BAB 29

34 6 0
                                        

TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?

Pagi tadi, selepas solat subuh berjemaah berimamkan lelaki yang baru sahaja boleh dipanggil suami oleh Warda, langsung Warda tertidur semula di atas katil. Awalnya Warda fikir sekadar hendak merehatkan badan sahaja sementara Amrullah keluar entah ke mana. Sudahnya, sekarang saat jarum pendek sudah hampir menginjak angka sepuluh barulah Warda bangkit daripada lenanya. Itupun dek mendengar bunyi air dari bilik mandi.

Sebaik sahaja matanya celik, terus tangan naik menepuk dahi. Sudahlah malam semalam sebaik sahaja dia melabuhkan kepala di atas katil pada jam satu pagi, Warda terus tertidur pulas. Itupun, nasib sahaja Warda sempat membersihkan diri dahulu sebelum berlayar ke alam mimpi. Pagi ini, dia terlebih tidur lagi. Naik segan pula dia dengan Amrullah yang malam tadi lelapnya entah jam berapa.

Hasilnya, pagi Warda yang pertama sebagai isteri masih sama seperti hari-hari kebiasaannya. Barangkali kerana mereka masih berdua di dalam bilik hotel ini maka tidak adalah sesi menantu perempuan bangun seawal jam enam pagi semata-mata hendak turun membantu si ibu mentua.

Warda melarikan pandangan ke arah pintu bilik mandi yang masih tertutup. Menyedari bahawa Amrullah masih belum selesai dengan urusannya di kamar mandi, cepat-cepat Warda bangkit dan mengemaskan katil. Anak matanya meliar ke seluruh pandangan cuba mencari mana-mana tempat yang perlu dia kemaskan. Sebaik menyedari bahawa semuanya telah teratur dengan sempurna, Warda menggigit bibir bawahnya.

Ini mesti kerja Amrullah!

Sejenak, pandangan Warda jatuh pada langsir tingkap yang tertutup. Terkebil-kebil dia merenung ke arah langsir itu. Patutnya bukan main lena Warda tidur, langsir pun tidak disingkap rupanya. Percaya bahawa dia telah menemui satu perkara yang membuatkan dia 'berfungsi' pagi ini, pantas kaki Warda menapak menghampiri langsir yang memisahkan di antara dirinya dengan pintu gelangsar balkoni.

Baru beberapa tapak dia melangkah, bunyi getaran pada meja kecil berhampiran dengan katil mengganggu konsentrasi Warda. Pantas Warda berpaling ke arah sumber bunyi berkenaan. Keningnya ternaik saat melihat telefon milik suaminya menyala dan bergetar menandakan bahawa ada panggilan untuk lelaki itu daripada Bintara Muda Afiq.

Warda mengerling ke arah kamar mandi seraya kembali memandang ke skrin telefon bimbit berkenaan. Belum sempat dia berteriak untuk memaklumkan kepada Amrullah tentang panggilan daripada rakan sekerja suaminya itu, panggilan sudah ditamatkan. Belum sempat Warda hendak membuka langkah semula, telefon pintar Amrullah bergetar lagi.

Tanpa berfikir panjang, cepat sahaja tangan Warda mengangkat telefon bimbit berkenaan. Talian disambungkan dan peranti kecil itu dilekapkan di telinga kanannya.

"Assalamualaikum, bro, buat apa tu sampai susah betul nak angkat call aku?" soal lelaki itu serta-merta dengan nada yang mengusik.

"Wa...alaikumussalam?" jawab Warda sedikit teragak-agak. Sejenak dia mendengar Bintara Muda Afiq tersedak di hujung talian. Terbatuk-batuk lelaki muda yang hadir di majlis pernikahan Warda semalam.

"Eh, puan. Maaf-maaf. Saya ingatkan Tuan Amru tadi," ujar lelaki itu setelah batuknya reda sendiri.

"Eh tak apa. Saya faham sebab ni number Amru. Cumanya, Amru tengah dalam toilet. Saya angkat ni sebab tuan call lagi jadi saya ingatkan urgent," jawab Warda turut sama serba-salah meskipun segannya sedikit menebal memikirkan usikan rakan sekerja suaminya itu. Agaknya, memang begini cara orang lelaki saling bergurau. "Ada apa-apa yang tuan nak saya sampaikan pada Amru ke?"

Bintara Muda Afiq berdehem sejenak. "Eh puan, jangan panggil saya tuan. Saya ni pangkat encik aje." Sempat lelaki yang kurang lebih sebaya dengan Amrullah itu tertawa kecil sebelum menyambung, "Hmm... boleh juga, puan. Saya nak minta tolong puan untuk beritahu dekat Tuan Amru untuk kemas kini dokumen yang office minta tu. Termasuk dengan dokumen pernikahan tuan dengan puan jugalah. Sebab kalau boleh nak settlekan sebelum start berlayar balik. Pagi tadi terlupa pula saya nak roger fasal benda ni."

TIADA LAIN SELAIN KAMUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang