TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
Amrullah sudah seperti anak kecil. Terduduk kebosanan di ruang tamu menanti si isteri pulang daripada kerja. Mata menelek jam dinding. Sudah pukul enam petang. Tadi, isterinya ada memberi mesej bahawa wanita itu sedang dalam perjalanan pulang dari hospital. Sempat juga mereka berdua bergaduh manja kerana Warda melarang Amrullah menjemputnya. Kata Warda, sudah-sudahlah tu menghabiskan duit dengan Grab sedangkan hanya berapa minit sahajalah jarak di antara rumah sewanya dengan hospital.
Sudahnya, selepas seminggu Amrullah menjadi tukang 'pick up' isterinya, dia akhirnya dipaksa untuk betah berada di rumah. Padanlah muka, kereta sendiri ditinggalkan di pengkalan sana.
Hendak dikemas rumahnya, hampir hari-hari sudah dikemas. Hendak menghabiskan masa dengan menonton televisyen, dirasakan perkara itu sia-sia untuk dilakukan memandangkan dia bukannya yang jenis suka duduk depan televisyen. Drama? Seminit haram tidak pernah dihadamnya. Tidak reti!
Sudahnya hari ini Amrullah mengambil keputusan untuk menghabiskan masanya dengan rak memasang mudah alih yang dibeli oleh isterinya beberapa hari lepas. Sejak selepas Zuhur tadi Amrullah sudah berteleku di ruang tamu membaca manual dan memasang dua rak yang dibeli isterinya dengan penuh berhemah. Hanya berbekalkan penukul kecil dan pemutar skru, akhirnya dia berjaya menyudahkan pertukangannya.
Beberapa minit kemudian, Amrullah bangkit daripada duduknya. Daripada dia duduk sahaja tidak berbuat apa-apa, ada baiknya Amrullah membantu isterinya menyusun terus barang-barang yang hendak diletakkan di atas rak sederhana kecil itu. Herot mulut Amrullah memikirkan di mana dan bagaimana perlu dia memanfaatkan rak berlubang-lubang kecil berwarna putih itu. Dia membelek dengan mata. Beberapa ketika kemudian, dia terangguk-angguk.
"Boleh buat letak barang-barang kecil dalam rak dapur tu okey juga." Amrullah langsung menunduk sedikit bagi mencapai rak kecil itu. Langkah kaki dibawa menuju ke countertop dapur. Segala macam peket-peket kecil yang terlentak di dalam satu bakul kecil di atas countertop dialihkan sebelum tempat isu diisi dengan rak berkenaan.
Tanpa banyak bicara, Amrullah menyusun satu demi satu peket-peket barang kering itu dengan kemas. Dia tersenyum setelah tugasnya selesai. Baru dia hendak beredar, dia menelek almari di bahagian atas countertop itu juga. Terdetik di hatinya kalau-kalau ada apa-apa barangan dari dalam almari di atas tersebut yang boleh dia letakkan ke dalam rak baru berkenaan sekadar memanfaatkan ruang sahaja.
Tanpa berfikir lama, bakul kecil di tangan diletakkan ke atas lantai. Tangan membuka pintu almari.
Baru sebelah dibuka, satu benda kecil melayang jatuh mengena kakinya. Perlakuan Amrullah terhenti. Dia membongkok sembari tangan mencapai benda kecil itu. Sekilas pandang, bungkusan itu tampak serupa dengan panadol tetapi blisternya sudah kosong. Dengan penuh rasa ingin tahu, Amrullah membalikkan blister berkenaan. Dia tersentak melihat nama-nama hari dan tanda anak panah yang terletak pada bungkusan blister berkenaan.
Saat ini, detak jantung Amrullah menjadi semakin laju. Pantas tangannya menyelongkar bahagian almari berkenaan. Satu demi satu kotak teh, kotak kopi dan segala macam dikeluarkan sehinggalah satu kotak berwarna jingga menarik perhatiannya. Amrullah langsung mengambil kotak berkenaan. Dibalik-balikkan bagi membaca segala macam maklumat pada kotak berkenaan.
Segala macam spekulasi mula berlegar-legar di dalam kepala Amrullah saat dia memeriksa isi kotak berwarna jingga bertulis Yasmin itu. Berombak nafasnya melihat blister-blister yang belum terusik di dalam kotak berkenaan. Kalau boleh dianggarkan, boleh kata hanya tinggal setengah kotak sahaja lagi. Amrullah menahan nafasnya yang mula tidak teratur. Dia meletakkan kotak itu di almari seraya tangan mencapai satu lagi kotak di sebelah kotak Yasmin berkenaan.
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomantikKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
