TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
Ifa menggeleng kepala ke arah Warda yang sedang pulas tidur siap berbantal peluk di sebelahnya. Dia tetap fokus dengan pemanduannya. Pacuannya tidak terlalu laju, tidak juga terlalu perlahan. Hanya sahaja dia tetap berada di lorong kiri meskipun jalan raya tidak sibuk pagi ini.
Mana nak sibuk, sekarang baru menghampiri jam enam pagi.
Ifa menyimpan senyumnya saat dia melihat Warda mengubah posisi tidur menghadap ke arahnya. Tawa kecil keluar daripada bibir Ifa mengenangkan perbualan di antara Warda dengan dirinya malam tadi.
"Fa..."
"Assalamualaikum, Warda. Ya Allah, lama aku tunggu kau reply text aku. Nasib kau call ni, aku tak tidur lagi. Kau baru habis kerja ke?"
Warda diam sejenak. Dia meneruskan pemanduan dengan penuh berhati-hati. Sengaja dia menelefon Ifa sekadar menghilangkan kantuknya agar dia dapat pulang dengan selamat. Sejenak, jam pada android player dikerling sesaat. Sudah pukul dua belas setengah malam.
"Aku tengah drive balik. Call kau sekejap bagi hilang mengantuk. Aku tengok chat kau siang tadi tapi dekat noti aje. Katil penuh hari ni, aku tak sempat nak reply mesej kau," ujar Warda perlahan. Kesejukan daripada pendingin hawa langsung tidak terasa mengenangkan betapa sejuknya dewan bedah tempat dia bertugas tadi.
"Jadi, kau nak pergi ke esok?" soal Ifa berterus-terang. Lembut nadanya memujuk. "Warda... esok kau tinggal bawa diri je, Da. Amru dah lantik aku as driver kau awal-awal lagi. Cik Hawa yang beritahu aku hari tu. Itu aku tanya kau ni, kau nak pergi esok?"
"Fa," Warda menunduk. "Betul ke pilihan aku ni?"
Ifa terdiam sejenak. Dalam kesunyian malam ini, kesayuan yang dapat dia garap daripada suara sahabatnya itu membuatkan dia sedikit luluh.
Meskipun mereka berdua berjauhan selama ini dan hanya dapat berjumpa beberapa kali sahaja, Ifa ada sebagai saksi terhadap perihal yang Warda lalui sepanjang sembilan bulan Amrullah berada di dalam latihan.
"Kalau aku pergi esok, aku bagi dia hint yang aku dah mula terima dia... dan kerja dia. Kau rasa tu pilihan yang betul?" soal Warda lagi. Bunyi angin daripada pendingin hawa menjadi latar belakang suaranya.
"Warda... okeylah. Aku berhenti pujuk kau. Sekarang ni, deep down, kau nak pergi ke tak?"
"Aku... dah apply cuti dah pun untuk esok," jawab Warda tenang.
"Okey, kalau macam tu esok pukul empat pagi, aku datang rumah kau. If kau tiba-tiba tak jadi nak pergi, pun tak apa Warda. Aku tahu kau penat, kau baru balik kerja kan?"
Warda hanya mengangguk perlahan walaupun Ifa tidak akan dapat melihat anggukannya. Dalam diam, dia bersyukur kerana sahabatnya sentiasa ada dengannya. Ketika susah dan ketika senangnya.
"Okey, lain-lain kita cakap kemudian. Kau rehatlah dulu."
Fokus Ifa sedikit terganggu di saat dia menyedari Warda di sebelahnya sudah terpisat-pisat membuka mata. Gadis itu sempat menyemak jam dan notifikasi di telefonnya sebelum berpaling ke arah Ifa yang sedang memandu.
"Dah dekat mana?" soal gadis itu sedikit terpisat-pisat mengeliat.
"Jauh lagi," jawab Ifa. "Kalau kau nak sambung tidur, tidur ajelah. Nanti berhenti Subuh dekat mana-mana pam minyak, aku kejutkan kau."
Warda membetulkan duduknya. Penyandar kerusi yang tadinya dia baringkan sedikit, dinaikkan semula. "Tak apalah. Kesian pula kau drive sorang-sorang. Aku temankan kaulah at least kau tak rasa sunyi."
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomansaKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
