TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
Warda tersenyum kelat ke arah hamparan pantai di hadapannya. Gulungan ombak yang menghempas pantai seakan turut sama menghempas kamar jiwa Warda. Bezanya, ombak besar yang menelan segala macam perasaannya hanya meninggalkan secebis kesedihan di dalam dada.
Warda menghirup udara petang itu. Bau hanyir daripada air yang menyentuh kaki dan membasahkan seluarnya hingga ke paha, langsung tidak dia hiraukan. Bahkan pandangan beberapa orang ke arahnya dek kedudukannya yang terlalu dekat dengan pantai itu juga dia abaikan.
Warda menghembus nafas berat. Pada kanvas langit biru yang sedikit mendung petang itu, lakaran wajah suaminya tergambar jelas pada irisnya. Redup pandangan suaminya saat kali terakhir mereka bergaduh semalam menghantar kedinginan ke dalam kamar hati Warda yang sudah sedia porak-peranda.
Sudah seharian. Seharian dia tidak menerima apa-apa khabar daripada suaminya. Sudah seharian juga, hatinya tidak tenteram mengenangkan segala macam kemungkinan yang akan berlaku terhadap perkahwinan mereka.
Warda menunduk menggenggam tepi seluarnya yang sudah basah disimbah air laut. Bibirnya diketap rapat dan pandangan mata ditutup.
Kalaulah! Kalaulah Warda tidak terlalu terburu-buru untuk melakukan keputusannya sendiri. Kalaulah Warda tidak terpengaruh dengan segala macam perkara yang dibaca dan dilihatnya di media sosial tentang pengalaman perit perkahwinan orang lain... mungkin semua ini tidak akan terjadi.
Tanpa sedar, setetes demi setetes cecair jernih mula membasahi pipinya. Semakin lama, semakin deras sehingga air matanya menyatu bersama dengan ombak yang perlahan-lahan menariknya ke arah pantai. Bibir Warda bergetar menahan sebak. Tangan naik memukul sebelah kepala.
Bodoh! Bodoh kau, Warda!
Belajar tinggi-tinggi tapi bodoh!
Dalam sela masa yang singkat, tiba-tiba tangannya dipegang kejap oleh seseorang. Perlahan-lahan Warda membuka kedua belah matanya. Terasa dunia berhenti berputar saat sepasang iris miliknya dikunci oleh pandangan tegas itu. Warda tersebik perlahan saat dia menyedari kerutan di kening lelaki itu.
"Apa yang awak cuba buat ni?"
Warda kehilangan kata-kata. Hanya matanya terkerdip-kerdip perlahan mengiringi tangis yang tidak kunjung reda.
"Abang tanya apa awak buat ni, Warda? Kenapa awak pukul diri sendiri macam ni?" Tegas suara itu bertanya.
Namun bukan ketegasan itu yang membuatkan air mata Warda semakin laju menuruni pipi tetapi biasan prihatin di sebalik sepasang iris milik suaminya itu. Entah mengapa, kalaulah ini hanyalah khayalan Warda semata-mata, dia lebih rela dirinya hanyut bersama-sama dengan khayalan ini.
"Abang..."
"Abang tanya... Warda jawab abang," tegur lelaki itu lagi. Nadanya masih sama. Tatapannya masih menanti jawapan daripada sepasang bibir wanita kesayangannya itu.
Menyedari bahawa dia tidak akan menerima jawapan daripada si ister, Amrullah mengeluh berat. Dia terus mencempung si isteri seraya berdiri. Dibiarkan bajunya basah disimbahi ombak yang menghempas. Warda mulai tersedu-sedu di dalam cempungan suaminya. Kedua belah matanya dipejam sementara kedua-dua belah tangan merangkul erat leher si suami.
Haruman Amrullah dibiarkan membaluti rongga nasalnya di saat dia melekapkan wajahnya yang basah dengan air mata, di dada si suami.
"Abang pergi mana? Warda... ingat... abang marah Warda." Tersedu-sedu Warda menjawab. "Abang dah tak nak jumpa Warda."
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomanceKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
