SPECIAL CHAPTER (THROWBACK)
TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
"Aminah." Baru Warda hendak berpaling, sebotol air mineral telah bergolek di atas kaki lima di tepi padang. Botol itu berhenti benar-benar di sebelah paha Warda.
Warda mengangkat kepala. Sepasang anak matanya terpasung pada sepasang iris beku milik Amrullah. Dahi Warda berkerut.
"Untuk apa?"
Tanpa menjawab soalan Warda, Amrullah melabuhkan duduk pada jam 2, menghadap Warda. Ada satu lagi botol air mineral di dalam tangan budak lelaki sekelas dengannya itu. "Cikgu Masyi suruh bagi. Dia suruh aku temankan kau dekat sini sementara dia uruskan dokumen nak bawa kau pergi hospital. Nanti dia ambil kereta pick up kau dekat sini."
Warda terkebil-kebil merenung ke arah Amrullah yang sedang meneguk air mineral di tangan budak lelaki itu tadi. Dahinya semakin berkerut hebat. "Cikgu Masyi tak ada beritahu aku pun dia nak bawa aku pergi hospital? Apahal sampai nak kena pergi hospital? Aku terseliuh sikit aje."
Amrullah menutup semula botol air mineralnya. Lelaki itu membongkokkan badannya ke hadapan sedikit.
Warda sekadar memerhatikan sementara sebelah tangan memeluk kaki kiri yang diangkat. Kaki kanannya yang terseliu dibiarkan melunjur sejak tadi.
Tanpa aba-aba, Amrullah menolak buku lali Warda dengan hujung botolnya. Tidak kuat namun cukup untuk membuatkan Warda mengaduh sakit.
"Ini kau kata sikit? Aku baru usik aje pun dah mengaduh. Kau expect cikgu hantar kau balik lepastu esok macam magic kau dah boleh sambung training?"
Mendengar perlian Amrullah, Warda mencebik tanda menyampah. Tidak dapat tidak, dia mencapai botol air mineral yang diberikan oleh Amrullah dengan cara kurang mesra sebentar tadi seraya diteguknya sedikit.
"Kenapa kau baik hati pula nak teman aku tiba-tiba ni? Balik ajelah dengan semua orang." Warda enggan mengalah. Sakit di kaki, bukannya di mulut. Kalau setakat bertarung perkataan dengan budak lelaki yang duduk di kerusi berhadapan dengannya di kelas itu, tidak menjadi kudis buatnya.
Amrullah tertawa kecil. Dia menelengkan kepalanya sewaktu dia memandang ke arah Warda. "Takkan kau tak tahu kot?"
"Apa yang aku perlu tahu?"
"Setiap hari memang aku pergi dan balik sekolah dengan Cikgu Masyi sebab Cikgu Masyi adik ibu aku. Rumah kita orang dekat aje kot. Seriuslah kau tak tahu? Kau duduk gua mana ni?"
Terbuntang anak mata Warda saat dia mendengar kata-kata Amrullah yang cukup pedas di telinganya. Tidak cukup dengan itu, perlian Amrullah seakan sengaja hendak menggantikan bisa yang sejak awal menghuni buku lalinya, naik ke kepala.
"Eh hello Ahmad. Kau fikir penting sangat ke kau untuk aku tahu benda tu? Kalau kau tu Aiman tak apa juga."
Mendengar nama Aiman meniti di bibir Warda, spontan Amrullah menggulingkan matanya. "Kau dengan Asyikin, tak habis-habis dengan Aiman kau orang tu. Dah macam dia seorang aje lelaki ada dalam dunia ni."
Warda memicingkan mata ke arah Amrullah sewaktu dia dapat mengesan nada suara Amrullah. Lama anak mata mereka saling bertatapan sehingga Amrullah mengangkat kening tanda bertanya barulah Warda membalas.
"Oh... Ahmad..."
"Apa?"
"Kau... jeles dengan Aiman kan? Kau suka Asyikin kan?"
Berkerut seribu dahi Amrullah mendengar tebakan Warda yang satu itu. Sudahnya, kanak-kanak berumur dua belah tahun itu menggeleng. Dia yang tadinya duduk, kini bangkit dan berdiri membuatkan kepala Warda terdongak memandangnya.
"Kau jangan nak merepek. Tak ada masa aku nak jeles-jeles ni. Sekolah rendah pun tak habis lagi. Kau tu pun, jangan nakal, gatal sangat. Baru dua belas. Entah-entah baligh pun belum."
Jatuh rahang Warda mendengar kata-kata Amrullah yang begitu tegas menerobos ke dalam salur auditorinya itu. Sakitnya bukan main. Sudahnya, Warda hanya mampu cemberut. Suasana sepi mengulit ruang di antara mereka.
"Aku baru ingat... bapa kau askar kan? Udara betul tak?"
Sekali lagi kening Amrullah ternaik. Daripada riak wajahnya seolah-olah Amrullah hendak mengucapkan 'apa benda lagi minah ni nak merepek?'
Warda tidak menghiraukan riak wajah Amrullah. Laju sahaja dia memuntahkan perkara yang berlegar di dalam kepalanya. "Aku rasa instead of Aiman, patut kau aje yang jadi ketua pengawas. Garang tak bertempat. Sekali berkerut muka, macam nak ajak orang berperang."
Belum sempat Amrullah hendak membidas, Warda menambah lagi, "Aku rasa tak payah jumpa bapa kau pun, aku dah nampak bapa kau dalam diri kau. Gaya kau, cara kau ni dah macam anggota tentera. Baik kau kerja jadi tentera aje macam bapa kau, Mad. Aku dah boleh bayang dah kau pakai loreng macam dalam tv tu."
Amrullah mengeluh perlahan. Tangannya memeluk tubuh dengan botol air mineralnya tergantung di antara dua jari. "Tak sekarang ni, nama aku tak ada Ahmad. Boleh tak kau berhenti panggil aku Ahmad, Aminah?"
"Kenapa pula tak boleh? Ahmad tu kan maksud dia terpuji. Kau panggil aku Aminah boleh pula?"
"Nama kau Aminatul Warda. Ada Aminah kan? Lain cerita dengan aku. Kau tak boleh panggil aku Ahmad sebab nama arwah atuk aku Ahmad."
Warda terus mengetap bibirnya. Dia menggigit bibir bawah sejemak. Riak bersalah dia tayangkan di hadapan Amrullah. Terkebil-kebil matanya meminta pengertian daripada budak lelaki itu. "Weh... sumpah aku tak tahu."
"Sekarang dah tahu, tak payah guna dah."
"Okey, Amrullah Akbar."
Amrullah sedikit terkesima saat Warda memanggilnya dengan nama penuh. Amrullah membuang pandang ke padang sejenak. Setelah itu dia kembali berpaling ke arah Warda. "Satu lagi, aku tak minat jadi tentera."
"Kenapa? Takkanlah kau tak terinspirasi tengok ayah kau?"
"Sebab nanti aku selalu kena tinggalkan keluarga aku. Balik entahkan hidup entahkan mati," jawab Amrullah terang jelas dan nyata.
Warda mengangguk-anggukkan kepalanya. Jari naik ke dagu. Diketuk-ketuk sedikit dagunya tanda berfikir. "Tapi tengok badan kau dengan stamina kau boleh lari jauh, laju. Macam sia-sia aje kalau kau tak try jadi tentera. Serius ke tak nak?"
Amrullah meraup wajah. "Kau ni... aku ingatkan kaki terseliuh macam tu, mulut tu kurang sikitlah cakap. Ini tak. Sama aje macam mulut murai."
"Eh—"
Pin!
Kedua-dua mereka menoleh ke arah pintu pagar yang memisahkan padang sekolah dengan jalan besar. Belum sempat Warda berkata apa-apa, Amrullah sudah berlari-lari anak ke arah pagar besar tersebut. Budak lelaki itu membuka kedua-dua belah pagar bagi membolehkan kereta sedan milik Cikgu Masyitah untuk masuk. Lelaki itu kemudiannya kembali ke tempat Warda berada sementara guru mereka itu memusingkan kereta.
Dalam beberapa saat, akhirnya kereta Cikgu Masyitah berhenti benar-benar di tepi mereka. Cikgu Masyitah turun daripada kereta. "Sorry mak su lambat sikit, Amru."
Setelah itu barulah Cikgu Masyitah menyapa Warda. "Cikgu angkat awak ye? Sakit sikit, tahan tau. Rasanya otot awak injured ni. Cikgu dah inform ibu awak yang cikgu nak bawa awak pergi hospital. Awak okey?"
Warda tersengih. Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Amru tolong bukakan pintu depan."
Sementara Cikgu Masyitah memapah Warda ke tempat duduk penumpang hadapan, sempat dia tersengih ke arah Amrullah yang setia membukakan pintu untuknya. Dia tertawa kecil saat riak menyampah Amrullah menjadi jamahan matanya.
Jadi gentleman cara macam tu pun bolehlah, Amru!
TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomantikKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
