TIADA YANG LAIN SELAIN KAMU
Bolehkah andainya kau pinjamkan sedikit waktumu?
"Warda, nah."
Warda terkebil-kebil memandang ke arah sejambak bunga bersama belon yang dihulurkan oleh Ifa kepadanya. Dia yang dari tadi disuruh menanti Ifa di sudut berdekatan dengan pentas utama itu sedikit kebingungan. "Apa ni?"
"Ambil. Aku belikan siap-siap. Nanti kau bagi pada Amru."
Warda berkerut dahi. Jambangan bunga itu bertukar tangan namun dia tetap juga mahu bertanya. "Aku tak faham. Kau kata kau pergi tandas tadi. Apahal kau balik dengan bunga ni? Lepastu kalau kau belikan untuk Amru, kenapa aku yang kena bagi dia?"
Mendengarkan jawapan polos daripada Warda membuatkan Ifa spontan memukul dahi. Dia menggelengkan kepalanya.
"Aku pergi beli sebab tengok gaya kau ni macam tak ada belikan apa-apa bouquet untuk tunang kau tu. Kira aku ni jadi runner ajelah. Bouquet ni daripada kau, untuk dia. Nanti aku claim dengan kau."
Warda menganggukkan kepala beberapa kali. Pun begitu, kerutan di dahinya masih belum reda. Dia baru hendak menyoal Ifa semula namun pantas rakannya itu memotong.
"Dah jom. Karang lama pula tunang kau dengan family dia tunggu." Tanpa memberi peluang langsung kepada Warda, Ifa sudah menarik tangan gadis berbaju kurung bunga-bunga kecil dipadankan dengan shawl chiffon putih bersih itu. Menonong dia ditarik mengikuti Ifa dengan sebelah tangannya memegang jambangan bunga hidup sederhana besar.
Dalam beberapa minit berjalan, mereka akhirnya tiba di tempat yang dijanjikan. Warda memasang wajah manis saat sepasang anak matanya berpapasan dengan Amrullah yang kelihatan segak memakai sepersalinan serba putih selayaknya seorang pegawai, daripada atas hingga ke bawah. Hanya kasutnya sahaja hitam berkilat.
Oh satu lagi, kulitnya juga sudah lebih gelap daripada kali terakhir mereka bertemu.
Pantas sahaja Warda dan Ifa menyapa Puan Hawa dan Encik Khuzair.
"Assalamualaikum apa khabar mak cik, pak cik. Lama dah ke majlisnya habis?" soal Ifa sekadar berbasa basi dengan Encik Khuzair sementara Warda bersalaman dengan Puan Hawa.
Sepasang ibu bapa itu berada di dalam dewan menyaksikan penyerahan mandat dan penempatan kepada para graduan seusai perbarisan tamat latihan tadi. Disebabkan itu, baru sekarang mereka semua dapat bertemu secara berhadapan.
"Waalaikumussalam, khabar baik. Mak cik pak cik baru aje keluar ni. Tadi Amru suruh kami tunggu dekat dalam sementara dia ambil gambar dengan kawan-kawan dia dulu. Kesian kau orang tunggu lama."
"Eh, tak adalah mak cik. Kami duduk makan-makan aje dekat bawah khemah dekat-dekat dengan pentas utama tu. Mak cik dengan pak cik dah makan?" soal Warda semula.
Puan Hawa menggeleng dalam senyuman. "Belum lagi, ingatkan kami nak pergi makanlah sekejap lagi ni lepas jumpa dengan bakal menantu Cik Hawa ni. Maklumlah, pak cik tu dari pagi tadi Cuma makan roti. Karang gastrik pula. Amru katanya nak bawa kamu keluar sekejap lagi. Nanti Warda temankan Amru makan ya?" soal Puan Hawa semula.
Warda berpaling sejenak ke arah Amrullah. Lelaki itu mengangkat kedua belah keningnya ke arah tunangnya. Sebelah tangan berada di dalam kocek manakala sebelah lagi memegang topi yang entah bila ditanggalkan dari kepalanya, di sisi paha.
"Boleh, Cik Hawa."
Tidak semena-mena, Ifa mengangkat tangannya gaya seperti orang hendak bertanya. Puan Hawa yang melihat perlakuan kawan anaknya itu tertawa kecil, "Kenapa Ifa?"
"Saya nak ikut Cik Hawa dengan pak cik boleh ke? Saya dengan Warda datang satu kereta tadi. Kunci kereta Warda yang pegang. Nanti biar Warda dengan Amru keluar naik kereta saya aje," cadang Ifa dengan senyuman senget diberikan kepada Warda. Tidak sia-sia dia menyuruh Warda menyimpan kunci kereta sejak pagi tadi.
ANDA SEDANG MEMBACA
TIADA LAIN SELAIN KAMU
RomanceKalau jumpa, mesti gaduh. Kalau gaduh, mesti jumpa. Amrullah Akbar dan Aminatul Warda, sudah seperti berikrar untuk menjadi kawan gaduh sejak kecil. Mana tidaknya, masing-masing tidak pandai hendak menurunkan ego namun masing-masing sentiasa sahaja...
