IZRAQ memandang ke luar tingkap dengan resah. Dia berpaling ke arah bapanya yang sedang memandu, dan kembali memandang ke luar tingkap. Bapanya tidak pernah membawa dia keluar jauh dari rumah.
Bapa Izraq malahan tidak pernah membenarkan dia keluar lebih daripada kawasan pagar pun. Beg yang berada di tempat duduk belakang jelas membuktikan yang bapanya tidak berniat untuk pulang dalam masa terdekat.
Beberapa jam memandu, mereka sampai ke sebuah rumah. Ianya adalah rumah dua tingkat yang lama. Kelihatan lusuh, tapi masih kukuh.
"Tunggu di sini."
Bapanya dan Izraq masuk ke perkarangan rumah. Sedang Izraq terus hairan lihat lelaki memandang ke sekeliling dengan resah. Setelah beberapa kali mengetuk pintu rumah, akhirnya pemilik rumah itu memunculkan dirinya. Ianya seorang wanita tua.
"Ini... nek Ros," terang bapa Izraq.
Izraq hanya memandang. Orang tua itu juga nampak tidak mahu bermanis muka.
"Sekarang kamu naik ke atas dulu. Bapa ada sesuatu yang nak dibincangkan dengan nek Ros."
Izraq naik tangga tanpa banyak soal. Dia masih tidak faham mengapa bapanya tiba-tiba membawa dia ke rumah wanita itu. Tapi dia juga tidak mampu membantah, tidak ada hak untuk itu.
Izraq lemparkan pandangan ke luar tingkap. Merenung akan pokok rendang di belakang rumah dan kelibat seorang budak lelaki kemudiannya menarik perhatiannya. Budak itu sedang berjalan seorang diri dari seberang jalan dengan wajah sugul, menuju ke arah rumah nek Ros. Sebentar kemudian Izraq mendengar suara nek Ros sedang bercakap.
"Yalah, Aslan. Beritahu ayah kamu, yang nek Ros terpaksa berhutang dahulu dengan dia, ya?"
Izraq pandang kepada budak lelaki itu lagi. Bajunya terkoyak di bahagian bahu. Dan walaupun Izraq tidak tahu apa yang sebenarnya telah terjadi, dia boleh agak daripada raut wajah budak itu. Aslan bukanlah budak yang bahagia. Kesedihan dan kemuraman jelas terpancar daripada wajah suramnya.
Sebaik Aslan meneruskan perjalanannya kembali pulang ke rumah, Izraq juga berlalu duduk di atas katilnya.
"Izraq," panggil bapanya daripada bawah. "Bapa dah nak balik ni."
Tidak mendapat sebarang balasan dari Izraq, bapanya naik ke atas.
"Bapa sayangkan kamu. Kamu tahu kan?"
"Jangan tanya pendapat saya terhadap perkara yang bapa sendiri tak pernah tunjuk."
"Tahu atau tidak, bapa hanya nak menegaskan di sini, yang antara semua orang yang ada, dan pernah bapa jumpa... hanya kamu yang bapa sayang!"
Izraq diam.
"Kamu tidak percayakannya?"
"Bagaimana dengan ibu?"
"Kita tak perlukan dia."
"Tapi Izraq nak jumpa dia."
"Tak boleh! Kamu kena ingat kata bapa, Izraq. Kamu... cuma perlu sayangkan diri kamu. Dan berikan bapa sedikit ruang untuk turut menyayangi kamu. Selain itu, kamu tak perlu fikir apa-apa lagi. Ibu kamu tak pernah tinggalkan kamu. Di sini..."
Bapa Izraq sentuh dada remaja itu.
"Dia selalu ada di sini. Kamu tak perlu untuk mengharapkan kehadirannya."
Diam.
**
Izraq hanya perhatikan sahaja kereta bapanya meluncur laju, keluar daripada pagar rumah. Kini tinggallah dia dan perempuan tua yang dipanggil bapanya sebagai nek Ros itu.