“GOMBLA sebenarnya adalah klon kepada manusia. Namun mereka adalah sebuah hasil yang gagal. Aku pun tidak pasti siapa yang dah campak mereka ke sini. Tapi menurut Gama, pihak yang telah ‘mencipta’ mereka tidak sanggup menerima bahana yang mendatang. Namun mereka juga tidak dapat membunuh ke semua gombla. Bagi mereka penciptaan awal gombla adalah terlalu ‘berharga’. Dan semenjak itulah golongan gombla terus berkembang biak di sini.”
“Jadi yang terjadi kepada aku pada malam aku bertarung dengan Vasco adalah...”
“Gombla tidak selalu berperwatakan begitu, Izrael. Mereka hanya... hilang akal sebagai manusia pada 3 hari sebelum malam purnama. Dan kau, sebagai cucu kepada Gama... kau, bapak kau, dan juga Gama sendiri mempunyai gaya berbeza menerima perubahan kondisi aktif itu.”
“Kondisi aktif itu? Tapi bagaimana Gama...”
“Gama sengaja aku tarik dalam kumpulan manusia walaupun semua orang tahu yang gombla akan menjadi sangat ganas apabila waktu aktifnya. Aku percaya yang dia boleh mengawal kondisi aktifnya. Gama tidak berubah pada waktu bulan purnama. Dia hanya berubah... pada malam gerhana bulan yang penuh. Sebaik bulan menjadi merah di angkasa, dia akan berubah ganas. Dan begitulah juga dengan bapa kau. Hanya sahaja dia berhenti perubahannya lebih awal. Aku tak tahu mengapa. Namun bapa kau tidak lagi berubah pada kondisi aktif sebaik dia mencecah usia 15 tahun. Tiada sebarang keadaan bulan yang mengaktifkan keadaan gomblanya lagi. Sebab tu, hanya kau harapan yang aku letakkan untuk menjalankan misi Gama.”
“Maksud kau?”
“Gombla adalah hasil gagal dalam pengklonan manusia untuk mencipta satu tenaga luar biasa untuk misi peperangan. Namun ada satu hasil yang berjaya dalam eksperimentasi itu, Izrael. Dan dia, berjaya menipu ‘pencipta’ mereka. Namun... ia juga kemudiannya terperangkap di dalam penjara pulau bersama Gama 30 tahun yang lalu.”
“Jadi... apa yang telah berlaku kepadanya?”
“Dia aku lepaskan. Namun, cucunya ada di dalam pulau ini. Gama mahu zuriatnya bergabung tenaga dengan zuriat klon itu untuk mencari kembali mereka yang telah melakukan semua benda terkutuk ini.”
Izraq tergelak.
“Terkutuk..?”
“Ya, penciptaan gombla, walaupun menghasilkan beberapa hasil yang menakjubkan, namun ianya juga telah membuatkan banyak nyawa menderita. Mereka terpaksa hidup antara batas manusia dan haiwan. Gama tidak mampu menghentikan apa yang telah berlaku. Namun dia berharap kau dan zuriat klon itu akan menghentikan perbuatan ini daripada terus berlaku.”
“Kenapa tak kau sahaja yang menghentikannya?”
“Ini adalah kehendak Gama. Bukan aku.”
“Jadi itu adalah sebab sebenar aku berada di sini selama ini?”
Kilat mengangguk, “Ya, bagi Gama. Tapi bagi aku, aku hanya nak kau membesar di sini. Mengetahui asal kau. Dan menghargai pembunuhan yang telah aku lakukan.”
“Anak kepada klon yang berhasil tu... siapa dia?”
**
“KAI, aku minta maaf atas apa yang telah nenek aku lakukan kepada datuk kau,” ujar Izraq sebaik mereka masuk ke dalam kubah medan gelombang itu.
“Kenapa?” balas Kai dengan suara ‘barunya’ yang lebih garau.
Dia yang kini sedang berdiri tegap, dengan mata yang galak berwarna kuning, dada mendabik, dan pemikiran yang lebih cerdas dan tangkas itu berjalan mundar-mandir di hadapan Izraq.
“Kerana dia... dah bunuh datuk kau, Andre. Yang juga adalah manusia klon yang berjaya.”
Kai bagaimanapun tak nampak ambil hati dengan hal itu pun. Dia hanya tersenyum, kemudian memandang kepada Izraq.