Bab 25

223 18 3
                                    


IZRAQ pulang ke rumah mak cik Sofea dalam keadaan serabai. Dia tidak mahu melibatkan Sofea dalam permasalahannya sekarang. Tapi dia tak ada tempat untuk tinggal lagi di Kuala Lumpur. Hanya rumah Sofealah tempat tetap yang boleh dia tumpangi.

Selain dapat menenangkan diri setelah segala yang berlaku, Izraq juga dapat menunaikan janjinya terhadap Naga Langit. Ini adalah yang terbaik baginya.

"Abang kenapa?" tanya Andy sebaik dia melihat Izraq yang sedang bertubuh longlai memasuki rumah itu.

"Abang nak tumpang tidur di sini malam ini boleh?"

"Apa pula nak minta tumpang segala? Tidur sahajalah, Naga Langit. Inikan rumah kamu juga," ujar mak cik Sofea sambil dia menyediakan bantal buat Izraq dan kemudian kembali masuk ke dalam biliknya.

Andy menghampiri Izraq.

"Abang ada masalah?"

"Abang... tak ada masalah, Andy. Abang cuma rindukan ibu. Itu saja."

"Tentang pulau tu kan?"

Izraq hanya membisu.

"Pulau Hakki. Sudah ada pemenangnya di sana. Kan?"

"Mana kamu tahu mengenai hal ini?"

"Margas..."

Izraq perlahan memandang wajah anak muda itu.

"Margas?"

Izraq cuba mengingati kembali daripada mana dia pernah mendengarkan nama itu.

"Ah, ianya nama orang tua itu," bisik hatinya sebaik dia mengingati yang Kilat pernah memperkenalkan dirinya dengan nama itu.

"Kamu kenal orang tua tu?"

"Ya, dia yang telah membantu aku untuk mendapatkan nama dan tawaran kerja sebelum aku dapat pekerjaan yang 'menyimpang' ni."

"Kau tak sepatutnya meneruskan kerja kau ni, Andy. Ianya merendahkan diri kita sendiri. Abang bukan mahu mengongkong hidup kau, tapi kau kena fikir baik buruk semua ni."

Andy membisu, kemudian dia tergelak.

"Ini adalah jalan yang saya pilih dan saya mahukannya, abang. Tak siapa boleh desak dan paksa saya. Tapi kalau diberi pilihan, mungkin saya boleh menyukai apa yang abang lakukan. Tapi, mungkin juga saya takkan menyukainya juga kan?"

Izraq gelak.

"Kau takkan mungkin tidak menyukainya, Andy. Dunia yang pernah kami lalui adalah dunia yang kotor dan terlalu kompleks. Ada masa kau rasa ingin lari, dan tidak mahu ada kena mengena dengannya. Namun satu masa, ianya terasa tidaklah begitu teruk. Dan... takkan mungkin seteruk yang kau sedang buat sekarang."

"Ya? Bagi abang kerja saya begitu teruk?"

Izraq mengangguk laju. Andy lalu memandang jauh ke hadapan.

"Tapi, ianya tidak pernah membuat saya rasa teruk. Tidak walau sekali. Saya menjalaninya dengan hati terbuka, dan saya pulang dengan rasa puas. Walaupun banyak perkara mengganggu hidup saya daripada apa yang saya buat tu, namun semuanya jadi terhapus dengan kerja-kerja seterusnya. Ia membuat saya tenang. Namun tidak mengikat saya dengan pengaruhnya. Jadi, abang tak perlu risau atau memikirkan lagi mengenai kerja saya ni. Kalau mati adalah lebih baik, saya juga berharap kematian akan datang menjemput saya lebih awal..."

Izraq terperanjat mendengarkan kata-kata Andy, namun kemudiannya hanya membiarkan sahaja dia masuk ke dalam biliknya. Izraq membaringkan tubuh dan mula memikirkan mengenai kata-kata Andy. Mula memikirkan tentang apa yang telah dia perlakukan selama ini.

ParutWhere stories live. Discover now