Grahhh!! Sesuatu kedengaran menyelinap ke dalam gua itu, mengejutkan Izraq dan Lilly. Melihat kepada susuk yang bukan manusia itu, Izraq sudah kelam-kabut. Namun Lilly dengan tenang sahaja mengeluarkan anak panahnya dari belakang dan dipanah makhluk itu.
"Sekejap." Halang Izraq saat Lilly mahu melepaskan panahan kedua.
"Apa tu? Mengapa dia terus dibunuh? Bukankah lebih baik kalau kita melihat keadaannya dulu?"
Lilly terkejut. "Kau tak tahu dia apa?"
"Aku tak nak tahu. Yang penting... aku lihat dia seperti... baik je?"
Izraq mendekati makhluk yang kusut dengan tubuh yang kotor dan sedikit berbau itu.
Zrupp! Panahan Lilly hanya mengenai kaki makhluk itu. Jadi, dia cuma menggelupur kesakitan, namun masih hidup.
"Hei!! Apa yang kau buat ni? Dia tak serang kita, gila!"
Izraq memerhatikan makhluk yang kelihatan begitu kasihan itu.
"Dia masih hidup, Lilly. Kita masih boleh selamatkan dia. Sekarang..."
Izraq pandang ke belakang. Namun betapa terkejutnya dia kerana melihat Lilly yang sudah pun bersedia untuk melepaskan anak panah keduanya itu.
"Lilly... hei, dengar kata aku dulu..." Izraq membenteng panahan Lilly daripada makhluk itu.
"Ke tepi, Izraq."
"Lilly, dengar cakap aku dulu."
"Aku cakap tepi!!"
"Lill.."
Zriuuss!
'Makhluk' itu terbaring layu di atas lantaian gua itu dengan darah yang terus mengalir. Izraq pandang wajah Lilly dengan kecewa. Dia tak menyangka yang gadis itu akan melawan kata-katanya untuk tidak membunuh makhluk yang dia rasakan tidak bersalah itu.
"Dah. Tak ada masa nak menangisinya, Izraq. Cepat kita keluar daripada sini."
Lilly tarik kedua-dua anak panah daripada tubuh gombla yang sudah mati itu sebelum dia heret Izraq yang masih tercegat melihat bangkai gombla yang sudah tidak bernyawa.
Izraq tepis tangan Lilly dengan perasaan yang bukan lagi kecewa, malahan juga adalah marah.
"Dia tak kacau kita, kan? Mengapa perlu terus dibunuh!!?"
Grahh! Grahh! Grahh! Bunyi makhluk sama dalam kumpulan kawanan mereka itu mengejutkan Izraq, dan juga Lilly.
"Mereka dah datang.."
Lilly tarik lengan Izraq sekali lagi. Namun Izraq masih lagi bereras. Tercegat di situ, menyaksikan sekumpulan gombla yang memasuki gua dan terus menuju ke arah bangkai gombla itu.
Shret! Shret! Shret! Izraq terperanjat melihat bangkai yang sedang dimakan oleh spesis mereka sendiri.
"Mereka adalah kanibal."
Izraq terdiam dan mula terfikirkan kata-kata gurunya sebelum ini.
"Mereka kanibal. Dan... mereka juga... makan manusia?"
Izraq terus memandang kanibal itu memakan kaum mereka sendiri. Mereka tidak nampak ghairah. Namun mereka tahu apa yang sedang mereka lakukan. Mereka tahu dan seakannya sentiasa tahu tentang bahagian perut yang perlu didahulukan itu. Mereka buka bahagian perut bangkai itu dengan kuku mereka yang panjang dan kotor. Dan mereka korek isi di dalamnya. Dimakan, diratah dan jilat seperti sebuah santapab lazat. Izraq serta-merta muntah di situ.
Dan sebaik Izraq dongak pandangannya kembali, seekor daripada gombla memandang wajahnya dengan pandangan tajam. Izraq jatuh, namun segera ditarik oleh Lilly.