Bab 12

244 20 3
                                    

IZRAQ turun daripada pokok itu dengan laju dan berhati-hati. Kerambit telah pun dia kuncikan pada jari telunjuknya.

Kali ini dia sudah bersedia untuk membunuh gombla itu. Dia bukan tidak tahu yang gombla akan menjadi semakin ganas mendekati malam purnama nanti. Tapi entah mengapa apabila dia melihat gombla yang pertama tadi, dia menjadi kasihan dengan tidak semena-mena.

Bukk! Izraq disepak oleh seseorang. Lalu dia berpaling dan memandang wajah penendangnya itu dengan kecewa. Keluhan dia lepaskan.

“Aku tiada permusuhan dengan kau, Kai! Sekarang tinggalkan aku sendiri.”

“Kau memang tiada permusuhan dengan aku. Tapi aku perlu balas dendam atas kematian datuk aku, Andre.”

“Tapi, bukan aku yang bunuh datuk kau, jahanam! Nek Ros terpaksa bunuh dia. Sebab datuk kau, Andre cuba nak dapatkan aku ke sini, walaupun keluarga aku tak mahu aku dibawa ke mari!”

Kai mengerutkan dahinya.

“Tapi, bukankah Kilat yang...”

“Kilat bukan keluarga aku!”

“Ah, aku tak kisah. Yang aku tahu datuk aku telah dibunuh. Dan pembunuhnya, harus mati!”

Kai bersedia untuk menyerang. Izraq pula sudah hilang sabar. Kerambitnya digenggam erat dan dia bersedia dalam posisi kuda-kudanya.

Beberapa serangan daripada Kai berjaya dia patahkan, dan dia terus meluru dengan serangannya. Kerambit dia singgahkan betul-betul pada belakang tengkuk Kai. Kini Kai langsung hilang peluang.

“Aku boleh bunuh kau sekarang. Tapi, aku tak berniat untuk membunuh sesiapa di sini. Aku hanya akan bunuh... pembunuh nenek aku, nek Ros. Aku tak kisah siapa bapanya, atau ibunya, anak, cucu. Mereka tiada kaitan. Nek Ros aku tak pernah kacau sesiapa. Dia hanya nak melindungi aku. Pembunuhan terhadap Andre, tidak disenangi dia juga. Dia... turut mengalirkan air mata waktu itu. Andre takkan mati kalau dia tak kacau kehidupan kami. Dan nek Ros takkan mati kalau b... benda bodoh macam ni tidak dicipta. Jadi, tolong. Aku rayu, jangan tambah lagi kebodohan ni.”

Kerambit itu Izraq tarik perlahan sebaik dia melihat Kai semakin mengendurkan otot-otot tegangnya itu.

Kai mengundur sebaik dilepaskan, disembunyikan belatinya kembali ke dalam sarung dan matanya dia jatuhkan ke tanah.

“Tapi kau tetap harus bertanggungjawab atas kematian datuk aku.”

Izraq memandang wajah Kai, kosong.

“Bagaimana? Apa yang kau nak lakukan?”

“Jadi ‘saudara’ aku.”

Izraq terkejut. Dia memandang Kai untuk beberapa lama sebelum Sandra datang mendekati sahabatnya itu. Keduanya kelihatan tidak berniat lagi untuk menyerang. Bagaimana keinginan untuk membunuh itu boleh berubah untuk menjalin hubungan saudara pula? Itu yang bermain di benak Izraq untuk beberapa ketika.

“Baik.”

Kai dekati Izraq. Dia melangkah dan tiba-tiba dikeluarkan tiga daripada belatinya. Izraq hairan, namun dia tidak berganjak. Dia hanya menantikan sahaja kemaraan Kai. Jika Kai benar mahu melepaskan belatinya, Izraq sudah tahu arah mana dia mahu lari. Sedangkan kalau diserang pada jarak dekat pun, dia sudah bersedia dengan kerambitnya. Hanya sahaja perlu dia kemaskan kembali genggaman, dan dalam masa sesaat, dia akan bersedia dengan posisi serangan.

Zrapp! Jaket dan baju kemeja-tnya dikoyakkan oleh ketiga-tiga belati itu, memberikan tiga kesan cakaran pada dada Izraq. Dan seperti telahan Izraq, serangan itu tidak berterusan. Hanya mati di situ.

ParutWhere stories live. Discover now