Bab 22

207 18 2
                                    

4 tahun kemudian,
IZRAQ keluar daripada rumah itu dalam keadaan serabai dan mamai. Dia baru bangun tidur, dan setelah dia menunaikan kewajiban ke atas dirinya, Izraq ke luar rumah untuk mendapatkan akhbarnya.

Malam itu gerhana bulan penuh akan berlaku. Sudah 6 tahun dia berlatih dengan sisi hitam dirinya itu. Dan kini dia sudah boleh mengawal dirinya. Dia sudah boleh menerima gerhana bulan penuh dengan terkawal. Mungkin tidak sebaik Kai, memandangkan dia juga hanyalah sebuah eksperimen yang gagal. Namun itu tidak penting.

Yang penting adalah dia boleh mengawal dirinya daripada kehendak membunuh, menyerang orang. Cuma sahaja dia tetap perlu untuk bersembunyi sahaja di dalam rumah sewaktu ianya berlaku.

Izraq lipat kembali akhbar itu, sebelum dia perasan akan sesuatu di dalam peti suratnya. Lalu ditarik.

Kepada Izrael.

Izraq kehairanan. Surat itu tidak beralamat dan tidak berstem. Lalu Izraq pandang  ke sekeliling. Siapa yang menghantarnya? Dan dibuka kandungan surat itu.

Senarai nama dan alamat serta pekerjaan beberapa individu terselit di dalamnya.

“Hasniza, Daud, Wirdad, Sarah, Bustaman?”

Izraq bingung. Dia tidak mengenali sesiapa dengan nama itu. Jadi dia tidak dapat mengaitkan mereka dengan apa-apa. Lalu dia baca halaman seterusnya.

Lima orang ‘sahabat’ kau semasa di Pulau Hakki. Salah seorang daripada mereka adalah pembunuh guru Meor. Mereka telah menukar identiti dan berselindung di bawah Kilat, terus bertugas untuk dia dan mereka juga adalah pembunuh upahan yang telah dipergunakan Kilat dalam masa beberapa tahun ini.

Izraq masuk ke dalam rumah dengan gelisah.

“Salah seorang daripada senarai ini... adalah salah seorang daripada ‘mereka’?” Izraq berfikir untuk beberapa lama sebelum dia ambil jaketnya, dan dikeluarkan keretanya.

Malam itu dia harus pastikan yang dia akan berada di Kuala Lumpur, tersembunyi daripada bulan, dan dunia luar, di dalam sebuah bilik berseorangan. Kemudian, barulah dia fikirkan apa yang perlu dia lakukan dengan hal itu.

**

IZRAQ berjaya menempatkan dirinya di dalam sebuah rumah yang kecil dan tersembunyi. Dia mula merangka perancangannya. Bulan merah di luar, dan Izraq terus menenangkan dirinya, memuji dan memuja yang selayaknya.

Dia terus diam dalam mata yang merah menyala, tubuh menggigil. Masih lagi duduk dengan sepenuh ketenangan yang dia mampu. Dan dia berkeadaan begitu sehinggalah matahari menjengah langit pada keesokkan harinya. Dan Izraq bangun dalam keadaan tubuh yang sangat lesu.

Memendamkan keinginan bertarung dan berlawan memakan seluruh tenaganya. Izraq terpaksa berehat sehingga satu minggu, sebelum kelima-lima orang yang telah dicatatkan di dalam surat itu dia intip.

Izraq mulakan dengan Sarah dahulu. Gadis itu tidak dia cam. Dan dia pasti yang dia tidak mengenali sebarang wajah sebegitu. Kalaulah benar dia adalah salah seorang daripada Lilly, Sandra, dan Timber, mustahil untuk dia tidak dapat mengecam wajah itu. Dalam masa beberapa tahun, tak mungkin muka mereka berubah sebanyak itu? Jadi dia melangkah lebih dekat lagi dengan Sarah.

“Hei, kau ni siapa? Lilly, Sandra atau Timber?”

Izraq terus mendesak. Sedang gadis itu tidak mahu menjawab. Dia malahan terus meronta, dan menegaskan yang dia tidak mahu diganggu.

Namun ada sesuatu pada gadis itu meyakinkan Izraq yang dia berasal daripada pulau Hakki. Kesan ‘tampalan’ cip di belakang tengkuk itu. Izraq yakin yang kesan pada itu adalah daripada cip Ledak Ngilu yang telah dikeluarkan.

ParutWhere stories live. Discover now