“IZRAEL..” panggil Margas sambil tersenyum.
Izrael hanya memandang kosong kepada orang tua itu.
“Aku minta maaf sebab dah paksa kau untuk bunuh Dr Mia. Aku... terlalu ikutkan amarah aku sebab kau ikut kemahuan Mastura sebelum.”
"Kemahuan apa?"
"Membunuh cucuku sendiri."
Izrael menggeleng kepala. Dia tidak tahu apa yang sudah dia lakukan. Tapi membalas dendam dengan meminta dia membunuh orang lain... kenapa tidak dibunuh sahaja dirinya sendiri?
“Bagaimana pula dengan anak kau... Aslan?”
“Kara adalah sepupu kau. Adiknya bakal mencari kau nanti. Kau akan tahu juga siapa dia. Dan aku dah pun pastikan Aslan berkahwin dengan Kara. Kau boleh hadiri majlis perkahwinannya minggu depan bersama Kai. Namun, kau haruslah berselubung.”
Izrael hanya terdiam, memandang wajah Kai yang sudah bersedia untuk membawa dia keluar.
“Hei, anak monyet..”
Izrael berpaling.
“Aku minta maaf. Aku benar-benar minta maaf dengan kau.”
Air mata mengalir ke pipi orang tua itu dan Izrael sangat bersimpati, mengasihaninya.
Tapi wajahnya yang kaku itu tidak dapat mempamerkan perasaannya, walau sekelumit. Dia hanya mampu mengangguk dan kembali menghala ke pintu keluar.
Dan Kai, Izrael perasan menghulurkan sesuatu kepada Margas. Dia memandang Margas dengan simpati sebelum mereka keluar daripada tempat lawatan.
“Maafkan... maafkan aku, cucuku.”
**
IZRAEL tenang mendengar berita kematian Margas daripada warta berita malam itu.
Sebaik sampai ke rumah nek Ros itu, Izrael terus ditinggalkan oleh bapanya sendiri. Menurutnya, ada beberapa perkara yang harus dia uruskan di Kuala Lumpur. Izrael hanya mengangguk.
Berita yang masih memaparkan pencarian pembunuh bersiri itu terus ke udara, membuatkan bulu roma Izrael meremang memikirkan yang dialah umpan untuk hadiah ganjaran 10 ribu ringgit itu.
Izrael pandang rumah yang kelihatan bersih itu. Agaknya ada yang menjaga rumah itu sewaktu ketiadaan orang.
Agaknya mungkin anaknya atau cucunya yang lain? Siapakah nek Ros itu sebenarnya? Izrael masuk ke dapur dan mendapati yang peti itu masih beroperasi. Terdapat lauk-pauk yang masih baru di dalamnya.
Lalu Izrael masukkan lauk yang baru dibeli oleh bapanya tadi. Bapanya tak sempat memakan masakannya tapi Izrael masih berharap akan ada satu masa yang dia dan bapanya bersama, dan mereka dapat merasai makanan yang dia masak.
“Bagaimana hidupku bersama bapa dahulu?” bisik Izrael sambil dia mengacau sup ayam itu.
Bau dan aroma daripada sup itu sangat menyenangkannya. Dan bunyi hujan yang berderai turun membuat dia semakin menikmati malam itu.
Sup ayam itu kemudian dia bawa ke hadapan televisyen, mahu melenyapkan fikirannya tentang kehidupannya yang misteri.
Rancangan televisyen dia tonton diam dengan bunyi hujan dan gebar yang menyelimuti kakinya. Rancangan lawak itu memberi kesukaran buat dia kerana perlu ketawa sedangkan mukanya hanya kaku dan kejang. Izrael pandang ke arah tingkap yang terbuka sedikit.
Kilat yang sesekali menyambar dia pandang. Pada malam dia dibuang di dalam tong sampah itu beberapa tahun yang lalu, hujan juga turun dengan renyai dan kilat sesekali menyambar terang, membuat dia terpana pada setiap kalinya.