“IZRAEL, kami bergerak dulu ya?” ujar Aslan sebelum dia bertolak ke zoo negara bersama Kara dan bayinya, Sharul.
“Hati...hati.”
Izrael melambai kepada bayi Sharul, di ribaan Kara. Afwan yang kecewa kerana Izrael tidak mahu ikut serta mendekatinya.
“Afwan pergi dulu. Betul abang tak nak ikut sekali?”
“Maaf... Af... wan... abang... tak... dapat... i... kut.”
Afwan mengeluh, kemudian berlari masuk ke dalam kereta. Dia berlalu di tempat duduk hadapan, bersama Aslan yang sedang memandu. Sedang Kara di tempat duduk belakang. Mereka melambai kepada Izrael sebelum keluar daripada pagar rumah dan meluncur laju ke destinasi.
Izrael masuk ke dalam rumah dengan perasaan berkecamuk. Dia tidak tahu kenapa, tapi dia dapat rasakan ada perkara buruk yang telah terjadi. Semalam dia mendapat panggilan telefon daripada Mastura lagi. Dan dia telah berusaha untuk tidak mengendahkannya. Sehingga akhirnya dia mendapat suatu mesej.
Kau datang atau tidak, kaulah pembunuhnya di Zoo Negara. Malam ini pembantu aku akan datang menjemput kau. Keluar tepat pada waktunya.
Izrael tak pasti apa yang sebenarnya mahu disampaikan oleh Mastura. Semua perkara tentang menjadikan dia pembunuh. Apa dia mahu sebenarnya? Izrael asang siaran televisyen, bercadang mahu melupakan tentang perkara itu. Namun persoalan yang makin menyerabuti kepalanya membuatkan dia naik juga ke bilik, menukar pakaian. Jaket hitam dan topi itu disambar.
Teksi Izrael tahan, dan dia meluncur laju ke Zoo Negara. Nombor Kai pada masa yang sama cuba dia hubungi berkali-kali. Namun tidak diangkat. Sebaik sampai ke destinasinya dan dia masuk ke dalam perkarangan Zoo Negara. Baru panggilan itu dijawab.
“Helo, ya, Izrael. Aku sedang bertugas ni. Kau tak boleh sabar kenapa? Nanti aku telefon kau balik.”
Izrael mengeluh sebaik dia mendengar bunyi panggilan yang telah diputuskan itu. Nampaknya dia terpaksalah bertindak sendiri. Dia pasti yang ada perkara yang mencurigakan akan dia temui di sini. Tapi dia masih tak dapar membuat dirinya mempercayai yang tindakannya kini adalah suatu tindakan yang bodoh. Kalaupun dia menjumpai mayat, apa mahu dia lakukan? Menikam buat kali kedua di tempat lain untuk memastikan dia tidak lagi menjadi suspek?
Warta berita telah sekian lama menguar-uarkan yang pembunuh budak penghantar akhbar, Zaki, dan budak lorong itu sebagai pembunuh sama yang telah membunuh Dr Mia dan 6 mangsa sebelumnya. Tapi, hakikatnya yang dia pasti, hanya Dr Mia sahaja yang telah dia bunuh.
Izrael lalu ke sebuah tasik di dalam zoo itu dan dia mendapati seekor angsa putih, swan yang sedang berenang dengan tenang. Ianya indah, dan pada masa yang sama memilukan buat Izrael.
Bulunya yang putih membuktikan dia mampu hidup tenang. Ia bukan angsa putih yang suka bertarung. Ia angsa putih suci yang layak mendapat ketenangan. Izrael lalu mahu berlalu daripada situ.
Namun saat dia melihat Afwan, Izrael datang menghampiri dan dia sentuh bahu budak itu. Tidak membenarkan Afwan berpaling kepadanya, Afwan dibawa Izrael ke kawasan yang lebih dekat dengan keberadaan angsa putih itu. Untuk melihatnya dengan lebih dekat.
“Angsa putih itu memang cantik kan?” tanya Izrael. “Angsa putih yang tidak mengotorkan bulu putihnya dengan pertarungan. Ia... angsa putih yang menenangkan. Kan Afwan?”
Afwan terkejut mendengarkannya. Dia ingin berpaling namun masih dihalang.
“Afwan, bolehkah kau menyampaikan sesuatu untukku kepada bapamu?”
“Apa?”
“Mintakan pen daripada pengawal di sana...”
Setelah Izrael habis menuliskan surat buat Aslan itu, dia dan Afwan kembali memandang angsa putih itu sebelum Izrael ternampak Kara dan dia segera meminta diri daripada Afwan dan pergi menjauh daripada situ.