"SIAPA lelaki tu?"
Izraq turunkan Timber yang kelihatan bingung.
"Oh... hm... itu adalah... Naga Langit.."
"Naga Langit?"
Timber mengangguk, "Peloncat terulung. Dan di ketinggian tertinggi, dia malahan berupa naga yang sedang terbang di udara. Tapi, tadi... percayalah. Dia sengaja bagi peluang itu untuk kau melepaskan diri."
"Kenapa kau cakap macam tu?"
"Nampaknya semua orang dah tahu bahawa kau adalah cucu Kilat, yang baru sahaja sampai ke pulau ini.."
Timber pandang wajah Izraq dengan wajah kebimbangan.
"Dan mereka semua merancang nak bunuh kau!"
Izraq cuba bertenang.
"Habis tu, kenapa pula Naga Langit lepaskan aku?"
Timber hanya jungkit bahu. Langkah kakinya mula dilajukan. Dan mereka akhirnya sampai betul-betul di hadapan sebuah gerbang.
Izraq perhatikan kawasan itu dengan terpukau. Khemah yang berjujukan menggunakan kulit binatang itu, alatan kayu, persediaan pertarungan, lapangan pertarungan, Izraq terpaksa menjentik dahinya untuk memastikan yang dia tidak bermimpi.
Timber pula dengan selamba terus masuk ke dalam salah sebuah khemah itu, diikuti Izraq yang hanya mengikuti tanpa sebarang kesangsian.
Sedangkan sebaik sahaja Izraq masuk ke dalam khemah itu, dia terkaku. Kagum melihatkan keadaan dalam khemah yang dipenuhi dengan alat senjata kuno yang pelbagai.
"Kau peserta baru?" soal seorang lelaki tua.
Izraq yang masih ralit memandang suasana tempat itu terkejut. Namun tetap mampir mendekati dan orang buta itu lalu menghulurkan tangannya untuk bersalam.
Izraq yang pada awalnya masih tidak menyedari mengenai kondisi mata lelaki tua itu bertindak menganalisa punca lelaki tua itu memberi salam pada arah yang tidak bertepatan dengan kedudukan anak matanya.
Namun sebaik dia sedar keadaan sebenar, Izraq segera menyambut tangan orang tua itu. Namun senyuman lelaki tua itu kemudiannya, membuatkan Izraq semakin tidak sedap hati.
"Jangan lekas membalas salam di sini, anak muda," ujar lelaki itu.
Izraq menjungkitkan keningnya. Dan belum pun sempat dia melepaskan genggaman tangannya daripada lelaki tua itu, tidak semena-mena tubuhnya ditarik dan dilempar ke arah belakang.
Izraq kembali bangun dan mendekati tubuh Haem. Tangannya cuba untuk menyambar bahu orang tua itu, namun Haem mengelak dan bergerak ke sisi, betul-betul membuatkan Izraq sakit hati.
Izraq lalu cuba menyerang dari sisi yang berbeza. Namun, usahanya menghampakan. 'Deria' orang tua itu terlalu tajam. Setiap serangannya berjaya dia tepis mudah.
Izraq memerhatikan sekilas Timber yang sudah melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi kecil. Bayang yang terhasil oleh tubuh anak kecil itu memberi dia beberapa 'akal'.
Lalu Izraq tutup lampu di dalam khemah itu. Dan matanya cuba dia kuncikan kepada tubuh orang tua itu untuk beberapa minit sebelum dia memulakan serangan dengan langkah baru. Satu tumbukan dia lepaskan ke dada. Berjaya dielak tenang oleh orang tua itu. Dan sejurus itu, dia cangkuk sebelah kaki Haem yang sudah pun kurang keseimbangannya sehingga orang tua itu akhirnya jatuh dalam keadaan terkejut.
Izraq kembali bangun dan berdiri dalam keadaan tubuh yang berjaga-jaga. Serangan seterusnya oleh orang tua itu cuba untuk dia 'baca'. Namun ternyata orang tua itu sudah pun selesai 'mengujinya'.