BEBERAPA bulan berlalu, dan Aslan menerima Izrael tinggal bersamanya. Izrael tidak tahu bagaimana perkara itu boleh berlaku, dia bagaikan bermimpi. Dia tidak mengenali Aslan. Namun lelaki itu sangat baik, membuatkan dia tidak sanggup untuk identitinya yang sebenar itu terdedah.
Kalaulah Aslan tahu apa sebenar-benarnya yang telah berlaku. Kalaulah benar apa yang diberitahu oleh orang tua itu. Yang dia sebetulnya telah membunuh anaknya, Izrael tak rasa mampu untuk memaafkan dirinya, apatah lagi untuk Aslan menerimanya.
Izrael kini bersendirian dengan Aslan, dan dia merenung jauh ke hadapan. Masih ada sedikit gugup di hatinya, walaupun tidak terserlah pada wajahnya.
“Kamu... tak... ki... sah... aku... ting... gal... de... ngan... kamu?”
“Kau masih bimbang pasal hal ni? Aku dah beritahu kau yang aku sekarang hanya hidup sendiri, kan? Kau boleh buat rumah aku macam rumah kau sendiri. Aku tak kisah. Tak ada siapa boleh halang.”
Izrael membisu dan memandang ke bawah sebelum dia kembali menjatuhkan pandangannya pada Aslan.
“Ba... ik.”
Walaupun baru mengenali Aslan beberapa bulan, Izrael merasakan dekat dengannya. Aslan dia pandang dan dalam diam dia cuba mengingat kembali jika dia pernah bertemu dengan wajah itu. Kerana dia merasakan yang hubungan yang terjalin antara mereka agak drastik boleh menjadi rapat.
"Izrael..."
Aslan memandang jam tangannya.
"Aku nak kena ambil Afwan ke hospital."
"Ah. Untuk... pemeriksaan susulan tu ke?"
"Ya. Aku pergi dulu ya?"
Izrael tidak tahu apakah masalah Afwan. Dan dia tidak mahu terlalu menyibuk. Mungkin suatu masa nanti, mereka akan ada peluang yang lebih banyak untuk berbual panjang dan bercerita.
Izrael kemudiannya dibawa ke rumah Aslan dan dia diberi sebuah bilik sendiri. Namun dia perasan yang anak Aslan itu seringnya memandang dia, seperti sedang cuba mengingati seseorang. Dia baru tahu yang Afwan juga mengalami amnesia. Hilang ingatan waktu terjatuh di hadapan balai polis.
Izrael duduk di atas katil itu, dan dia mula merasa sunyi. Walaupun dia mempunyai tempat untuk bergantung dan boleh dia anggapkan sebagai keluarga, namun dia tetap merasakan yang itu bukan dirinya yang sebenar.
Rasa hilang arah tuju membuatkan dia merasa benar-benar kosong. Hati dia tak senang. Dan rasanya seperti ada sesuatu tugas yang tidak dia laksanakan. Tapi dia tidak tahu apa. Dan perasaan itu seakan membunuhnya kini.
Sebaik mata terpejam, Izraq mula ‘merasakannya’. Izraq rasa kuasa malam dan kegelapan pada dirinya. Dia selesa dengan suasana itu, membuatkan dia kemudiannya bangun dan menutup lampu. Sebaik biliknya gelap tanpa sebarang cahaya, Izraq mula bermain dengan penglihatan dalam kegelepan.
Izraq mula melangkah dan dia langsung tidak tersadung oleh banyaknya barang di dalam bilik itu. Kaki ampaian pakaian itu dapat dia elakkan dengan baik seperti hari terang. Begitu juga dengan kaki katil serta kotak yang berada di situ.
Izrael buka tingkap biliknya, dan dia melihat bulan purnama yang bersinar terang, mengejutkan dia. Beberapa bayangan tiba-tiba melintas pantas, dengan rupa beratus-ratus makhluk yang hodoh. Pertarungan demi pertarungan?
Izrael hairan. Adakah itu bayangan daripada mimpinya? Dia tak pasti. Dan tubuh Izrael menggigil halus tiba-tiba lalu dia menutup kembali tingkap.
**
KAKI Izrael semakin pulih dengan rawatan susulan yang dilakukan hasil sokongan Aslan dan Dr Mia. Dan dia juga lega kerana masih ada kawan untuk membantu dia walau dia sendiri sudah hilang ingatan.