IZRAEL bangun pada pagi itu dan mendapat tahu mengenai kes pembunuhan penghantar akbar.
"Maklumat lanjut mengenai mangsa masih dalam siasatan. Mangsa hanya yang dikenali sebagai Dali oleh penduduk sekitar..."
Izrael letakkan kembali surat khabar itu ke atas meja. Dia masih cuba untuk mencerna turutan sebenar kejadian malam tadi.
“Apa bunyi bising sangat semalam, Izrael?” tanya Aslan yang sedang melangkah perlahan daripada dapur.
“Bu... nyi... bising?”
“Ya. Kamu terlanggar meja ke?”
Izrael termenung seketika.
“Mereka... hantar aku hingga naik ke rumah?” bisik Izrael.
Dia tak dapat mengingati sepenuhnya tentang apa yang telah berlaku malam tadi. Namun Izrael tetap berpaling kepada Aslan, dan meminta maaf.
“Aku... ter... jaga... tengah... ma... lam... tadi.”
Aslan tersenyum.
“Tak mengapalah, Izrael. Aku tak kisah pun. Aku cuma... bimbang.”
Aslan memandang wajah Izrael yang masih merenung akhbar. Dia sejujurnya sentiasa bimbang dengan keadaan sahabatnya itu. Namun dia tak dapat memberikan lebih daripada yang telah dia berikan kini.
“Jadi, Izrael. Kamu ada perlukan apa-apa?”
Izrael menggeleng.
“Kalau macam tu, aku pergi dulu ya?”
“Aslan..”
“Ya?”
“Apa... kes... dengan... peng... hantar... surat... kha... bar... tu?”
Aslan pandang akhbar di atas meja. Dia terburu-buru untuk ke tempat kerja. Namun memikirkan Izrael yang kebosanan di rumah itu, Aslan kembali mendekatinya.
“Budak Dali itu telah dibunuh oleh pembunuh bersiri, Pembunuh Malam. Tembakan pada bahagian kiri perut mangsa, menunjukkan pertembungan target organ yang sama. Dan ianya konsisten dengan cara pembunuhan yang dilakukan oleh... pembunuh Dr Mia!”
Aslan keluar daripada rumah. Sedang Izrael yang kelu, terduduk setelah bayang Aslan menghilang. Pembunuhan itu bukan dilakukannya. Ya, pembunuh Dr Mia memang dia. Tapi pembunuhan kali ini, tidak.
Izrael tarik rambutnya dengan kasar sebelum dia naik ke tingkat atas, dan dia mandi. Dia perlu mendapatkan cerita sebenar tentang kemahuan wanita keparat malam tadi.
**
“IZRAEL, tolong aku.”
Izrael berhenti. Seorang lelaki tua yang memakai penutup muka memandangnya dengan wajah simpati.
“Aku memerlukan bantuan kau. Tolonglah aku.”
Izrael masih membisu.
“Tolong ke bahagian barat pulau. Aku berada di sana, terperangkap di dalam penjara yang gelap dan membusukkan. Tolonglah aku...”
“Baiklah, guru Meor.”
Izrael melangkah bersama orang tua itu, mengikutinya daripada belakang. Memberi penunjuk arah ke tempat yang dia nyatakan. Sehinggalah mereka sampai ke sebuah tempat tersembunyi yang tidak pernah Izrael lihat sebelum ini. Sebuah benteng konkrit yang tinggi dan Izrael terus dibawa memasukinya.
Suara pekikan dan lolongan kedengaran sayup di pendengaran Izrael. Namun dia masih mengikuti orang tua itu memasuki penjara gelap dan mata yang bersinar tiba-tiba memenuhi seluruh ruangan. Izrael tidak sempat berpaling ke belakang. Serangan mendadak daripada segenap penjuru.