“Duduk di suatu tempat yang paling kau rasakan selesa.”
Izraq pandang tangki yang berisi air penuh setinggi tubuhnya, kawasan panas terik dan kawasan teduh yang kegelapan di bawah garaj itu. Lalu dia melangkah mendekati kawasan garaj. Dan dia duduk bersila di situ menantikan arahan nek Ros yang seterusnya.
“Jadi kau pilih tempat itu?” Nek Ros tersenyum. “Benar-benarlah kau ini sepertinya.”
Dan Izraq tergamam sebaik nek Ros menurunkan penghadang garaj itu, menjadikan dunianya gelap.
Gungg! Penghadang garaj itu diketuk daripada luar.
“Teruskan bertenang dan kosongkan minda kau. Aku akan lepaskan sesuatu untuk menemani kau nanti. Ingat, bertenang adalah kunci kejayaan ujian ini.”
Izraq diam. Dan untuk beberapa jam seterusnya, dia sudah pun memusatkan seluruh tenaga di ruangan mindanya. Menjadikan derianya lebih sensitif. Bunyi kenderaan dan ciak burung tiba-tiba lebih jelas. Bau petrol dan biskut mentega lebih tajam. Dan matanya mula dapat melihat sesuatu mendekati. Sesetengah daripada ‘mereka’ melingkar berdekatan kakinya sebelum dia mendengar desis itu, “Sss..sss..”
Terpegun.
“Binatang buas adalah makhluk yang bermaruah tinggi. Mereka tidak menyerang mangsa lemah. Lawan mereka adalah apa yang menunjukkan sifat yang layak mereka serangi. Ramai orang akan berlakon yang mereka adalah binatang buas. Jadi kau, harus belajar untuk ‘berupa’ mangsa yang lemah.”
Izraq diam. Dia biarkan ular-ular itu terus mendekat dan berdesis di sebelahnya. Namun seekor daripada ular merapat, meliliti lengan Izraq, terus mendesis. Lalu dibiarkan sahaja oleh Izraq, semakin lama lilitan itu terasa semakin ketat. Dan Izraq mula hilang tumpuan. Jantungnya mengepam darah dengan laju.
Dek kerana terlalu hilang fokus, kepala ular itu kemudian spontan dia usap selama beberapa minit. Dan desis itu mula dia kenal pasti coraknya. Tindak-tanduk sang reptilia lalu mudah dia kawal dan ular yang tadinya makin agresif kini melonggarkan belitannya.
Izraq kembali menenangkan diri, dan penghadang garaj lalu dibuka. Nek Ros melangkah selamba di antara ular-ular yang menjalar dan melingkar di lantai.
“Bagus. Ada cedera?”
Izraq yang sudah lemah mengangguk. Lalu ditunjukkan beberapa kesan gigitan di tangan dan belakang badannya. Nek Ros mendukung tubuh Izraq naik ke atas dan diberi beberapa cucukan penawar.
“Luka kau tak sepatutnya terlalu teruk. Kau adalah keturunan pahlawan terulung, iaitu Kilat. Dan yang paling penting... kau juga adalah Gombla.”
“Gombla?”
Angguk.
“Apa itu Gombla?”
“Seorang Gombla. Itu adalah sebabnya bapa kau sembunyikan kau daripada umum. Dan juga salah satu sebab mengapa kau sangat diingini untuk dihantar ke sana.”
Izraq mengerut dahi.
“Ke mana?”
“Pulau Hakki.”
“Pulau Hakki? Tapi kenapa pula saya mahu dihantar ke sana? Dan apa kena-mengena Gombla dengan tempat itu?”
“Bapa kau tak benarkan aku beritahu kau apa-apa mengenai hal ini. Tapi, aku rasa kau patut tahu serba sedikit kerana aku tak rasa kami dapat melindungi kau lebih lama lagi.”
Izraq sedikit jengkel.
“Melindungi... daripada apa?”
“Sudah lima bulan mereka memulakan kembali pertandingan Maiya, tanpa kau menyertainya bersama.”