IZRAQ masuk ke kamarnya, dan dia pandang kerambitnya dengan kesal.
“Aku dah bunuh 5 nyawa orang awam sekarang. Dan Kilat mahu aku bunuh Andy? Aku tak dibenarkan untuk menyerahkan diri kepada polis. Dan bagaimana aku nak menanggung semua perbuatanku ini nanti?”
Izraq membaringkan tubuhnya, dan dia teringatkan Andy yang telah dia anggap sebagai adik. Tak mungkin untuk dia membunuh manusia sebaik Andy. Tak bersebab pula tu.
“Tapi bagaimana kalau sampai dia terpaksa menerima penyeksaan itu nanti? Adakah itu lebih baik untuk dia daripada dia kubunuh?”
Dahi Izraq mula berkeringat. Dan dia pejam matanya. Namun tak dapat lelap. Bayangan Andy untuk dia bunuh, dan Aslan untuk mengetahui semua rahsianya, menciptakan suatu fikiran ngeri buatnya. Namun genap seminggu setelah itu, Izraq nekad untuk melakukannya.
Pembunuhannya itu tidak bermaksud kebencian. Izraq faham yang Kilat sendiri tidak mahu mengambil risiko dengan menggunakan cara pembunuhan lain yang mungkin tidak begitu menyakitkan. Ubat bunuh diri misalnya. Ia mungkin berhasil namun kalau tidak, kesannya lebih teruk. Mereka tidak tahu seperti apakah hormon dan sistem tubuh Andy kerana dia bukan manusia biasa. Sama sepertinya.
**
Izraq hubungi Andy dan meminta anak muda itu untuk menemuinya di sebuah taman yang tersembunyi. Itu adalah lokasi terbaik untuk mengelakkan perkara buruk jika sampai dia terpaksa mengubah fikiran daripada menyerah dirinya kepada pihak polis.
Waktu Izraq sampai, jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Tiada orang di kawasan sekitar itu.
Andy sampai dengan wajah yang kepucatan. Izraq tahu Andy hairan dengan tindakannya, mengajak dia keluar pada waktu pagi begitu.
“Kau... bukan manusia biasa, kan Andy?”
Andy hanya memandang tajam kepada Izraq.
“Kau dah biasa membunuh. Kan?”
“Cukup abang, cukup! Untuk apa sebenarnya abang panggil saya malam-malam macam ni?”
Izraq tergelak kecil. Bagaimana untuk dia beritahu sebabnya? Dia sendiri merasakan satu ketanggungjawaban dan dosa pada waktu yang sama.
Izraq melangkah dengan lembut, namun laju ke belakang Andy.
“Abang...?”
Andy terkejut. Namun jauh di lubuk hatinya, Andy sudah tahu itu akan berlaku. Sepanjang dia dalam perjalanan menemui Izraq tadi, dia malahan telah memikirkan pelbagai perkara, merasakan pelbagai ngeri dan ketakutan.
Dan saat Izraq dia lihat nekad untuk membunuh dirinya, Andy teringat akan jenayah dan pembunuhan yang dia sendiri lakukan selama ini.
Setiap kali dia menjelma kepada binatang jelmaan yang tiada perasaan dan hanya berkeinginan membunuh itu, Andy tahu akan sampai masa di mana dia perlu menyerah diri. Dan dia malah pernah pertimbangkan mengaku kepada polis.
Namun dia takkan dibunuh dengan sewenangnya. Akan ada perbicaraan. Naik turun mahkamah, dan ‘peminat’ yang akan berkeras untuk tidak membiarkan dia mati.
Dia mungkin akan berakhir membunuh dalam keadaan ‘terbuka’ dan dia tidak mahu itu berlaku. Pasti akan ada pertarungan jiwa dan mental baginya nanti. Untuk sesaat dia merasakan sekarang adalah masa yang terbaik untuk dia ‘menyerah diri’.
Dan ketika Izraq memegang tubuhnya. Dan mengacukan kerambit itu ke lehernya, Andy merasakan titis air mata daripada sahabat, yang juga abangnya itu.
“Kenapa kau menangis?”
“Encik! Sila berpaling sekarang. Saya adalah pegawai polis Bukit Aman. Letak senjata anda, dan berpaling ke belakang!” ujar pegawai polis itu daripada belakang Izraq.