IZRAQ bangun dalam keadaan terlentang, dikejutkan bunyi bising mikrofon yang membingitkan telinga itu.
“Kilat!”
Izraq membuka mata dan jambulnya ditarik penuh kehampaan sebelum dia menghentak-hentak kepalanya ke tanah.
“Aku... berguru dengan musuh darahku sendiri. Jahanam.”
Bunyi bising dari mikrofon yang sedang ke udara itu tiba-tiba bergema di dalam gegendang telinga setiap peserta pulau untuk beberapa saat sebelum satu suara yang telah dikenali orang lain sebagai suara Kilat itu kedengaran.
“Hai. Aku harap kamu semua bangun dalam hari yang indah. Kerana Pertandingan Maiya untuk kali yang ke-11 akan bermula dalam masa kurang 10 minit daripada sekarang...” itu adalah ayat langgam pembukaan pertandingan oleh Kilat pada kebiasaannya.
Jadi semua orang mula mengambil bergerak untuk bersedia. Namun pembukaan untuk kali itu tidaklah berjalan seperti biasanya. Kilat kembali menyambung ucapan pembukaannya.
“Memburu dan diburu..cari buntut orang yang mengejar buntut kau untuk kekal hidup. Cari tempat persembunyian di atas pokok kalau mahu selamat. Tapi, berjaga-jaga dengan ‘rakan’ kamu daripada pokok seberang.”
Kilat terdiam sebentar.
“Terima kasih.”
Bunyi mikrofon yang kembali membingitkan telinga selepas Kilat berundur itu tidak langsung mengganggu pendengaran mana-mana peserta lagi. Ucapan pembukaan yang berbeza daripada biasa itu nyata telah memberi impak yang pelbagai kepada peserta pertandingan. Bagi beberapa peserta yang berada kurang 10 meter daripada tempat Izraq terbaring, mereka hanya kehairanan namun gembira mendengar teknik yang pertama kali sudi dibocorkan oleh Kilat itu.
Sedang seratus meter daripada situ pula, sekumpulan mafia sibuk melepaskan amarah kepada pokok tempat mereka bertenggek itu. Rahsia yang dibocorkan oleh Kilat itu telah lebih dahulu mereka bongkarkan sebelum ini. Persaingan pasti akan jadi lebih sengit jika semua orang terus ‘disuap’ oleh Kilat. Sedangkan untuk memecahkan rahsia dan teknik pemburuan itu adalah kemahiran mereka yang paling utama. Sekurangnya daripada apa yang mereka fikirkan.
Klok! Klok! Klok! Bunyi kiraan waktu jam, diikuti oleh bunyi deringan loceng yang bising dan berpanjangan sehingga setengah minit lamanya. Dan selepas sahaja bunyi loceng yang itu berhenti, hutan yang tadi bingit menjadi sunyi dengan tiba-tiba. Langsung tiada bunyi derapan kaki. Tiada bunyi burung. Hanya kesunyian.
Izraq telan air liur, dan dia dongak wajah dia ke langit.
“Persetan kau Kilat!” bisiknya. Lalu dia menyusup naik ke atas pokok.
Zrupp! Panahan daripada dalam semak itu mengejutkan Izraq. Mata anak panah yang begitu laju mengenai sipi paha dan telapak tangan.
“Jahanam. Kilat tak guna tu dah beritahu tempat persembunyian ini kepada semua orang untuk didengari. Sudah tentulah mereka akan mencari di atas pohon pokok! Bagaimana aku boleh sebodohnya mengikut kata-katanya?” bebel Izraq, menyumpah-nyumpah sebelum dia turun mencari tempat persembunyian lain.
Izraq ikut ke mana arah kakinya membawa tubuh. Luka pada telapak tangan dia ikat dengan kain yang dia carik daripada baju kemeja-t dalam jaketnya itu. Tangan yang masih mengalir darah dia ikat dengan kemas, namun tidak terlalu ketat.
“ Lilly! Itu dia.” Kate memanggil dari kejauhan.
Izraq segera berlindung di belakang sebatang pohon pokok yang besar, memandang langit tinggi dan mengacip gigi. Dia memerlukan suatu perancangan yang cepat dan efektif jika tidak mahu mahu mati katak di situ.