IZRAQ sampai pada pokok persembunyiannya. Namun dia tidak terus naik. Dia melakukan rutin dengan empat qiam, yang diikuti dengan dua kali sujud setiapnya. Kemudian dia menambah lagi dua qiam, dan selepas dia tenang, barulah dia mendaki pokok itu, naik ke atas dengan sepantas mungkin.
Lilly yang kelihatan keletihan menantikan Izraq selama seharian itu dengan cepat menjadi girang melihatkan tupai bakar yang dibawanya.
“Ah... entah mengapa ya, tupai yang langsung tiada rasa dan sangat keras dagingnya ini tiba-tiba sahaja menjadi sangat sedap dimakan?”
Izraq hanya tersenyum sebelum dia menghulurkan kantung air itu kepada Lilly.
“Nah.”
“Oh... terima kasih.”
“Ah, ya. Dan ini juga.” Izraq hulurkan baju kemeja-t itu kepada Lilly.
“Haa... bagus. Ada jaket tak?” tanya Lilly spontan, dan dijawab dengan gelengan laju oleh Izraq.
“Aduh, kenapa tak ambil jaket sekali? Malam ini akan jadi sejuk tahu?”
“Aku... tak tahu.”
“Hmm... tak apalah. Ini pun dah cukup bagus sebenarnya, memandangkan aku hanya perlu duduk bertenggek sahaja atas pokok ini kan?” tanya Lilly dalam senyuman.
Izraq menjungkitkan keningnya.
“Maaf.”
Lilly menyambung kembali makannya.
“Boleh aku tanya sesuatu?” soal Lilly sambil dia berhati-hati menyangkutkan tulang-tulang tupai itu di atas dahan pokok bersebelahannya.
Izraq memandang wajah Lilly dan mengangguk.
“Apa yang kau buat tertunggang-tonggek di bawah tadi?”
Izraq diam seketika sebelum dia mengumpul dan membuang tulang belulang tupai di sisinya ke dahan pokok yang berlubang di sebelah.
“Aku...”
Izraq mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Kau boleh katakan sebagai meditasi. Ianya sangat menenangkan. Kau nak cuba?”
Lilly mengajukan tangan pada dirinya. “Aku? Haha... tak mahulah.”
“Tapi, aku nak tengok kau mencubanya,” ujar Izraq, lalu dipandang tajam oleh Lilly.
“Hmm... satu hari nanti. Mungkin satu hari nanti.”
Izraq menarik kembali pandangannya daripada Lilly, melepaskan gadis itu daripada rasa serba-salah. Dan kemudian dupandang ke bawah. Hari sudah pun mahu berganti rupa. Dalam masa kurang lebih satu jam lagi langit akan menjadi gelap. Lalu dia menyediakan ‘tempat tidurnya’. Di tarik dan dikelepet daun-daun pada penghujung dahan itu, dan dia jadikan ia seakan ‘tilam’ empuk, yang memanaskan badan.
Lilly juga melakukan perkara yang sama, dan tali yang dibawa Izraq itu kemudiannya dia lilitkan pada batang pokok itu sebanyak dua kali. Dan setiap hujung tali itu Izraq dan Lilly gunakan buat melilit tubuh mereka dengan tidak terlalu ketat mahupun longgar. Hanya cukup kejap untuk menahan mereka daripada jatuh.
Setelah itu tali itu mereka temukan kembali hujung tali pada batang pokok itu, lalu mereka ikat mati sebelum mereka membaringkan tubuh pada ‘tilam’ mereka. Seketika kemudian, Lilly bangun untuk menggantikan baju kemeja-tnya, sambil dia memanggil nama Izraq. Namun tidak dibalas oleh Izraq. Batang pokok yang besar itu telah memisahkan mereka daripada melihat antara satu sama lain.
Lilly memasang telinganya ke arah Izraq, dan dia mendengar sayup suara Izraq membaca-baca sesuatu.
“Barangkali dia sedang membaca mantera,” bisik hati Lilly sebelum dia menyambung kembali pembaringannya.