Bab 30

193 15 0
                                    

TEPAT jam 11.30 malam satu minggu kemudiannya, Izrael sampai ke tempat pembuangan sampah itu. Namun dia tidak melihat bayang pistolnya.

Dia menunggu lagi selama lima minit, kalau-kalau pistol itu tiba-tiba dibawa orang untuk dicampak ke dalam tong sampah itu. Namun penantian Izrael hampa.

Beberapa orang yang sedang membuang sampah itu memandangnya kehairanan. Gaya Izrael yang bagaikan tenang menanti seseorang itu agak pelik dilihatkan situasinya.

Tak percaya yang dia ditipu, Izrael jengukkan kembali kepalanya ke dalam tong sampah. Dan kali ini dia dapat melihat jelas objek hitam yang mempunyai muncung dan hulu.

Izrael capai juga pistol itu. Kelongsong itu dia buka bagaikan terbiasa. Dia sepertinya cekap  mengendalikan pistol sebelum ini. Izrael perhatikan kelongsong yang hanya punya satu peluru. Lalu dia menuju ke hotel Scent Garden untuk menyelesaikan segala-galanya.

Hotel gergasi itu diperhatikan lalu dikelilingi untuk mencari tempat yang sesuai bagi dia memulakan misi itu. Hujan renyai sudah semakin lebat. Kilat dan guruh bersilih ganti. Memancar dan berdentum, membuatkan Izrael semakin gelisah.

Akhirnya Izrael hanya menunggu di belakang hotel itu. Menantikan seorang perempuan berbaju merah untuk keluar. Dan seperti yang dia jangka, tepat jam 12 tengah malam, perempuan bergaun merah itu kelihatan menjengukkan kepalanya ke luar pintu.

Dan sebaik sang perempuan menuruni anak tangga, Izrael tanpa berfikir panjang menembak beberapa meter daripada tempat perempuan itu berdiri.

Dan tanpa dirancang, tembakan yang dilepas seiring pula dengan bunyi guruh yang bergempita di langit, langsung menyembunyikan kesan daripada jenayah yang dilakukannya itu.

Tembakannya mengena tepat pada sasara. Dan takjub. Dia melakukannya tanpa susah payah, seakan biasa menggunakannya. Tidak kekok menarik picu pistol dan melepaskan tembakan. Dengan matanya dikenyit sebelah. Segalanya begitu mudah, dia sendiri hairan.

Dan sasaran kini telah pun mati. Itulah lebih penting baginya.

**

Izrael pulang dengan rasa bersalah, dia tahu yang dia telah melakukan satu dosa. Namun dia terpaksa, kerana dia tak mahu Dr Mia menjadi mangsa.

Jika dia tidak mengikut kehendak orang tua gila itu, dia pasti orang tua itu akan melakukan apa yang dia katakan. Dr Mia akan berada dalam bahaya dan dia tidak mahu perkara itu sampai terjadi.

Izrael selamat sampai ke rumah, sedang temannya Aslan masih belum pulang. Jadi dia naik dengan lega ke biliknya, dan mandi. Pistol dia sembunyikan ke dalam laci. Setelah itu,  Izrael tidur dengan lena.

Esoknya, Izrael bergegas ke tasik selepas waktu subuh. Dia berhenti di hadapan tasik itu dan dia melihat suasana yang damai. Suasana itu sedikit sebanyak menenangkan hatinya yang berserabut. Dia menjerit dan burung lari berterbangan menjauhi kedudukannya. Izrael duduk dengan lemah.

“Aku tak berniat untuk membunuh dia! Aku tak ada niat. Aku hanya nak menyelamatkan Mia.”

Izrael terpaku. Serak dan sakit tekak yang dia rasakan sebelum ini telah hilang. Izrael cuba bercakap-cakap lagi, dan percakapan lebih lancar. Dia sudah boleh bertutur seperti orang biasa.

Izrael bangun dan tersenyum. Hilang semua resah di hatinya. Dunia baru yang ingin dia cipta bersama Dr Mia lebih menguasai sekarang.  Izrael cuba bertutur buat sekian kalinya lagi.

“Mia! Tunggu aku datang!”

Izrael mengeluarkan telefon bimbitnya dan dia cuba menghubungi Dr Mia. Namun, panggilannya tidak berjawab.

Izrael mengalah, dan dia mula menahan teksi untuk pulang. Dia akan memulakan hidup baru, dan melupakan apa yang telah terjadi pada malam tadi.

Sebaik sampai ke muka pintu, Izrael lihat kereta Aslan sudah pun tersadai di hadapan rumah. Lalu Izrael masuk ke dalam rumah itu dengan jiwa yang berbunga. Dia ingin mengkhabarkan berita gembira mengenai kepulihan peti suara itu. Dia ingin bertutur lancar dengan sahabatnya. Kalaupun Mia tidak dapat menjadi orang pertama yang mengetahuinya, Aslan juga layak.

Namun saat Izrael memasuki rumah itu, dia memandang wajah Aslan yang sedang berduka. Izrael tidak semena-mena merasa bersalah dengan sahabatnya. Nasib baiklah juga wajahnya tidak mampu mengekspresikan perasaannya.

“Aslan..”

“Izrael, Dr Mia dia... dia dah meninggal dunia, kawan,”

Aslan tak dapat memandang lama kepada sahabatnya itu.

Sedang Izrael terpempan, bingung. Dia menarik rambutnya dengan penuh kekecewaan dan mula menyumpah dirinya sendiri di seluruh benaknya. Dia telah membunuh perempuan dalam gaun merah itu, dan Mia malahan mati?

“Apa lagi yang orang tua itu mahukan?” bisik hatinya.

Dia tertunduk untuk beberapa minit sebelum dia berlari menaiki tangga. Dia mahu menyelesaikan orang tua itu. Dia akan mencari orang tua itu hingga ke lubang cacing.

“Izrael... kau bersedia. Kita akan melawat kuburannya.”

Aslan melangkah ke luar, sedang Izrael terkaku sebelum dia kembali turun dan hanya mengikut langkah Aslan. Sekarang dia harus memberikan penghormatan terakhir dahulu buat Dr Mia sebelum dia membalas dendam buat kekasih hatinya itu.

**

“YA, Dr Mia telah dibunuh. Oleh pembunuh yang profesional sewaktu dia keluar daripada pintu belakang Hotel Scent Garden setelah dia mendapat satu panggilan telefon,” ujar Aslan, masih memfokuskan pandangannya ke hadapan.

Izrael terpempan. Hotel Scent Garden? Itu bukankah.

“Aslan... Mi... Mia... dia... pakai... baju... apa?”

Aslan hairan. Dia pandang wajah Izrael dengan pelik.

“Sehelai gaun merah.”

Izrael seakan mahu pitam. Matanya segera tertutup dan air mata merembes keluar. Orang yang dia bunuh malam tadi, adalah Dr Mia. Izrael menghentakkan kepalanya ke pintu kereta. Dia menangis dan Aslan segera memberhentikan keretanya, cuba memujuk Izrael.

Namun Aslan sendiru tak dapat pastikan sejauh mana perasaan Izrael yang sebenarnya. Dengan muka yang tidak berperasaan itu, Aslan tak dapat tahu sejauh mana derita yang sahabatnya itu rasakan. Akhirnya hanya mampu membiarkan sahabatnya menangis, sebelum dia meluncur kembali ke jalan raya.

Izrael memandang wajah Dr Mia buat kali terakhir dengan kutukan dan sumpahan yang terus dia lontarkan kepada dirinya sendiri. Dia membunuh gadis yang dia impikan untuk sehidup semati dengannya. Izrael benar-benar tak tahu apa yang sepatut dia lakukan sekarang. Dia memandang beberapa pegawai polis yang turut hadir.

Perlukah dia menyerah diri kepada mereka? Izrael ingin sekali. Namun dia tak dapat melakukannya di hadapan Aslan. Aslan terlalu dia hormati sebagai seorang rakan. Dia tak dapat mengecewakan Aslan. Dia tak dapat mengakuinya dihadapan rakannya itu. Mungkin jika Aslan tidak turut sama hadir pada majlis pengkebumian itu, dia sudah meratap memohon maaf dan mengakui kesalahannya itu di hadapan kuburan Dr Mia.

Tapi dia hanya beransur pulang bersama Aslan dengan tenang. Wajah bersalahnya tidak terpapar langsung. Dan orang ramai hanya bersimpati kepadanya, tanpa mereka tahu apa sebenarnya yang telah dia lakukan.

Aslan peluk tubuhnya, sebaik mereka keluar daripada pagar tanah perkuburan itu dan Izrael tak mampu berkata apa-apa. Dia hanya diam dan mengalihkan pandangannya kembali ke kuburan Dr Mia.

“Maafkan aku, Mia. Kalau aku tahu ini yang berlaku, aku rela membunuh diriku daripada membunuhmu,” bisik hatinya.

Izrael kembali memandang Aslan, dengan pandangan tajam. Terlalu banyak yang ingin dia beritahu Aslan sebenarnya. Namun dia tak dapat menyatakanya sekarang. Dia akan mencari orang tua terkutuk itu dahulu. Dia akan membalas dendam atas apa yang telah orang tua itu lakukan. Dan setelah itu, dia akan menceritakan segala-galanya kepada Aslan. Itu nekadnya kini.

ParutWhere stories live. Discover now