“ANAK muda,” panggil guru Meor kepada Izraq yang sedang melakukan latihan memanaskan badannya dengan dengan sebatang kayu buluh itu.
“Ya, guru Meor.”
“Minggu depan pertandingan Maiya yang pertama akan kau jalani. Oleh itu aku akan menyerahkan kau kepada seseorang yang lebih handal dalam dunia persenjataan kerambit. Aku nak kau ke Taman Mata Air di barat pulau sana sekarang.”
Izraq terkejut mendengarkan kata-kata guru Meor itu. Dia tidak mengetahui Taman Mata Air itu di mana.
“Apakah Timber akan pergi bersamaku?” soalnya, memikirkan yang Timber berada lebih lama di situ. Jadi dia barangkali mengenali tempat itu. Namun guru Meor segera menggeleng, membuatkan Izraq jadi hairan.
“Kau hanya akan pergi seorang diri. Ingat ayat pelindung diri, dan penjagaan akhlak kau, anak muda. Moga kau tidak termasuk perangkap sesiapa. Kerana jika kau tersilap masuk perangkap, dan dikurung sehingga masuk hari pertandingan, aku bimbang jika nanti kesempatan membunuhmu akan diambil mudah oleh pihak lawan...”
“Baik, guru Meor.”
Izraq lalu berjabat tangan dengan gurunya itu, dan dia pun melangkah ke Taman Mata Air. Arah matahari dia gunakan untuk ke sebelah barat pulau itu. Menurut guru Meor, Taman Mata Air telah dituliskan namanya pada pintu gerbang memasuki taman itu.
“Tapi, untuk apa sebenarnya aku perlu berguru dengan orang lain sehingga perlu berpindah tempat perguruan pula?” bisik Izraq.
Sedang matanya terus diliarkan ke arah persekitaran hutan itu sambil deria pendengarannya ditajamkan untuk mengesan sebarang kecurigaan. Mulutnya pula terkumat-kamit membaca ayat pelindung diri. Izraq sudah beberapa jam melalui kawasan hutan itu, terus menuju ke arah barat.
Dan matahari yang tadi terang tiba-tiba sahaja menjadi gelap dilindung awan hitam, membuatkan Izraq terhenti seketika dan mula menyesuaikan tahap penglihatannya. Suasana itu tidak mengganggunya, dia malahan sebenarnya lebih selesa dengan pencahayaan yang minimum. Bola mata dan cuping telinganya tidak semena-mena bergerak lebih laju mengesan objek-objek sekitar.
Crupp! Sebuah jerat jala bagaimanapun tidak sempat dia sedari apabila tubuhnya tiba-tiba ditarik naik sehingga hampir tiga meter jauh, dan dua meter tinggi.
Izraq cuba bertenang dan mengeluarkan kerambitnya. Berjaya, dan dia sempat memeriksa dahulu kawasan sekitar. Dia mempunyai rasa tidak sedap hati dengan perkara itu.
“Tak guna!” Izraq pasti perbezaan warna daun di bawahnya kini adalah sebuah petunjuk kepada jerangkap samar. Lubang, dengan kayu buluh yang berceracak. Guru Meor sudah pun memberi amaran tentangnya. Jadi sekarang, mustahil untuk dia hanya memotong tali perangkap itu dan terselamat mudah. Jerat jala itu sudah dicipta, mendorong dia untuk bergantungan di atas perangkap yang lebih dahsyat dan lebih membunuh.
Izraq pandang ke atas, dan melihat dahan tempat jerat itu digantung. Ianya nampak kukuh, membuatkan Izraq sedikit lega dengan hal itu. Namun dia tetap perlu berhati-hati. Kerambit di tangannya, dia masukkan kembali ke sarung. Setelah itu, dia berusaha untuk berdiri dengan sekukuh termampu, dan mula menghayun jerat jala itu.
Beberapa kali berayun dengan risiko had beban dahan itu, Izraq akhirnya berjaya memaut pada batang pokok. Jantung Izraq yang masih laju mengepam darah dalam kepenatan itu membuatkan dia mengah dan terus berdoa, agar tubuhnya yang sedang longlai itu mampu bertahan sehingga dia berjaya memutuskan jerat jala itu.
Izraq berusaha untuk menarik kembali kerambitnya daripada sarung. Dan saat jerat itu berjaya dia putuskan, Izraq terpaksa menutup matanya kerana tidak tahan dengan bunyi mekanikal jerangkap samar itu.