"Hei, kau sepatutnya dah mula beritahu aku mengenai peraturan dan cara untuk kekal hidup di pulau ini."
Izraq lepasi halangan berupa pokok-pokok renek yang hidup meliar di dalam hutan di pulau itu.
"Kau jangan bimbang. Aku akan bawa kau berjumpa dengan seseorang yang boleh 'mengajarkan' kau sesuatu dengan baik," ujar Timber, seakan berada jauh daripadanya. Namun kemudian, dia muncul entah daripada mana, dan kembali berjalan di sisi Izraq.
"Siapa orangnya?"
"Haem."
"Haem?"
"Ya. Haem. Tukang magik dalam hal pertempuran... dan sesetengah senjata kuno."
"Dia... adakah dia... "
"Ya, Izraq. Haem adalah salah seorang dalang pulau yang tak mampu keluar daripada sini hasil daripada kurungan Kilat."
Izraq mengangkat keningnya, "Tak pernah tinggalkan pulau ini sejak 30 tahun yang lalu?"
Timber mengangguk selamba. Tiada perasaan langsung dengan kisah itu.
"Kenapa tidak cuba untuk lari?"
"Dia tak ada peluangnya untuk tinggalkan pulau ni. Cip hitam yang ada di belakang tengkuk kamu ni? Dalang-dalang yang tersekat di pulau ini, mereka mempunyai antara 9 hingga 16 cip semuanya. Mereka akan rasa azabnya kalau berani melakukan yang terlarang."
Izraq mencebik.
"Jadi hanya kerana cip?"
"Kau fikir... kesakitannya biasa-biasa saja?"
Timber tarik tangan Izraq untuk berhenti.
"Sekarang kau ambil ini."
Timber serahkan senjatanya yang seakan trisula dengan tiga cabang. Namun cabang tengah bagi senjata itu lebih panjang. Dan pemegangnya juga pendek sahaja.
"Apa ni?"
"Tekpi."
"Untuk apa?"
"Pegang pemegangnya ke dalam, dan bawa cabangnya itu ke perut kau."
Izraq mengerutkan dahinya dan hanya mengikut arahan Timber. Dia bagaimanapun sudah bersedia jika Timber tiba-tiba sahaja mahu membelotinya. Tangan telah siap sedia dia keraskan pada jarak selamat antara tekpi itu dengan perutnya. Sedang Timber pula tiba-tiba berganjak ke belakang, mengejutkan Izraq.
Izraq angkat kepalanya kepada Timber.
"Kenapa kau.."
Sesuatu tiba-tiba terasa menyengat di belakang tengkuknya dengan tiba-tiba.
"Arrgghh!"
Izraq melepaskan tekpi itu dan mula meraba ke belakang tengkuknya dengan terdesak.
"Hentikan. Hentikan benda ni!!" Izraq menggelupur.
Beberapa ketika kemudian Izraq terkulai di situ, menanti sengatannya benar-benar hilang dari seluruh tubuh. Dia ke arah langit biru itu, dan wajah Timber kemudian menunduk, memenuhi pemandangannya.
"Sekarang kau faham kenapa Haem tak cuba lari daripada pulau ini?"
Mata Timber jelas merah dan basah dengan air mata.
"K... kau sepatutnya beri amaran dulu pada aku!"
Timber hulurkan tangannya kepada Izraq dan membantu dia bangun.
"Kau takkan dapat banyak peluang amaran di pulau ini, Izraq. Kau kena membiasakan diri dengannya."
"Tapi, untuk apa b... buzz yang menyengat tu!?"