IZRAQ menemui pelajar yang bernama Andy itu, waktu dia dikelilingi beberapa peminat perempuan. Dengan rambut perang, dan berkaca mata, dia memandang Izraq yang tercegat memerhatikannya.
"Jadi, abang Daud dah meninggal?" tanya Andy.
Izraq hanya mengangguk perlahan, dan terus merenung ke hadapan.
"Apa kaitan abang dengan abang Daud?"
"Sahabat... kawan sepermainan."
Izraq bangun.
"Sekarang boleh kita menemui ibu kamu?"
Andy mengangguk, dan dia mendahului langkah Izraq ke rumahnya. Saat rumah itu Izraq masuki, dia diserang rasa bersalah melihatkan keadaan mereka dua beranak yang hidup dalam kedhaifan.
Padahal abang tirinya sendiri telah menghabiskan wang ganjarannya untuk memulakan hidup baru buat mereka di suatu tempat. Dan dia tidak sempat menyempurnakannya untuk dihadiahkan kepada Sofea dan anaknya. Dia telah terlebih dahulu Izraq bunuh.
"Ibu..." panggil Izraq.
Mendengarkan suara lelaki yang berbeza dari suara Andy, mak cik Sofea tersenyum, lebar.
"Kau... Naga Langit?"
Izraq kehairanan. Mak cik Sofea itu tahu nama gelaran bagi si Daud?
"Kenapa? Kamu tak sukakan nama tu lagi? Bukankah dahulu ibu yang mengajarkan kamu untuk 'terbang' ke langit, menyerupai seekor naga? Dan kamu sukakan nama itu ketika ibu gelarkannya kepada kamu. Kan?"
Senyuman mak cik Sofea lebar. Dan Izraq turut tersenyum. Tidak disangka kemahirannya itu datangnya daripada seorang wanita yang mengasuh dia sewaktu kecil.
Izraq berpaling memandang Andy yang sedang bersedih, membuatkan dia semakin dirundung rasa bersalah. Namun saat Andy bawa Izraq untuk memeluk ibunya itu bersama-sama. Mak cik Sofea tergelak, Andy tergelak, dan Izraq juga sama. Mereka terus ketawa, makan bersama, dan mereka menghabiskan hari dengan dengan gembira.
Kehidupan itu bagaikan telah dapat menebus segala rasa pilu dan kesedihan Izraq kehilangan orang yang dia sayang. Perasaan mempunyai keluarga untuk bertukar cerita, mendengar, dan bergembira. Tapi pada akhirnya, Izraq masih terus dihambat dendamnya.
**
BEBERAPA minggu di rumah Sofea, Izraq akhirnya meminta diri untuk menyelesaikan suatu tugas, dan berjanji akan pulang kembali ke rumah itu suatu hari nanti.
Izraq sudahkan seorang lagi antara senarai nama yang ada padanya. Namun dia masih tidak mendapatkan pembunuhnya. Mangsa dia kali ini juga mempunyai ginjal kiri. Dan Izraq semakin tertekan. Dia balik ke bilik sewaannya dengan perasaan yang terganggu.
Sewaktu Izraq masuk ke rumah tumpangan itu, dia terkejut melihat anak perempuan kepada pemilik rumah yang asyik meneliti cincin kerambitnya. Lalu Izraq terpaksa berpura tenang, menghilangkan segala kegelabahannya dan memasukkan mata kerambitnya tersembunyi lebih dalam pada genggaman itu.
Sudah beberapa hari dia keluar dengan kerambitnya tersarung di tangannya. Kelibatnya mungkin akan diragui nanti. Dia tidak boleh menginap di rumah itu lagi.
Jadi, Izraq ambil keputusan untuk keluar daripada rumah itu pada keesokannya. Dan dia tidak semena-mena teringat akan sahabatnya, Aslan. Dia pernah menemui Aslan di tengah bandar Kuala Lumpur sebelum ini, bersama dengan seorang rakan wanita. Sempat memberikan senyuman kepadanya. Namun dia pasti yang Aslan tidak mengecam dia lagi.
Izraq masih rasa terhutang budi kepada Aslan kerana pernah menyelamatkan nyawanya. Dan dia ingin sekali untuk berjumpa dengan Aslan sebagai sahabat kepada sahabat. Dia ingin berterima kasih dan kalau ada peluang, untuk berbual dan berbicara panjang dengan sahabatnya itu.
Jadi keesokkan harinya, Izraq ekori Aslan sekeluarga ke sebuah restoran KFC. Dia ingin menegur, namun dia bimbang. Aslan mungkin tidak mahu menerima dia. Sudahlah gambarnya tersebar di merata tempat sebagai pembunuh bersiri. Dia tidak dapat membawa dirinya untuk berhadapan dengan Aslan. Tidak, buat masa sekarang. Dan akhirnya dia hanya menghilang diri daripada tempat itu.
Izraq pulang ke rumah penginapannya dengan kecewa. Dia masih lagi resah memikirkan pembunuh yang dia cari antara kelima-lima sahabatnya itu. Apakah ada sesuatu yang dia tertinggal? Yang dia terlepas pandang, tidak sempat dia selidiki penuh, dan menjadikannya hanyalah pembunuhan yang membabi buta?
Izraq memeriksa kembali nama-nama yang terdapat di dalam senarai itu. Ada yang tidak kena dengan salah seorang daripada mereka. Salah seorang daripada mereka,bukanlah daripada pulau Hakrel. Hati dia kuat mengatakan begitu. Tapi, dia tidak pasti apa yang mendetikkannya. Apakah kerana dia begitu takut dengan jenayah-jenayah yang telah dialakukan?
Izraq masih ingat saat kali pertama dia membunuh gombla. Malahan dalam masa beberapa tahun di pulau Hakrel, dia telah pun membunuh hampir seribuan gombla. Dan dia memang tiada masalah untuk itu lagi. Tapi sekarang, mangsa dia adalah manusia yang mempunyai perasaan. Yang ada akal dan cita-cita. Yang mempunyai tujuan hidup, dan yang paling penting, buruannya kini adalah sahabat-sahabatnya sendiri.
Menyudahkan Sandra adalah yang paling sukar memandangkan dia adalah 'manusia' pertama yang terpaksa dia bunuh. Tapi juga adalah yang paling pantas. Dia hanya mahu menghabiskan. Namun dia berakhir terkecewa apabila mendapati Sandra bukanlah pembunuh nek Ros dan gurunya. Ianya memang menggilakan. Beberapa bulan Izraq terpaksa mengurung diri sebelum dia meneruskan dengan mangsa yang kedua.
"Adakah benar-benar betul apa yang aku mahu ini, ataukah hanya sekadar sebuah kegilaan?"
**
IZRAQ tersedar daripada lenanya yang panjang, saat dia mendapat gerak hati yang Aslan akan menemuinya di situ. Dia tidak tahu bagaimana dan kenapa, namun dia mendapat gerak hati yang kuat, lalu meninggalkan pesanan untuk Izraq bertemunya sahaja dia di KLCC. Pesanan ringkas itu dia tinggalkan di dalam biliknya, sebelum dia keluar untuk melawat Sofea dan Andy terlebih dahulu.
Sudah lama Izraq ingin menemui mantan sahabatnya itu, dan memberitahu Aslan hal sebenar. Dia mahu Aslan menerimanya, menyedari hakikatnya sebagai pembunuh sekalipun. Dia mahu Aslan menerima dia, seperti mana dia dahulu menerima Kilat juga sebagai pembunuh.
Namun petang itu Andy masuk wad. Dia terjatuh di dalam bilik air dengan tiba-tiba. Jadi, Izraq terpaksa membatalkan pertemuan dengan Aslan. Andy yang sudah dia anggap sebagai adik sendiri telah disahkan menghidap barah otak. Dan dia memang boleh membayarkan berapa sahaja wang untuk keperluan Andy, namun itu tidak mampu membeli sebuah hidup yang bakal Andy hilangi. Penyakitnya itu sudah kritikal, sudah berada di peringkat terakhir.
"Kau tak perlu risau tentang aku. Aku menerima keadaan aku ini."
"Aku akan bayarkan berapa sahaja keperluan pembedahan kau, Andy. Kau jangan bimbang. Aku akan pastikan kau sembuh."
Andy tertawa. Kemudian dia memandang wajah Izraq.
"Duit tak boleh beli segala-galanya. Kau pernah dengar benda tu?"
Izraq tersenyum perit.
"Benda tahyul tu?"
Andy mengangguk, "Ya. Tahyul. Tapi seringkali tahyul tu tunjuk kuasa. Kalau abang Daud datang jumpa kami 4 tahun lepas, mungkin aku boleh meminta bantuannya untuk membantu biayaan hospital aku. Namun 4 tahun sudah pun berlalu. Dan dalam 4 tahun kanser ini telahpun membunuh aku berulang-ulang kali. Aku dah menerima segalanya, seadanya."
Izraq mengalirkan air mata.
"Aku minta maaf."
"Kau tak perlu minta maaf. Kalau abang Daud pun yang berada di tempat kau sekarang ni, dia juga tak perlu minta maaf. Aku menerima segalanya kini. Aku cuma minta agar kau jaga ibu."
Izraq mengangguk.