IZRAEL masuk ke dalam rumah dengan perlahan. Aslan sudah pun pulang dan dia tidak mahu mengejutkan sahabatnya itu.
Krak! Bunyi yang datang dari tingkat atas itu mengejutkan Izrael. Dia berpaling dan mendapati yang Aslan sedang turun. Lampu dibuka menuju ke dapur. Dan Izrael bersembunyi di sebalik almari antik itu.
Pintu peti ais dikatup dan Izrael dapat mendengar jelas degupan jantungnya dengan nafas yang cuba dia stabilkan.
Tap! Lampu ditutup. Izrael tunggu selama beberapa saat lagi, sebelum dia keluar daripada persembunyian dan dia melangkah laju naik ke tingkat atas.
Biliknya dia selinap masuk dan pintu Izrael tutup perlahan-lahan. Dikunci dan dia terus masuk ke dalam bilik air setelah ditinggalkan kerambit-kerambitnya itu ke dalam laci.
Selesai membersihkan diri, Izrael keluar dengan perasaan gundah, bercampur-baur dengan rasa tidak puas hati. Baju singlet dan seluar pajama dia sarungkan. Kemudian Izrael keluarkan kerambit itu.
Senjata itu direnung, cuba untuk mengingati perasaan terakhir yang dia rasakan, memegangnya. Namun dia tidak dapat rasakan apa-apa. Ingatannya tidak kembali. Ia tersimpan kemas, seakan ada kunci yang mengunci peti ingatannya. Yang hilang entah ke mana.
“Apa kaitan aku dengan kau, Margas? Apakah makna kerambit ini? Apa yang kau mahu dengan menyerahkannya kembali kepada aku?”
Izrael sentuh kerambit dengan ukiran burung di atasnya. Dia memasukkan jari telunjuknya ke dalam lubang hulu itu. Dan diputarkan ke bahagian hadapan, dilibas serta dihayun-hayun ke atas dan ke bawah dengan beberapa jurus pembunuh. Izrael memandang dengan kepuasan hati yang maksima. Dia suka gerakan itu.
Dan tindakan itu tidak semena-mena mengingatkan dia kepada kisah angsa putih.
“Argghh...”
Izrael masukkan kembali kerambit itu ke dalam laci dan dia terus memanjat katil untuk tidur.
**
“ABANG nak ikut kami?” tanya Afwan tiba-tiba.
“Ke... mana?”
“Hujung minggu ni abah nak ke zoo. Jomlah ikut kami. Mak cik Kara dan bayi Sharul pun akan ikut sekali..” Izrael termenung.
“Abang... tak... da... pat... janji.”
“Abang ni, selalu saja sibuk. Ada janji dengan makwe ya?”
“Tak... ada... tentu... lah... tak... ada.”
“Yalah tu. Pergi zoo seronok tahu? Dapat tengok kuda, harimau, unta, orang utan.”
Afwan berpaling untuk beredar daripada dapur.
“Ah ya. Abang pernah dengar cerita pasal angsa putih?”
“A... apa?”
“Angsa putih, yang suka bertarung. Namun kerana suka sangat bertarung, bulu angsa putih yang putih telah menjadi kotor. Dan akhirnya dia mati bersendirian tanpa ditunaikan permintaannya.”
Izrael terpaku. Dia kembali menyambung tugasannya. Dan termenung. Angsa putih. Izrael merenung jauh menembusi perkakas masakan itu. Ceritanya seakan sama dengan cerita Kai. Apakah daripada orang yang sama?
Izrael menyiapkan masakannya dengan segera dan kemudian meminta izin daripada Aslan untuk masuk ke bilik. Aslan hairan dengan keadaan Izrael yang kelihatan aneh. Namun dia melepaskan juga Izrael pergi.
“Barangkali Izrael hanya keletihan,” fikirnya.
Izrael masuk ke dalam bilik dan duduk di atas katil. Dia cuba mengingati kembali apa yang pernah diberitahu oleh Aslan mengenai orang yang pernah menyerang Afwan. Seorang pembunuh bersiri yang telah muncul beberapa kali di dalam berita, pembunuh itu telah dikaitkan dengan beberapa pembunuhan semenjak beberapa tahun ini.