HUJUNG minggu itu, Izraq datang menemui seorang lagi lelaki di dalam senarai.
Kris berlagak tenang saat dia melihat Izraq, masih terus memainkan silap matanya tanpa sebarang reaksi. Namun dalam diam dia tahu yang perkara itu tidak akan berakhir baik buatnya.
Kris penat dalam 4 tahun ini, gelisah bersama 'rakan komplot' yang lain mempergunakan wang sagu hati Kilat bagi memulakan kehidupan baru. Mereka terpaksa menukar nama, kerakyatan. Wajah. Namun kehidupan hitam mereka terus memburu. Dan mereka terpaksa menumpang pula perlindungan daripada Kilat. Sanggup melakukan kerja-kerja kotor orang tua itu.
Kini mereka mahu memulakan hidup baru. Mencuci tangan, berjanji untuk terjebak lagi dalam kehidupan jenayah dan dosa. Namun kedatangan Izraq menggugah ketenangan mereka. Mereka tahu hal sebenar.
Namun mereka telah berjanji untuk tidak membocorkannya. Mereka telah berikrar untuk tidak mendedahkan identiti mereka. Walaupun kematian menjemput.
Dan kini Izraq memerhatikan Bustaman dengan mata yang tajam. Dia bergerak mendekati keramaian orang sebelum dia menyedari kehadiran anak dan isteri Aslan.
Izraq tersenyum, tidak menyangka mereka berjodoh untuk bertemu di situ. Afwan dan dan Mina
“Hei, budak.”
“Ya?”
Afwan membalas sambil diperhatikan oleh Mina.
“Nah...”
Izraq serahkan belon, membuat Afwan serba-salah untuk menerima. Namun sebaik dia mendapat isyarat daripada ibunya, Afwan sambut juga belon itu dan mengucapkan terima kasih.
“Kamu... pernah dengar cerita mengenai seekor angsa putih?” soal Izraq, tenang sambil disaksikan oleh Mina.
Afwan menggeleng. Dia tidak pasti jika dia mahu mendengar kisah tentang angsa putih yang sepertinya lebih layak diceritakan kepada budak perempuan sahaja. Namun Izraq teruskan juga ceritanya.
“Dalam sebuah hutan, ada seekor angsa putih yang pandai bertarung. Namun angsa putih itu tidak sedar yang selama dia bertarung, dia telah mengotorkan bulu-bulunya yang putih.”
Afwan pandang wajah Izraq, mula tertarik dengan kisah itu.
“Apakah angsa putih itu... dia berlawan dengan beruang? Griz... Grizzly Bear?”
Izraq tertawa.
“Ya... ya. Grizzly Bear, Python Snake, musang juga.”
Izraq mencuit perut Afwan membuatkan anak kecil itu tertawa.
“Jadi apa berlaku kepada angsa putih itu?”
Izraq terdiam untuk seketika.
“Dia... merasa sangat sedih sebab memiliki bulu-bulu pelepah yang kotor, dia mula terbuang daripada rakan-rakannya. Mereka tidak mengenali angsa putih itu lagi kerana tubuhnya jadi berbeza. Jadi mereka tinggalkan angsa putih itu sendirian. Sedangkan angsa putih yang pandai bertarung itu, dia juga tidak dapat meninggalkan dunia pertarungannya. Dia mesti nak bertarung juga. Terus berlawan... bergaduh. Dan bulunya terus menjadi kotor.”
“Tidak putih lagi?”
“Tidak. Bulunya tidak pernah menjadi putih lagi.”
Izraq termenung untuk beberapa lama sebelum dia kembali memandang wajah Afwan.
“Ah, dan... satu hari angsa putih itu telah ditangkap oleh seorang manusia. Bakal dimakan. Dan dia minta kepada pemburu yang telah menangkapnya itu, untuk memandikan dia di dalam rendaman cuka. Dan kemudian, memasak dia bersama 10 jenis bahan masakan yang berwarna putih.”