Bab 15

213 19 0
                                    

“Tak guna. Izrael!!?”

Izraq mahu menyerang. Namun dengan segera Ledak Ngilu menyerang daripada cip di belakang tengkuknya, menjadikan dia jatuh tersungkur. Izraq pandang wajah Kilat dengan menyampah.

“Kau cucu aku atau tidak, aku tak peduli. Kau tak peduli. Dan orang lain juga sebenarnya tidak peduli. Hanya maruah sahaja yang terus mempeduli soal ini. Izrael, kau di sini tidak sia-sia. Ada sebab mengapa aku mahu kau di sini.”

“Ke... kenapa?”

Kilat pandang wajah Izraq dengan ehsan. Dan kemudian dia melangkah mendekati Izraq. Dirapatkan bibirnya pada cuping budak lelaki yang sedang menggigil tubuhnya itu dan dia mula tersenyum.

“Kerana mereka, Izrael.”

Kilat pandang wajah Izraq. Dan dia depangkan tangannya ke arah semua peserta lain yang berada di situ. Izraq ikut arah tangan Kilat.

“Kerana mereka... adalah musuh kau.”

Puihh!

Kilat sempat menutup matanya. Dan sebentar kemudian, dia ketawa. Dia bangun dan menyepak perut Izraq yang sedang penuh luka dan parut.

“Naga Langit dan Hiraki! Salah seorang daripada kamu harus mati malam ini!” ujar Kilat sambil dia berlalu dan keluar daripada kubah itu dan menghilang.

Semua orang tidak mempedulikan Izraq lagi. Semua mata menumpukan pandangan mereka kepada si Tangan Pencakar, dan si Penyabit Rantai. Separuh daripada gelanggang perlawanan diterangi lampu terang. Sedang separuhnya lagi dibiarkan misteri, penuh kegelapan.

Penonton di dalam kubah dan di luar kubah terus berdoa, mengharapkan perlawanan akan dilangsungkan sepenuhnya di dalam cahaya terang. Dan meninggalkan sahaja kegelapan itu terus misteri sendiri.

Izraq bangun daripada tempat dia menggelupur dan dia lihat Naga Langit menunjukkan dirinya yang sebenar. Beberapa kali dia ‘terbang’ di udara, sebelum dia jatuh menjunamkan dirinya pada tubuh lawannya.

Izraq menggeleng melihatkannya. Kedua mereka bagaikan tidak berhadapan gombla sebelum ini, padahal dia pasti semua peserta di pulau itu tak ada yang terlepas dari berhadapan dengan makhluk ganas gombla. Mereka bukan sahaja semakin kuat tadi. Mereka muncul bagai gelombang berombak.

Banyak, sangat banyak dan mereka juga mahir memanjat pokok dengan tidak semena-mena. Jadi, takkan mungkin ada tempat untuk peserta pulau itu yang mampu bersembunyi.

Izraq perlahan bergerak mengikut arah kedua-dua peserta itu bertarung. Matanya tidak lepas memandang setiap gerak dan jurus pertarungan. Dia memandangnya dengan hairan, dengan persoalan demi persoalan kepada dirinya sendiri.

Naga Langit dan Hiraki tidak memberi peluang kepada diri mereka masing-masing. Mereka terus membalas dan bertahan. Membalas dan bertahan, tanpa membiarkan mana-mana pertahanan mereka bocor. 

Agak lama dan semakin penat dengan stamina yang makin pancit, Hiraki terlebih dahulu masuk ke dalam hutan gelap itu, meninggalkan Naga Langit yang mengeluh dan kemudian turut masuk ke dalam hutan. Mereka terus meninggalkan para penonton yang semakin ghairah menantikan aksi mereka kembali.

“Agghhhaaa! Aghhaa.” Gombla di luar kubah itu sudah menjerit-jerit dan mula marah-marah.

Kemarahan mereka menyebabkan penonton di dalam kubah turut menjerit, meminta kedua Hiraki dan Naga Langit untuk keluar. Izraq pula hanya terus memandang tajam ke dalam hutan yang gelap itu. Bayang naga langit yang sedang bersenang-lenang, dan Hiraki yang sedang mengumpul tenaga itu dia perhatikan bergilir-gilir.

Akhirnya Izraq menguncikan pandangannya kepada Hiraki. Dia seperti sedang mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluarnya. Pisau toreh! Izraq segera memandang ke arah Naga Langit yang masih bersenang-lenang memerhatikan Tangan Pencakarnya itu. Izraq hanya senyum, dan kemudian dia menjatuhkan pandangannya. Dia sudah tahu elat yang cuba mereka lakukan.

Para penonton Izraq perhatikan, mencari bayang Timber. Dia perasan yang dia tak nampak budak itu daripada semalam.

“Agaknya, dia sempat masuk ke dalam kubah atau tidak?” bisik Izraq.

Namun tidak lama dia bimbang, Izraq kembali menumpukan lagi perhatiannya pada perlawanan itu.

Hampir 6 jam Naga Langit dan Hiraki bersembunyi di dalam hutan gelap, dan gombla di luar masih lagi aktif dan ligat memberi dorongan, atau juga omelan mereka itu. Sedangkan penonton di dalam kubah sudah pun hilang minat, dan ada sesetengah mereka sudah pun tertidur, tidak kurang yang sedang membalut luka pada tubuh mereka.

Tapi Izraq, dia masih memerhatikan keduanya yang sedang merancang strategi masing-masing. Izraq mengesyaki yang keduanya arif tentang kelemahan, kekuatan dan gaya serangan sesama sendiri. Mereka seakannya sedang mengagak arah mana mereka bakal diserang. Dan waktu 6 jam itu berlalu begitu cepat bagi Izraq, namun dia sempat meneka daripada keduanya siapa yang bakal memenangi perlawanan itu.

“Masa kamu masih berbaki 2 jam, sebelum aku memutuskan yang kalian berdua harus mati!” ujar Kilat melewati pengumuman itu.

Izraq hanya tenang menanti. Keduanya sekarang tiada pilihan lain selain dari keluar melawan.

Dan Hiraki terlebih dahulu keluar memunculkan diri dari hutan gelap menantikan Naga Langit dengan sabar selama hampir setengah jam.

Naga Langit yang akhirnya keluar dalam keadaan tersenyum terus beradu kembali dengan sengit.

Semua penonton daripada dalam dan luar kubah kembali riuh. Ramai yang menggalakkan, dan tidak kurang yang mengejek keras. Tapi Izraq tidak mahu terganggu oleh keterujaan dan kejengkelan mereka. Lalu Izraq panjat sebuah pokok yang agak jauh daripada tempat tontonan itu, dan dia tajamkan penglihatannya.

Persaingan begitu sengit. Izraq sudah tahu siapa yang bakal menang. Namun dia masih mengamati gerak perlawanan mereka masing-masing. Dia masih meneliti, menghargai dan mengingati setiap daripadanya.

“Apa!!? Kenapa macam tu?” Izraq membulatkan matanya.

“Kemenangan Pertandingan Maiya, kali ke-11. Pemenangnya adalah Naga Langit dan orang yang harus mati pagi ini, adalah Hiraki. Kita doakan kesejahteraannya ‘di sana’. Terima Kasih.”

Izraq menggeleng.

“Tidak! Bukan dia yang sepatutnya kalah. Ataukah.... memang dia yang harus?”

Izraq perhatikan medan gelombang yang terbuka seperti dimasukkan jarum peniti, memberi ruangan kecil, untuk gombla memasukinya sehingga kepada mayat Hiraki itu. Mayat itu kemudian ia angkat dengan berhati-hati dan ia bawa pergi daripada situ. Dan medan gelombang yang terbuka itu kembali menutup mengikut arahnya.

Gombla tersebut kembali semula kepada kawanannya. Dan terus dari situ ia menghilang, sedang kubah yang kembali kepada bentuk asal, masih terus memisahkan peserta dengan gombla di luar. Dan semua peserta kini hanya selamba melepak, berborak dan tidak kurang yang mula memberikan kembali tumpuan kepada Izraq.

Mereka masih ingin membunuh dirinya, Izraq boleh rasa. Namun Izraq juga pasti yang peraturan tidak membenarkan mereka melakukannya sekarang. Pasti ada terma yang menghalang mereka daripada melakukannya. Jadi Izraq hanya membiarkan pandangan tajam itu memakan dirinya, sedang dia sendiri memandang kepada kawanan gombla yang masih setia di luar.

Masih berkuku tajam, masih memandang manusia dengan kelaparan. Dengan lidah yang terjelir dan air liur yang meleleh. Salah seekor daripada mereka bertentang mata dengannya, namun kemudian gombla tersebut hanya menarik diri dan pergi menghilang antara mereka. Izraq terus diam, dan menundukkan wajahnya.

Kerambit yang terkunci pada tangannya dipandang. Kemudian beralih kepada luka. Entah bagaimana dia merasa keberanian dan kekuatan di dalam dirinya, tapi pada masa yang sama juga kesunyian.
Kubah dibuka waktu langit sudah pun dijengah mentari, dan gombla yang berada di sekitar kubah itu sudah pun menghilang. Tidak tinggal walau seekor. Dan Izraq pandang langit yang makin cerah dan peserta lain yang melalui di hadapannya, memandang dia dengan pandangan benci. Ada yang meludah pada rumput dibawah kakinya. Dan tak kurang yang memandangnya hanya dengan pandangan kosong, dan tidak langsung menghiraukannya. Seperti dia tiada di situ.

Izraq akhirnya pulang sendiri ke khemah guru Meor. Ramai peserta lain yang sedang dirawat oleh jururawat. Sedang dia dirawat sendiri oleh guru Meor.

ParutWhere stories live. Discover now