Duduk: Kaki Berbudi, Tangan Berjasa

62 6 0
                                        

Kaki ini berjalan selagi larat
Membawa tulang empat kerat,
Seandainya ada lebihan kudrat
Tangan kuhulur ringankan berat,

Kaki ini berjalan mencari ubat
Merawat segala dendam kesumat,
Tali saudara yang longgar terikat
Tangan kugenggam semampu erat,

Kaki ini berlari sangat ligat
Mengelak lubang besar menjerat,
Sebelum tersungkur jasad si sahabat
Tangan kutadah buat jejambat,

Kaki ini melompat penuh semangat
Melangkah setiap hadangan mendekat,
Sebelum tersadung kaki si sahabat
Tangan kucapai tuntun merapat,

Kaki ini menapak merata tempat
Menelan setiap peristiwa kelat,
Supaya jelas si jalan berselirat
Tangan kutunjuk laluan selamat,

Kaki ini terhenti kerana penat
Muhasabah diri selagi sempat,
Supaya tunduk si nafsu jahat
Tangan kukikis kulat ralat.

DudukTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang